Thursday, December 29, 2011

Catatan Pengalaman Tamrin Tarbawi *I*

Khamis (22 Disember 2011)

Bertolak dari rumah pada jam 7 malam. Hampir 1/2 jam menanti teksi yang tidak kunjung tiba membuatkan hati berdegup kencang. Sempatkah saya? Cuba untuk husnu dzon. Mungkin pakcik-pakcik yang memandu teksi berhenti seketika untuk solat Maghrib. Alhamdulillah, teksi tiba. Caj RM 7 untuk ke Padang Jawa. Allahu Akbar! Sebelum ini, hanya RM 3 sahaja. Katanya "Saya cuma hantar awak saja, nanti pulang dari Padang Jawa, teksi kosong."

Malas bertegang urat dengan pakcik teksi itu, saya mengangguk. Bimbang terlambat.

Sepanjang perjalanan yang cuma mengambil masa lebih kurang 7 minit itu, pakcik teksi membuang sampah keluar dari teksi. Saya memandang. Tanda protes.

Perlahan-lahan, dia selitkan sampah dalam poket bajunya.

Perjalanan 13 stesen menuju ke KL Sentral membuatkan saya tertidur. Oh, itu memang tabiat apabila menaiki kenderaan awam.

Sampai di KL Sentral, saya bertemu Ummah dan Izyan (adik-adik GPTD UNISEL). Alhamdulillah, taaruf 2 kali yang lalu mendekatkan kami. Sama-sama menaiki LRT ke Terminal Taman Melati. Perjalanan 11 stesen lagi.

Selepas menaiki teksi, akhirnya kami tiba di Sekretariat ABIM Pusat, Taman Cemerlang. Jam 9 malam. Rupa-rupanya kami antara yang pertama tiba selepas Kak Fathi dan Wani.

Lebih kurang jam 11 malam, kami menaiki bas menuju ke Kedah. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 7 jam itu agak mencabar. Saya jarang membawa sweater ke mana-mana walaupun menaiki bas untuk pulang ke kampung. Kali ini, saya diuji dengan kesejukan yang benar-benar menguji. Terketar-ketar.

Filem Al Qadisiyah yang dipertontonkan buat kami gagal membesarkan mata yang keletihan ini. Saya cuma mampu bertahan selama 1 jam menonton filem tersebut. Pesan Ustaz Hasri "Kalian harus menonton filem ini, bukan filem ini menonton kalian tertidur" benar-benar terjadi. Selepas itu, lena dibuai mimpi bersama Arina di sebelah. Pabila tersedar, sudah keluar gambar akhirnya.

Jumaat (23 Disember 2011)

Sebelum azan Subuh menjelang, kami tiba di Maahad Tarbiyyah Islamiyah, Derang, Kedah.

Bersiap-siap dan bersolat Subuh.

Kami berkumpul di Masjid An-Ni'mah untuk mengikuti Kuliah Subuh di situ.

Antara intipati kuliah yang disampaikan adalah tentang kepentingan doa Qunut dalam Solat Subuh, dan ciri-ciri orang soleh.

Antara ciri-ciri orang soleh adalah:
  1. Perhatikan jadual hidup kita. Adakah sama dengan jadual orang soleh? Contohnya bangun sebelum terbitnya fajar.
  2. Hubungan dengan dunia. Bagaimana? Adakah tergolong dalam golongan wahan (cintakan dunia dan takutkan mati) ?
  3. Berani mati (bagaimana dengan persiapan kita untuk bertemu Nya?)
  4. Pastikan setiap aktiviti kita tidak ada sifat riya'.
Selepas kuliah Subuh, kami berehat seketika dan bersiap-siap untuk aktiviti pagi itu. Kami (HELWA & HEWI) ditempatkan di asrama. Sesi taaruf diadakan dan dikendalikan oleh Kak Maria. Ternyata, benarlah kata-kata "Tak kenal, maka taaruf."

Selesai bersarapan, kami dewan. Aktiviti pertama kami adalah pembahagian kumpulan mengikut nama watak dalam Perang Al Qadisiyah. Kumpulan saya bernama 'Mu'anna' dan ahli kumpulan adalah saya, Kak Siti, Dyll, Afah, Izyan, dan Temah.

Selepas itu, kami menonton semula filem Al-Qadisiyah. (entri khas AlQadisiyah akan dipos nanti)

Usai solat Jumaat, kami membentangkan watak dan perwatakan grup kami. Sedang kami bertungkus-lumus menyediakan hasil pembentangan, Ustaz Naim menukar nama kumpulan kami kepada 'Al Khansa''.

Selepas sesi pembentangan, kami mendengar ceramah daripada Ustaz Ismail Ishak Banjasmit. Beliau menceritakan tentang sejarah Pattani dan hasil-hasil kajian beliau tentang Sejarah Nusantara.

Salah satu pantun yang disampaikannya menarik perhatian saya:

Dari Pattani ke Tanjung Kandis,
Ditiup angin selatan daya;
Dari mula ianya manis,
Rupanya sultan kena perdaya.

Selepas solat Jamak Maghrib dan Isyak, kami mendengar taklimat daripada Ustaz Hafiz, pengetua Maahad Tarbiyah Islamiah ini. Beliau juga merupakan YDP ABIM Kedah. Taklimat beliau berkisar mengenai pengasas maahad ini iaitu Ustaz Ni'mat. Antara kata-katanya adalah "Jadilah manusia yang baik dan baik yang berkebajikan."

Seterusnya, kami diberi taklimat ringkas sebelum bertolak ke Selatan Thai.

Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 1 jam itu memberi pengalaman yang sungguh luar biasa.

Alhamdulillah, proses kami dengan pihak imigresen berjalan lancar.

Lebih kurang jam 11 malam, kami tiba di Selatan Thai.

Kami dibawa menaiki kenderaan Hiace ke tempat persinggahan di Danok. Kami tidur di sana.

No comments:

Post a Comment