Monday, January 2, 2012

Catatan Pengalaman Tamrin Tarbawi *II*

Sabtu (24 Disember 2o11)

Kami bermalam di Maahad Ihya' Sunnah Muhammadiah di Danok. Alhamdulillah, sesi melepaskan penat berlangsung dengan jayanya. Lebih kurang jam 7.30 pagi, kami memulakan perjalanan ke Masjid Kerisek. Perjalanan yang mengambil masa selama 2 jam itu memang menyeronokkan dan memberi satu gambaran awal tentang Muslim di Selatan Thai.

Kenderaan yang kami naiki dipandu oleh seorang lelaki warga Thailand bernama Pakcik Shaari. Beliau tidak banyak bercakap. Hanya sesekali mendengar suaranya apabila kami bertanya. Di tengah perjalanan, kami berhenti di Chana untuk mengisi gas bagi kenderaan ini. Pertama kali sampai di sini, peluang bergambar tidak dilepaskan.

Jam 10.15 pagi, kami tiba di Masjid Kerisek. Di sini, kami diberi taklimat oleh Ustaz Ismail Ishak Banjasmit. Beliau menerangkan tentang sejarah Masjid Kerisek. Kerisek bermaksud pasir putih bersih. Masjid ini dibina pada zaman Sultan Patani ke II, Sultan Muzaffar Shah.

Di masjid inilah terjadinya peristiwa bersejarah yang telah mengorbankan umat Islam pada tahun 2008. Mereka ditembak beramai-ramai ketika sedang solat berjemaah. Gugurnya mereka sebagai syuhada' selepas tentera penceroboh Thailand melancarkan bom roket dan melepaskan tembakan bertubi-tubi ke Masjid Kerisek.

Bertafakkur...moga Islam terus subur di bumi ini. Moga mereka yang masih tinggal terus gigih menjalani hari depan.

Seterusnya, kami bertolak ke Phaya Inthira Cemetery (Makam Raja Muda) iaitu makam sultan yang mengasaskan penubuhan Masjid Kerisek. Saya tidak mendengar butiran maklumat yang disampaikan oleh Ustaz Ismail Ishak Banjasmit dengan teliti kerana golongan lelaki yang mengerumuni Ustaz menyukarkan kami (perempuan) untuk menangkap setiap butiran yang dinyatakan beliau.

Kami meneruskan perjalanan ke Masjid Jamek Al-Fathoni. Kami tiba di sana pada jam 11.45 pagi. Suasana jemaah yang ramai menghadiri kuliah ini saya rasai sama seperti di Kota Bharu pada hari Jumaat. Jemaah memenuhi setiap ruang masjid. Subhanallah, budaya ilmu yang berkembang mekar dalam jiwa masyarakat Islam di Pattani ini sungguh mengagumkan. Saya dan teman-teman duduk bersama-sama dengan golongan wanita di perkarangan masjid.

Kuliah ini disampaikan oleh Ustaz Ismail Sipanjang. Kagum seketika apabila melihat mereka yang kurang upaya berusaha gigih berjalan untuk menadah ilmu. Tarbiyyah hati supaya bersyukur dengan nikmat yang ada. Supaya lebih berusaha untuk menggali ilmu.

Sebaris ayat daripada kuliah beliau adalah "Kita hidup dengan hati. Tanpa hati, jiwa kita mati. Sebagai contoh, wayang kulit. Yang menggerakkan wayang kulit adalah tok dalang, yang bergerak adalah wayang kulit itu sendiri. Wayang kulit tidak akan bergerak sendiri kerana ianya tiada hati."

Jam 1 petang, kami tiba di Maahad Idris Tok Jong. Saya dan beberapa orang teman dibawa melawat kawasan muslimah di maahad tersebut. Untuk murid perempuan, ada satu bangunan yang mempunyai 10 buah kelas (2 tingkat). Di situlah mereka belajar setiap hari. Sewaktu kami tiba, kelas-kelas itu dipenuhi dengan baju-baju yang baru dibasuh. Mereka menjemur pakaian kerana ruang ampaian yang ada tidak mencukupi.

Dapur mereka sangat unik. Bersusun almari, tong gas, dan kuali. Mereka memasak sendiri makanan untuk dimakan setiap hari. Di maahad ini, mereka bukan sahaja belajar ilmu agama, tetapi juga tentang ilmu kehidupan.

Selepas itu, kami masuk semula ke tempat semua ahli lawatan berkumpul. Saya dipertemukan dengan seorang nenek. Ceritanya berkisar tentang kehidupannya di maahad ini. Petah bicaranya mengingatkan saya pada arwah nenek.

Subhanallah, Dia mempertemukan saya dengan seorang makcik yang mana arwah suaminya berasal dari kampung saya, namanya Makcik Hajar. Menitis air matanya kerana terharu dan tidak menyangka akan dipertemukan dengan saya di sini. Panjang ceritanya, murah senyumannya, banyak pesanannya membuatkan saya jatuh hati pada keramahan mereka di sini.

Kami dijamu dengan nasi minyak. Sedap.

Sesi bergambar beramai-ramai diambil sewaktu kami mahu melangkah keluar dari maahad tersebut. Makcik Hajar memeluk erat dan mencium dahi dan kedua-dua belah pipi saya. Oh....saya yang mudah kalah dengan 'perasaan ibu' ini terasa sebak. Penuh air dalam kolam mata.

Kami teruskan perjalanan ke Markaz Tabligh Pattani. Di sini kami dibawa ke tempat penginapan bagi perempuan. Golongan wanita tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan masjid. Persinggahan kami ke markaz ini menemukan kami dengan mereka yang mahu menuntut ilmu agama dengan meninggalkan kampung halaman masing-masing. Ada yang datang dari Indonesia, Malaysia dan beberapa negara lain.

Selesai lawatan kami pada hari itu. Perjalanan seterusnya adalah ke restoran. Perjalanan yang sungguh panjang itu menyeronokkan dan bermanfaat buat saya. Mungkin juga buat semua. Alhamdulillah, saya tidak tidur sepanjang perjalanan seharian di Tanah Siam itu.

Jam 9.15 malam kami tiba di restoran. Makan. Dek kerana kelewatan makan malam, perut saya tidak dapat diisi dengan baik. Syukurlah, walaupun sekadar mengalas perut, ianya mampu 'memujuk' perut saya yang sensitif itu.

Kami diberi masa 15 minit untuk membeli-belah sebelum bertolak ke tempat imigresen. Saya yang kurang tahu berbelanja ini cuma membeli 2 biji buah delima, satu peket biskut jem, dan keladi goreng.

Selepas sesi mengecop pasport, kami perlu berjalan (10 minit) untuk ke tempat bas menunggu.

Dalam bas, saya tidur dengan nyenyaknya.

Ahad (25 Disember 2011)

Solat Subuh di Hentian Sungai Buloh.

Kami tiba di Sekretariat ABIM Gombak pada jam 7 pagi.

Saya menaiki LRT ke KL Sentral dan pulang ke Shah Alam menaiki KTM. Jam 9.30 pagi, saya tiba di rumah.

***gambar-gambar tiada di sini. Maaf, saya belum rajin upload gambar pada ketika ini.

No comments:

Post a Comment