Monday, December 26, 2011

Memahami Hati Ibu


Ibu saya adalah anugerah terindah buat saya selepas pemergian arwah ayah menemui Nya. Setiap hari, doa dan harapan saya agar saya terus berbakti untuk ibu hingga ke akhir nafas saya.

Dengan ibu, saya banyak mengalah.

Jarang benar cakap ibu yang saya bangkang.

Tapi kadang-kadang, untuk urusan jemaah dan sesetengah perkara, saya akan berkeras.

Dahulu, saya jarang mementingkan hati ibu dalam banyak hal. Apa yang saya buat adalah berdasarkan apa yang saya hajati.

Namun, Dia Maha Mendengar doa seorang ibu. 'Kemalangan kecil' yang saya alami telah membuka mata dan hati saya tentang naluri seorang ibu.

Saya berubah. Menjadi anak yang hanya mahukan redha Allah.

Ibu tidak pernah mendesak. Cuma adakalanya kata-kata berbaur tegas menjadikan saya berada dalam zon serba-salah.

Hidup berjemaah banyak mengorbankan rasa hati saya. Sulit untuk memahamkan hati seorang ibu.

Ramai yang bertanya dan mahu saya kongsikan bagaimana saya menawan hati seorang ibu. Tentang memahami dan cuba berdiplomasi dengan seorang wanita bergelar ibu.

Saya cuma ingat 1 pesanan ayah "Berlembutlah dengan ibu. Insya Allah, Dia akan perlembutkan hatinya."

Saya tidak punyai tips khusus. Sekadar usaha berdasarkan pembacaan dan petua dari mereka yang berpengalaman. Daripada itu, saya cuba implementasikan buat ibu.

  1. Doa. Doa yang tidak pernah putus semoga ibu faham dengan perjalanan seorang relawan / daei' / belia seperti saya.
  2. Patuh. Jangan pernah ingkar dengan setiap kata-kata ibu.
  3. Masa. Peruntukkan waktu untuk ibu supaya dia tidak pernah rasa kehilangan / terpinggir dari jiwa anaknya. Setakat ini, saya menelefonnya 2 hari sekali dan pulang bertemunya sebulan sekali. Walau bagaimanapun, dia masih belum berpuas hati. Ibu...ibu....kelakar sungguh. Agaknya dia mahu setiap hari saya pulang.
  4. Tidur dan makan. Manfaatkan masa untuk tidur bersama ibu. Tatap wajahnya waktu dia sedang tidur. Kenangi saat-saat indah bersama ibu yang telah dikongsi bersama. Jika pulang ke rumah, saya pasti tidur dan makan dengan ibu. Suatu kemestian.
  5. Kongsi. Saya kongsikan semua kisah hidup saya dengan ibu. Tidak ada yang tertinggal. Cuma kadang-kadang, ada yang telah di'edit' sebelum sampai ke telinga ibu. Saya mahukan ibu terasa dia yang paling utama dalam hidup saya sekarang.
  6. Keutamaan. Meletakkan urusan ibu penting selepas urusan dengan Allah s.w.t dan RasulNya merupakan tanggungjawab yang besar. Kelihatan mudah, namun adakalanya menyesakkan.
Ada antara kemahuan ibu yang meleburkan impian saya. Tapi saya tidak putus-putus berdoa semoga Allah melembutkan hati ibu untuk merelakan impian saya supaya direalitikan.

Setiap ibu pasti menginginkan yang terbaik buat anaknya. Saya kagum dengan ketegasan ibu mendidik kami adik-beradik. Ternyata, ibu adalah yang terbaik buat kami sekeluarga.

Saya menyayangi ibu. Saya juga mengejar cinta untuk berbakti buat umat. Saya mahukan keduanya.

Saya jarang melepaskan peluang untuk berbincang dengan ibu tentang perjalanan hidup saya. Tentang impian saya bersama jemaah. Kerana saya bukan sahaja mahu ibu redha dengan segala keputusan saya untuk jemaah, tetapi juga saya mahu ibu kenal erti jemaah dalam hidup saya.

Perlahan-lahan, saya mahu ibu setuju. Berharap agar ibu menyokong jalan yang bakal saya pilih.

Saya baru pulang dari Tamrin Tarbawi ABIM-PKPIM di Kedah & Selatan Thai. (22 - 24 Disember 2011). Saya maklumkan pada ibu mahu ke Kedah pada hari Selasa (2o Disember 2011) dan ke Selatan Thai pada hari Jumaat (23 Disember 2011: malam kami akan bertolak ke Selatan Thai).

Alhamdulillah, ibu redha dengan perjalanan musafir saya.

Cuma pesannya "Hati-hatilah."

Dengan nada bergurau, saya bertanya padanya "Ibu kisah tak kalau saya bertemu jodoh dengan lelaki dari Kedah?"

"Asalkan baik agama dan akhlaknya, ibu setuju." jawabnya ringkas.

Oh, itu cuma gurauan antara kami.

Yang penting, ibu perlahan-lahan meredhai perjalanan dakwah saya.

Ibu selalu berharap tahi lalat di kedua-dua belah kaki saya akan hilang. Katanya, sayalah satu-satunya anak yang rajin berkelana kerana anugerah tahi lalat itu. Walaupun saya tahu ibu main-main, ada maksud tersirat di sebalik kata-katanya. Dia mahukan saya pulang ke Tanah Serendah Sekebun Bunga itu. Saya terus berusaha meyakinkan ibu, musafirnya saya bukan untuk suka-suka, tetapi sebagai salah satu proses tarbiyah diri saya dan semua yang saya temui. Untuk menjalani sebuah kehidupan yang bukan berlandaskan keseronokan, tetapi bantuan untuk mereka yang memerlukan. Sebagai bekalan andai dipersoalkan di akhirat nanti.

Pagi tadi, ibu menelefon.

"Kamu mesti pulang pada 3 haribulan 1 nanti. Ada urusan penting pada 4 haribulan."

Sami'na wa ato'na.

No comments:

Post a Comment