Wednesday, April 22, 2009

Membangun sambil Meroboh

Hmm...pulang ke kampung halaman amat menggembirakan. Peluang untuk berjumpa bonda sebelum menghadapi peperiksaan akhir amat saya hargai. Melayan 'askar-askar' Nek Ma memang memenatkan tetapi menghiburkan.

7 jam di dalam bas cukup menyeksakan. Namun, itu bukanlah persoalan yang saya ingin utarakan sekarang. Apa yang penting adalah apa yang saya dapat daripada masa selama itu di dalam bas ekspress tersebut.

Duduk di single seat agak meyelesakan kerana tidak perlu berkongsi dan mengawal kepala yang akan terlentok ke kiri atau ke kanan (jatuh atas bahu orang sebelah!). Saya agak kasar pabila tidur. Pernah kawan saya berkata begini "Awak tidur dalam bas macam tidur atas katil." adusss..pedih ulu hati tiba-tiba. 'Biarlah' bentak hati saya perlahan-lahan.

Di dalam bas tersebut, saya terdengar suara seorang Pak Cik sedang menjawab telefon. Beria-ia benar dia bercakap seolah-olah bas itu adalah hak mutlaknya. Mata yang terpejam perlahan-lahan kerana kepenatan marathon di pesta buku mula terbuka dengan luasnya. Peratus kesabaran dalam diri mulai menyusut. Bayangkan, saya di seat 8C dan Pak Cik tersebut di seat 9B. Satu bas terdengar perbualannya di telefon. Perlahan-lahan saya mula memandang Pak Cik tersebut dengan pandangan penuh mengharap..Agar dia lekas menghabiskan perbualan kurang berinteleknya itu (maksud saya memuji-muji diri sendiri!)

Alhamdulillah, selesai sudah sesi bergayut Pak Cik 9B.Mata saya terpejam..Lena dalam dakapan malam. Setibanya di Greenwood, sekali lagi bas berhenti. Double seat disebelah saya, 8A dan 8B sudah terisi. Senyuman dilemparkan perlahan dan mata terkatup lagi untuk menyambung pengembaraan di alam kayangan. Tiba-tiba terdengar perbualan yang maha dahsyat sehingga orang yang berada di bahagian hadapan sekali dapat mendengar perbualan Kakak-kakak di seat 8A dan 8B yang bercerita mengenai kawan mereka yang berkahwin muda.

Ya Allah, bantulah saya..Pandangan ditoleh ke kanan,perlahan-lahan "Shhhhhh...." keras dan kuat.Kerisauan mulai menerjah. Bimbang mereka bangun dan menghadiahi saya sebijik pelempang sulung kepada saya yang agak kecil berbanding mereka.

Mereka terdiam..Lima minit kemudian, mereka mengikuti jejak langkah saya ke kayangan. Alhamdulillah..

Apa yang saya maksudkan sekarang adalah betapa rakyat Malaysia khasnya kaum Melayu semakin meminggirkan budaya menghormati orang lain. Saya tidak minta Pak Cik dan kakak-kakak dalam cerita di atas supaya berbisik. Tetapi cukuplah andai mereka bercakap perlahan-lahan. Cukuplah untuk pendengaran mereka sahaja. Tak guna meninggikan suara mendabik dada bercerita tentang kehebatan sendiri kerana kehebatan setiap orang tidak perlu ditunjuk-tunjuk.

Dalam kita membangun generasi yang celik serba-serbi, janganlah meroboh nilai-nilai kemanusiaan dan tatasusila yang ada dalam diri kita.Bagaimana ingin mengajar anak-anak bersopan andai kita sendiri masih kurang adabnya?

No comments:

Post a Comment