Thursday, February 10, 2011

Cerita di suatu pagi

Setiap pagi, saya akan menunggu Kak Suzi di perhentian bas. Kegemaranku, suka melihat gelagat orang di sekeliling termasuklah orang yang sedang menunggu bas (sambil mengira-ngira kenderaan & berangan-angan).

Jam 7.30 pagi, saya masih di perhentian bas itu. Sendirian. Mata tertancap ke arah sesusuk tubuh yang sedang menaiki tangga dari jalan bawah menuju ke lebuhraya, tempat menunggu bas. Seorang aunty Cina. Termengah-mengah di anak tangga paling atas.

Di belakangnya, ada seorang lelaki Cina. Suaminya barangkali..langkahnya perlahan, terhincut-hincut, kepenatan.

Sewaktu aunty itu sampai di perhentian bas, saya tersenyum memandangnya. Dia membalas.

“Hai aunty, selamat pagi”

“Silamat pagi..kamu sikolah ka?” soalnya. Suaminya baru sahaja tiba dan duduk bersama kami.

“Tak, saya bekerja. Di ALAMi, Seksyen 13. Dekat Worldwide” balasku.

“Oh, aunty ingat kamu sikolah lagi. Penat ma…” keluhnya.

“Aunty tinggal di mana? Ni nak ke mana?”

“Itu lumah flat ooo. Mau pigi hospital. Ini Uncle punya kaki sakit. Itu doktor mau ambil dia punya darah. Aiyaa, manyak susah hati.”

Saya memandang wajah uncle. Sugul. Perjalanan mereka ke perhentian bas ini sungguh jauh. Hati saya sebak, uncle yang berjalan terhincut-hincut itu menahan kesakitan.

“Kita olang susah. Mana ada duit mau bili itu keleta. Anak-anak sibuk. Kamu tau amoi a, silipas pigi hospital, kita olang mau pigi bayar duit keleta anak. Anak suruh.”

Saya terdiam..

Aunty tengok kamu manyak cantik, manyak baik. Kilija betul-betul ya. Jangan susahkan mak bapak. Sayang mak bapak. Kita olang memang talak untung ooo dapat anak. Bikin sakit ini hati”

Matanya bergenang. Uncle yang sedari tadi diam hanya memandang jauh. Sesekali birai matanya disapu dengan tangan.

Aunty, Uncle…Tuhan banyak sayang sama kamu berdua. Aunty dan Uncle sudah besarkan anak-anak. Diorang pun sudah berjaya. Jangan menyesal ya..Aunty mesti banyak berdoa sama Tuhan”

Uncle memandang. Tersenyum.

“Tilima kasih ooo. Kamu bikin hati saya sijuk ooo.”

Lama kami berborak. Bas yang ditunggu mereka akhirnya tiba.

Lambaian tangan mereka mengakhiri pertemuan kami pada pagi itu. Tinggal saya sendirian, menanti Kak Suzi yang sampai 2 minit kemudian.

Takdir Allah telah mempertemukan saya dengan Aunty dan Uncle. Kisah ini mungkin sering kita dengar, tapi jarang kita ambil peduli. Sudah tiba saatnya kita mengubah dongeng Si Tanggang ini. Anak yang dilahirkan, dibesarkan oleh ibu bapa WAJIB menghargai jasa kedua mereka samapai bila-bila.

Kita dan generasi seterusnya yang bakal kita lahirkan.

~sangat sebak di waktu ini pabila mengenangkan ibu di kampung yang masih tiada suara~

2 comments:

  1. kenapa mata saya pedih ni..ada air..huhu..
    moga kisah ini menjadi panduan, teladan dan ingatan pd yg membaca..

    ReplyDelete
  2. insyaAllah...
    ada 1 kisah lagi. tp akk dh post kt Grup Penulis GPTD. huhu

    ReplyDelete