Saturday, March 13, 2010

SAYA NON PARTISAN

Apa itu non partisan? Penyokong kebenaran & menidakkan kebatilan tanpa berlandaskan aspek kepartian / kenegerian / perkauman dan lain-lain.

Kenapa perlunya ada sikap non partisan? Kerana perlunya kebenaran ditegakkan.
Adakah non partisan seperti lalang? Lalang akan bergerak pabila ada angin yang bertiup. Ke mana arah angin, ke situlah lalang. Tidak wajar disamakan lalang dengan non partisan kerana mereka yang berada di pihak berkecuali bukanlah tiada pendirian, tetapi akan sentiasa berpihak kepada mereka yang menyatakan keadilan (meletakkan sesuatu pada tempatnya)

Bayangkan: Kita berada di pihak A, mengiyakan segala apa yang A lakukan dan ‘kerjakan’ yang benar, apatah lagi yang salah. Walak (patuh)katakan, tetapi salah konsep. Kita juga melihat pihak B berusaha untuk melakukan kebaikan untuk agama. Adakah kita cuma memandang kerja-kerja B / menentang / menyokong? Kita akan dikatakan berpaling tadah kerana menyokong B. Jadi, mahu tidak mahu, nak tak nak, kita terpaksa terus tunduk pada A (walaupun pahit, harus kutelan jua!). Adilkah kita?

Hadith ke 1206 menyebut: Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda “Sesungguhnya pemimpin adalah ibarat sebuah perisai yang digunakan untuk bertempur dan menjadi pelindung. Jika dia melaksanakan tugas dengan bertakwa pada Allah dan berlaku adil, maka dia mendapat pahala. Tetapi jika dia melaksanakan tugas tanpa ketakwaan dan keadilan, maka dia berdosa dalam kepemimpinannya”

Ingat, waktu Rasulullah s.a.w. mendapat wahyu pertama di Gua Hira’, baginda tidak bersorak gembira kerana menjadi pemimpin, tetapi menggigil ketakutan sehingga diselimutkan oleh Siti Khadijah. Bukti ini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan bukan landasan untuk menunjuk kuasa, tetapi bebanan yang harus dipikul di pundak demi kemaslahatan umat.

Sesiapa yang ditaklifkan sebagai pemimpin, selangkah kakinya dalam neraka. Harus jelas perkara tersebut. Barulah kita akan tahu di mana tempat seorang pemimpin di sisi Allah seandainya tidak meletakkan Al Quran dan Sunnah sebagai nota rujukan.
Bagaimana dengan penghasut yang memecah belahkan umat Islam? Menjadi batu api dalam melaga-lagakan pemimpin dan rakyat?

Hadith ke 1234: ‘Arfajah mengatakan bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda “Sungguh akan terjadi bencana demi bencana. Barangsiapa ingin memecah belahkan umat yang bersatu, maka tebaslah ia dengan pedang, siapa pun dia.”

Politik itu benar, namun memparti politikkan masyarakat itu yang tidak wajar.
Janganlah menjadi pemimpin yang bersikap al-wahn, istilah yang didefinisikan Rasulullah sebagai hubbu ‘d-dunya wa karahiyyatu ‘l-mawt (cintakan dunia dan takutkan mati). Pak Natsir (mantan Perdana Menteri Republik Indonesia) menterjemahkannya dengan kata-kata yang lebih bertenanga, bukan sekadar cintakan dunia, tetapi “rakus kepada dunia dan takut menghadapi risiko.”


Rujukan: Pendidikan Al-Hikmah & Misi Pencerahan (Himpunan Pidato Kependidikan), Dr. Siddiq Fadzil.
Ringkasan Shahih Muslim, M.Nasharuddin Al-Albani.

2 comments: