Buku Ketika Cinta Bertasbih sempat saya khatamkan untuk kesekian kalinya. Dibelek-belek usai melakukan kerja-kerja rumah dan menidurkan si kecil. Kali ini, di bilik yang masih kosong tanpa sesiapa, saya tertarik untuk bercerita tentang salah satu cerita yang disampaikan oleh Abdullah Khairul Azzam sewaktu menyampaikan khutbah kepada para santri selesai beliau dinikahkan dengan Anna Althafunnisa.
Kisah Singa yang mengembek..
Suatu ketika dahulu, terjadinya peperangan dalam hutan. Semua haiwan bertempiaran lari.Tidak terkecuali seekor pun. Di waktu itu, masing-masing menyelamatkan diri sendiri. Ada yang terbunuh, ada yang berjaya lari. Seekor anak singa terkapai-kapai sendirian. Tanpa ibu dan ayah, apatah lagi teman.
Selepas 'perang' tersebut, terdapat sekawan kambing yang berjalan di sekitar kawasan itu. Anak singa itu menumpang kawanan itu dan menjadi sebahagian daripada kelompok kambing tersebut. Membesarlah anak singa itu dengan asuhan dan didikan daripada kambing.
Makan rumput dan dedaunan..
Daging ditolak tepi..
Pandai mengembek..
Sungguh comel!
Pada suatu hari, datanglah serigala mengacau kehidupan kambing-kambing itu. Semua kambing bertempiaran lari, termasuk anak singa tersebut. Suasana kelam-kabut menyebabkan ibu kambing tersangat marah dengan anak singa itu.
Kata ibu kambing "Kamu yang sepatutnya mempertahankan kami. Kamu adalah singa"
Anak singa itu terkebil-kebil tidak mengerti.
Keluarga kambing sangat sedih kerana ada di antara mereka yang menjadi korban sang serigala.
Di hari yang lain pula, datanglah suatu malapetaka yang tidak diduga. Seekor singa datang menyerang. Sekali lagi, semua lari bertempiaran.
Laung singa "aku takkan bunuh anak singa, kaumku sendiri.Janganlah kamu lari"
Anak singa yang berlari sepenuh hati bersama kambing-kambing yang lain tidak memahami maksud singa itu. Lantas, singa tersebut mengejarnya dan mendapatkannya. Anak singa itu mengembek dengan sepenuh hati.
Singa menarik Anak singa itu ke sungai.
"Tengok wajah kamu di air. sama sepertiku. Kita adalah singa"
Anak singa terkebil-kebil sekali lagi.
"Gunakan kelebihan kamu sebagai singa. kita adalah raja rimba. kamu bukan kambing"
Anak singa itu akhirnya tersedar dari lena...tentang realiti sebuah kehidupan.
Bagaimana dengan kita?
Masih mengembek?
Potensi dalam diri kita, kita yang harus menggarapnya. Bukan orang lain. Ke mana azam dan cita-cita? Waktu sekolah rendah, bukan main bersemangat bercerita tentang cita-cita.
Bagaimana sekarang?
Kenapa tidak berubah?
Tak tahu bagaimana nak berubah..
Sampai bila tak nak berubah?
Tak tahu..sebab tak pasti harus berubah atau tidak.
Jadilah singa yang pandai mengaum, bukan mengembek.
p/s: Kadang-kadang kekurangan kita menjadikan kita seorang yang berkebolehan. Jangan terlalu merendah diri!
No comments:
Post a Comment