Baru sahaja selesai mengkhatamkan buku tersebut. Banyak input berguna buat si gadis, sang teruna, para suami dan isteri, dan mereka yang ingin menambah pengetahuan dalam soal rumah tangga. Buku ini saya beli ketika Pesta Buku Antarabangsa di PWTC yang lalu. Tersadar di dalam almari. Cuti ini saya gunakan untuknya. Membaca dan menghayati.
Bagi seorang manusia yang belum mengenal erti alam rumah tangga, saya tertarik dengan kupasan yang telah diolah oleh penulis. Saya membaca bukan kerana saya bakal menamatkan alam solo dalam masa terdekat ini, tetapi sebagai persediaan dan ilmu bermanfaat untuk saya dan semua. Mencari titik persamaan di sebalik beribu-ribu perbezaan adalah perkara yang terlalu sukar namun, di sebalik kesukaran itu..ada manisnya.
Suami mengimpikan isteri sehebat Siti Khadijah..isteri pula mengimpikan suami semulia Rasulullah s.a.w. Itulah gambaran yang diberikan oleh penulis. Lumrahnya, manusia mencari kesempurnaan dan mengabaikan kekurangan..kekhilafan dalam diri sendiri.
Saya menjadikan Ayahanda dan Bonda sebagai role model bagi membina sebuah ikatan perkahwinan dan keluarga yang bahagia. Ketegasan Bonda dan kelembutan bicara Ayahanda telah melahirkan kami berenam yang mengikut acuan mereka. Mereka sebenarnya telah berjaya mewujudkan BAITI JANNATI di hati kami.. di jiwa kami..
Tahniah buat teman-teman seperjuangan yang telah menamatkan zaman bujang. Kalian telah menunaikan satu lagi sunnah Rasulullah s.a.w. Semoga ikatan ini akan berkekalan dan meneruskan mata rantai perjuangan Baginda bagi menegakkan Islam di muka bumi ini.
Melihat saya yang tekun mengadap buku tersebut membuatkan Ma membuka petuanya.."Dalam membina kebahagiaan rumah tangga, suami isteri mesti saling bertimbang. Buat apa yang dia suka, jauhkan apa yang dia benci selagi tak bertentangan dengan agama. Itu je resepi kami orang dulu-dulu" Kata Kak Han, kakak sulung saya dan satu-satunya kakak yang saya ada "Grad, keja, ada duit baru nikah.."
Bersyukurlah kepada orang yang menyakiti hati kita kerana dialah yang menabahkan hati kita, bersyukurlah kepada orang yang menipu kita kerana dialah yang meningkatkan pengetahuan kita, bersyukurlah kepada orang yang tidak mengendahkan kita kerana dialah orang yang memupuk kita agar berdikari dan bersyukurlah kepada orang yang menyeksa kita kerana dialah orang yang menguji kesabaran kita.
No comments:
Post a Comment