Thursday, January 5, 2012

Rindu Cikgu


Saya mula berjinak-jinak dalam alam 'perguruan' sejak tahun 2009. Bermula dengan permintaan adik-adik di universiti yang mahu saya mengajar mereka subjek Business Statistics. Pada mulanya, berat hati saya untuk menerima permintaan tersebut, tetapi dek kerana kasihan, saya sanggup.

Maka bermulalah pengembaraan saya sebagai seorang guru. Tidak banyak sebenarnya ajaran saya pada mereka. Cuma sekadar refresh apa yang telah diajar oleh pensyarah mereka sahaja.

Alhamdulillah, mereka berjaya dalam peperiksaan akhir semester. Ada yang mendapat A, B,C. Cuma seorang yang tidak lulus. Jadi, semester seterusnya, saya mengajar dia lagi. Untuk kertas ulangan.

Tahun berikutnya, saya 'dipaksa' oleh teman serumah saya untuk mengajar kawannya yang telah gagal 2 kali berturut-turut kertas Business Mathematics. Cuak pada mulanya kerana saya yang bakal membantunya untuk 'lulus' atau 'gagal buat kali ketiga'. Allahu Akbar.

Saya mengajarnya 2 kali seminggu. Hinggalah ke hari terakhir sebelum peperiksaan. Tersengal-sengal mengajar dan belajar. Saya berada dalam zon terkejar-kejar pada waktu itu. Saat kritikal buat saya dan dia.

Sewaktu keputusan peperiksaan keluar, dia menghantar mesej:
Cikgu, alhamdulillah...saya lulus.

Alhamdulillah...nafas lega saya elus perlahan-lahan.

Tahun 2011, saya ditawarkan untuk mengajar seorang pelajar Asasi UM. Pada mulanya, saya gerun. Saya ini 'cikgu terjun'.

Dek kerana keperluan kewangan, saya setuju.

Sebelum mengajar murid ini, saya belajar setiap hari. Mengingat kembali apa yang saya pelajari dahulu. Walaupun cuma subjek asas, tetapi kerana sudah lama ditinggalkan, saya perlu belajar semula. Itulah saya, belajar hanya untuk lulus peperiksaan, bukan untuk kehidupan.

Persamaan pelajar ini dan pelajar-pelajar sebelum ini adalah mereka tidak meminati subjek Matematik. Dari sekolah rendah hinggalah ke universiti.

Saya mengajarnya di rumah neneknya. Memang gundah-gulana jiwa sebab sentiasa rasa diperhatikan.

Hari pertama saya mengajarnya, dia memang tidak tahu apa-apa tentang subjek yang dipelajarinya. Sedangkan ujian akhir semester bakal menjengah 2 bulan lagi. Hampir menangis saya dibuatnya kerana saya seolah-olah berbicara sendirian. Seperti biasa, jawapan jujur murid-murid saya"Saya tidak minat Matematik, cikgu."

Saya cuba faham rentak pembelajarannya, kenal minatnya, dan banyak lagi. Dia sukar untuk mengira tetapi mudah menghafal. Hafiz.

Banyak kali dia berputus asa.

"Saya tak faham." ayat yang biasa diulangnya setiap kali kelas. Akhirnya saya bertegas. Mahu dia lebih serius.

Saya katakan padanya tiada siapa yang tidak mampu untuk berjaya kalau dia berusaha.

Dia diam. Mula membuka mata dan hati untuk menerima ilmu yang saya titipkan padanya.

Apa keputusan akhirnya tidak saya ketahui. Yang saya tahu, dia sudah menyambung pengajian di peringkat ijazah.

Saya mengajar lagi. Murid darjah 4. Petah berbicara, tapi cepat terlupa. Jika diberi latihan, memang betul sahaja jawapannya. Bila diuji dengan peperiksaan dari saya / cikgunya di sekolah, dia tidak dapat melakukannya.

Dalam Grup Penulis GPTD, saya juga dipanggil cikgu. Terlupa bagaimana ia bermula.

Itulah murid-murid saya.

Saya pernah bercita-cita untuk menjadi guru. Tapi Dia pandu saya ke jalan lain. Ternyata, walaupun hanya jawatan sampingan, ia membahagiakan.

Gelaran cikgu membuatkan saya segan. Malu dengan diri sendiri. Saya belum layak untuk dipanggil CIKGU.

Panggilan dan mesej daripada ibu murid saya ketika saya berada di Selatan Thai mengusik jiwa 'cikgu' saya. Katanya

Anak saya rindukan cikgu. Harap cikgu sihat-sihat selalu.

Bila sudah menjadi cikgu, susah rupanya nak hide status tu.

p/s: Cikgu pun sebenarnya rindu dengan murid-murid cikgu. Moga kalian terus belajar.

No comments:

Post a Comment