Wednesday, August 17, 2011

Tak Berapa Menjadi


Ramadhan tahun ini banyak mengajarku tentang erti sabar dan sabar dan sabar (eh, berapa banyak sabar ha? menunjukkan bahawasanya latihan kesabaran itu penting.

Minggu ketiga Ramadhan, aku dan teman serumah bersepakat untuk berbuka puasa beramai-ramai bersama jemaah lain di Masjid Negeri. Merasai suasana berbuka di masjid. Sepanjang 4 tahun di UNISEL, aku memang berbuka puasa di Masjid UNISEL. Kadang-kadang menjadi urusetia untuk menguruskan juadah berbuka bagi para jemaah.

Tahun lepas, aku hanya berbuka puasa di rumah sewa kerana berpraktikal. Kadang-kadang, ikut serta dalam Program Agihan Ramadhan di serata negeri.

Tahun ini, pelbagai agenda tersusun dalam jadual kami satu rumah.

Hari Isnin, Ramadhan ke 15, kami ke Masjid Negeri, Shah Alam.

Sudah ramai yang sudah tiba. Kami mencari ruang-ruang yang kosong untuk duduk. Makanan diletakkan untuk 4 orang satu tempat. Kami hanya datang berdua, jadi 2 bahagian lagi itu kami reserve kan untuk sesiapa sahaja yang sudi makan bersama kami.

Temanku ke tandas.

Tinggal aku keseorangan. Mengaji.

Sesekali memerhatikan gelagat mereka yang ada di situ.

Seorang makcik menyapa.

"Boleh makcik ambil 1 bubur lambuk tu?"

Aku menyuakan padanya. Harapanku agar dia dapat duduk dan makan bersama kami.

Dia duduk. Salam perkenalan bermula.

Panjang ceritanya. Sewaktu teman serumahku datang menyertai kami, ceritanya masih diteruskan.

Sebagai seorang manusia yang berpangkat anak, aku hanya mengangguk dan mengiyakan segala kata-katanya.

Banyak perkongsian yang kami peroleh. Makcik itu gemar bercerita.

Tentang dirinya, rumahnya, jirannya, tentang kisahnya menyambut Ramadhan dan Syawal di Tanah Suci, tentang arkiteknya, teman-temannya, dan macam-macam lagi. Fuhhh!

Salah satu ceritanya adalah mengenai teman seumrahnya tahun lepas. Seorang lelaki berpangkat pakcik yang dihantar oleh anak-anaknya untuk mengerjakan umrah.

Kata Makcik "ada seorang kawan makcik tu, dia ada 11 orang anak. menjadi semuanya, tapi tu la...ada 2 orang kurang menjadi. cikgu aje."

'oh, kalau kerjaya guru itu kurang menjadi.....siapa yang mengajar kita tulis baca makcik? bukankah cikgu?' kata-kata itu meronta-ronta di kerongkong cuma.aku hanya tersengih memandang makcik itu. juadah berbuka kupandang sepi.

Aku menelan kata-katanya. Pahit.

Selepas 'ayat bisa' dia tu keluar, aku cuma angguk, geleng, dan sengih sahaja memandangnya.

Azan berkumandang.

Kurma kurasakan seperti terlalu susah untuk ditelan. Aku betul-betul terasa hati. Aku tahu, temanku juga begitu.

2 minit selepas itu, makcik itu meminta diri. Mahu ke ruang solat katanya. (Dia hanya makan bubur lambuk sahaja sewaktu berbuka.)

Aku tidak tahu mengapa, tapi aku sangat lega pabila dia meminta diri.

Kami diam. Makan. Solat.

Pulang dari masjid, kami berdiskusi.

Puas kami fikir, kenapa profesion guru dikatakan 'kurang menjadi' oleh makcik itu.

Tanpa cikgu, tiada siapa yang akan berjaya makcik...

Allah s.w.t. jadikan guru sebagai perantara untuk mendidik manusia. Menjadi guru itu pahalanya amat besar walaupun 'kurang menjadi'.

**"Mimpi aku bukan jadi isteri saudagar, Pak. Mimpi aku mahu jadi guru......" Buk Muslimah, Laskar Pelangi.

No comments:

Post a Comment