Thursday, December 15, 2011

Mana Milik Kita



“Akak sepatutnya ambil tiket ke Kajang, tapi suami akak tersalah beli. Nanti akak ke Hentian Putra dulu.”

“Owh…” aku membalas. Dia duduk di sebelahku.

Bas kami memulakan perjalanan. Kebiasaannya, aku akan tidur sepanjang perjalanan bagi mengelakkan aku tersengguk-sengguk di meja kerja pada keesokan harinya. Tapi, jarang benar ‘TIDAK TERSENGGUK-SENGGUK” itu.

Kakak di sisiku memulakan bicara. Tentang dirinya, tentang keluarganya. Tentang kisah hidupnya.

Aku lebih banyak diam tanda mendengar dan dia terus bercerita seolah-olah kami sudah lama mengenali diri masing-masing.

Begini kisahnya….(aku sangat berharap agar dia tidak menipuku. Kerana apa yang bakal kutulis nanti adalah 100% berdasarkan apa yang telah dikhabarkan kepadaku. Jika dia benar, Alhamdulillah…aku berkongsi ilmu dan manfaat buat semua. Jika tidak, aku menganggap ianya adalah satu ‘subjek’ dalam sekolah kehidupan yang mengajar tentang kesabaran seorang manusia.)

Dia adalah ibu kepada 5 orang anak (salah seorangnya syndrome down). Selepas kegagalan perkahwinan pertamanya, dia meneruskan hidup dengan anak-anak. 10 tahun hidup sendiri tanpa teman hidup menjadikannya tabah mengharungi liku-liku kehidupan.

Katanya


"Manusia tidak terlepas dari diuji. Ujian menjadikan akak, kamu, dan semua orang supaya kuat. Kuat menjalani kehidupan. Dan yang paling penting, menjadi khalifah yang hebat kepada Allah s.w.t."

Aku mengangguk.

Takdir Allah, dia dipertemukan dengan seorang lelaki yang akhirnya bergelar suaminya (aku sempat berbual sebentar dengan suaminya sebelum bas bertolak). Menjadi isteri kedua…

Perit menjalani hidup sendirian membesarkan anak-anak diuji lagi dengan keadaan itu. Isteri pertama tidak dapat menerima kenyataan suaminya telah bernikah buat kedua kalinya. Suaminya berhenti kerja dan meninggalkan bumi Selangor untuk menuntut ilmu agama di salah sebuah pondok di Kelantan. Isteri-isteri dan anak-anak ditinggalkan.

Kakak itu sekali lagi menjalani kehidupan seperti dahulu. Sokongan suami dari jauh.

Di suatu sudut hati, aku mengagumi kesetiaan sang isteri ini. Katanya, suaminya berkelana demi mencari ilmu. Nafkah buat tanggungannya diberikan sebaik-baiknya. Itu bicaranya…

“Akak tak pernah terlintas untuk merampas suami orang. Akak istikharah, suami akak istikharah. Anak-anak akak suka. Tapi dalam keluarga akak, cuma mak yang faham. Adik-beradik dan semua saudara-mara anggap akak perampas. Fikir akak desperate. Akak rasa sakit sangat…”

Air matanya mengalir. Laju…

Tidak diendahkan lagi siapa di sekeliling. Aku terpempan. Risau tangisnya berlanjutan. Aku bukan ‘pemujuk’ yang baik. Risau juga andai penumpang-penumpang lain salah anggap padaku, mengatakan akulah penyebab kakak ini menangis. Nanti, aku dihalau keluar dari bas…oh, tidak!

Perlahan-lahan, tangisnya beransur reda. Aku juga lega.

“Akak tak pernah harap mereka faham keadaan akak, tolong akak. Setiap hari, akak cuma berdoa semoga dibukakan hati mereka untuk terima akak. Itu sahaja.”

Aku yang sedari tadi diam dan cuma memberika respon “owh..”, “yeke…”, “Allahu Akbar” membalas


“Kak, tak semua yang kita harapkan akan jadi kenyataan. Allah s.w.t. bagi akak pelajaran ‘redha’ bukan untuk ditangisi, tapi dihargai. Kadang-kadang, apa yang ada pada kita bukan selamanya akan kekal dengan kita. Sampai suatu tahap, ia pasti terlepas sama ada kita merelakan atau Dia yang telah aturkan.”

Kakak itu tersenyum. Mungkin setuju. Mungkin dalam proses memahami.

“Dah la, tidurlah. Kamu mesti penat mendengar cerita akak. Terima kasih untuk ‘telinga’ yang telah kamu pinjamkan buat akak” tuturnya mematikan bicara antara kami.

Lalu aku terlena.

Sewaktu tersedar, aku sudah sampai di Stesen Bas Seksyen 17, Shah Alam. Kakak itu sudah tiada di sisiku. Dia sudah turun di Hentian Putra. Mungkin dia tidak sampai hati mahu mengejutkanku.

Terpisat-pisat mataku. Lantas, beg ku sandang dan turun dari bas menuju ke hentian teksi.

Dalam perjalanan ke rumah, aku teringat!

Botol air hijau kesayanganku tertinggal dalam bas.

Sungguh, Allah s.w.t mengujiku dengan nasihatku semalam.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibu bapaku, serta dosa hamba-hambaMu yang lain.


Mana milik kita?

Tidak ada milik kita.

Semua Allah yang punya.

No comments:

Post a Comment