Monday, September 20, 2010

Rumah Impian




Seorang tukang kayu tua berhasrat untuk berhenti dari pekerjaannya itu di sebuah syarikat pembinaan yang agak besar dan maju, lalu dia menyampaikan keinginannya kepada pemilik syarikat tersebut. Antara alasannya adalah dia ingin beristirehat dan menikmati sisa hari tuanya dengan penuh kedamaian bersama isteri dan keluarganya.

Tuan punya syarikat pembinaan itu merasa sedih kehilangan seorang pekerja terbaiknya. Dia lalu memohon kepada tukang kayu tersebut untuk membina sebuah rumah kayu untuk dirinya. Tukang kayu itu mengangguk menyetujui permohonan peribadi bosnya itu. Tapi sebenarnya dia merasa terpaksa. Dia sebolehnya ingin segera berhenti dan tidak mahu terlibat dengan hal-hal pembinaan seperti itu lagi. Tumpuan tidak sepenuhnya dicurahkan terhadap proses pembinaan rumah tersebut.

Dengan sambil lewa dia melaksanakan projek itu. Dia cuma menggunakan bahan-bahan yang sekadarnya. Akhirnya, selesailah pembinaan rumah yang diminta oleh tuannya itu. Hasilnya bukanlah sebuah rumah yang baik. Sayang sungguh kerana dia hanya mengakhiri kariernya dengan prestasi yang tidak begitu mengagumkan.

Ketika pemilik syarikat pembinaan sekaligus bekas majikannya itu datang melihat rumah yang telah disiapkan tersebut, dia menyerahkan seberkas kunci rumah kepada si tukang kayu.

"Ini adalah rumahmu, hadiah daripada kami" katanya.

Betapa terkejutnya si tukang kayu. Betapa malu dan menyesalnya dia saat itu. Seandainya dia mengetahui bahawa dia sesungguhnya membina rumah untuk dirinya sendiri, dia tentu akan mengerjakannya dengan cara yang lain sama sekali. Kini dia harus tinggal di sebuah rumah yang kurang berkualiti pembinaannya, hasil usahanya sendiri.




Itulah yang terjadi pada kehidupan kita. Kadangkala, banyak dari kita yang membangunkan kehidupan dengan cara yang membingungkan dan kurang bertanggungjawab. Lebih memilih berusaha ala kadar berbanding mengusahakannya dengan baik. Bahkan, pada bahagian-bahagian terpenting dalam hidup, kita tidak berusaha melakukan yang terbaik.

Pada akhir perjalanan kita terkejut saat melihat apa yang telah kita lakukan dan menemukan diri kita hidup dalam sebuah rumah yang kita ciptakan sendiri.

Seandai kita menyedarinya sejak awal lagi, kita akan menjalani hidup ini dengan cara yang jauh berbeza.

Renungkan bahawa kita adalah Si Tukang Kayu. Renungkan 'rumah' yang sedang kita bina. Setiap hari kita mengetuk paku, memasang papan, mendirikan dinding dan atap. Mari kita selesaikan 'rumah' kita dengan sebaik-baiknya seolah-olah hanya mengerjakannya sekali sahaja seumur hidup.

No comments:

Post a Comment