Sunday, December 18, 2011

Ujian kesabaran


Bulan lepas, saya menerima mesej dari seorang teman. Membalas mesej bukan hobi saya. Jadi, kadang-kadang ianya terbiar tanpa jawab buat beberapa ketika sebelum saya membalasnya. Bergantung pada tahap 'kecemasan' mesej tersebut. Sekarang, bila melangkah ke alam kerja....saya semakin malas untuk membalas mesej. Tapi, jangan risau....saya akan membalas mesej semua orang, cuma ada cepat, ada lambat. Itu sahaja. (Bila diri ditimpa malas)

Mesej teman saya berbunyi:

Hampa...

Saya tidak memahami mesej tersebut. Hanya sepatah kata darinya. Saya membalas:

Apa yang boleh saya tolong? Kenapa tiba-tiba hampa?

Balasannya:

Baru lepas meneguk secawan teh.

Aik? Ada kaitankah?

Saya mulai menggaru kepala yang tidak gatal. (Teringat Cikgu Hasmat, guru Bahasa Melayu Tingkatan 5. Beliau akan memanggil nama saya kuat-kuat apabila dilihatnya jari-jemari saya menggaru kepala. "Wan Ritini!!!!!" dan saya akan tersengih-sengih lalu menjatuhkan tangan dengan serta-merta.)

Apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh teman saya yang seorang ini? Sejam kemudian saya membalas:

Cuba awak berterus-terang. Saya betul-betul tidak faham.

Apa dibalasnya?

Tadi saya minum secawan teh dan sekeping roti krim.


Subhanallah....hingga sekarang saya berdiam diri. Serius, saya benar-benar tidak tahu apa yang dimaksudkannya.

Mungkin kerana setiap hari bermain dengan nombor dan fakta menjadikan saya seorang yang berterus-terang. Tidak ada bunga-bunga. Tanpa ayat meleret-leret. Itu saya.

Maafkan saya teman-teman. Saya masih belum mampu untuk membaca hati semua. Berterus-teranglah. Jangan sampai 'bunga-bunga' kalian akan meranapkan rasa sabar saya.

Mesej di telefon tidak sama dengan cakap berdepan. Indahnya andai cukup sekali mesej lalu boleh menyampaikan maksud sebenar dari hati.

Contohnya begini:

Salam. Ahad ini saya lapang. Dari pagi hingga ke petang. Kalau awak juga berkelapangan, yok temankan saya ke pasar tani. Mahu membeli barang dapur

Jelas bukan?

Lalu saya pasti membalasnya begini:

Wsalam. Insya Allah, setakat ini masih lapang. Telefon saya apabila awak sudah mahu keluar rumah.

Saya tidak pening kepala. Dia juga faham.

Komunikasi itu mudah. Jangan perlekehkan.

Tidak semua orang punyai waktu luang yang terlalu banyak hingga boleh membalas mesej sepatah- sepatah.

Setiap orang punyai keutamaan.

Tidak mahu kompromi? Cukup sekadar fahami.

~~Baru lepas telefon ibu, meluahkan..... pesan ibu, soal jodoh itu urusan Allah s.w.t. Yang paling penting, usaha tak pernah putus. Kamu mungkin penat dan tertekan dengan semua orang yang seolah-olah mahu 'memaksa' kamu kahwin, tapi Allah s.w.t. tak pernah jemu untuk dengar doa kamu supaya dipertemukan dengan bakal jodoh kamu. Dengan siapa kamu akan berkahwin, itu menjadi persoalan semua. Apa yang mustahak, kamu jadi yang terbaik untuk menjadi suri hidup bakal suamimu nanti. Ibu takkan pernah memaksa kamu untuk itu. Ibu percaya, Dia telah mempersiapkan seseorang buatmu. Hanya yakin dan percaya. Usaha tanpa lelah.~~

Nafas lega perlahan-lahan ku elus.

Terima kasih untuk semuanya.

No comments:

Post a Comment