Saturday, April 14, 2012

Penghapus Dosa

Jumaat malam
Saya menelefon ibu usai pulang dari sekolah. Jam 10.15 malam. Bercerita itu ini dan keluh-kesah yang saya hadapi sepanjang pengajian. Meluah rasa tentang 'kepayahan' dalam menyambung pelajaran yang adakalanya membuatkan air mata saya menitis di sepanjang jalan. Subhanallah.....Dia anugerahkan seorang ibu yang benar-benar faham keadaan saya. Walau saya hampir jatuh tertiarap, ibu peluk saya erat, mahu saya terus bangun berjalan tanpa lelah.

Dalam perbualan telefon itu, ibu berkias-kias. Katanya
"Sambil menyelam tu, minum la air."
Saya tergaru-garu kepala yang tidak gatal "Maksudnya?"

Perbualan menjadi serius. Ibu menyebut soal jodoh. Ibu mahu saya berjaya dalam pelajaran & menunaikan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. yang satu itu, iaitu menikah.

Alhamdulillah, perbincangan kami ternyata membahagiakan saya dan ibu.

Sabtu Pagi
Seperti yang dijanjikan, saya dan Cok Jihan mahu ke PAS (Plaza Alam Sentral) dan PKNS memandangkan di sana ramai belia dan remaja yang berkunjung. Tujuan kami adalah untuk mengedarkan brochure Kem Asas Sukarelawan : SAKTI VI.

Setibanya di rumah saya, Cok menukar plan. Katanya kami ke Taska JAIS di Klang terlebih dahulu dan ke PAS selepas itu. Saya mengikut sahaja kerana bagi saya, boleh saja diedarkan brochure itu sewaktu program sukan itu berlangsung.


Kami menaiki motosikal ke sana.

Di tengah jalan, saya katakan pada Cok "Cok, pelan-pelan."

Alhamdulillah, dia mendengar kata. Kelajuan motosikal yang kami tunggangi diperlahankan.

Kita merancang, Dia juga merancang. Tetapi perancanganNyalah yang terbaik...

Motosikal yang kami naiki tidak dapat dikawal setibanya di satu selekoh.

Gedegang!

Kami terjatuh. Badan saya terasa berat. Separuh tubuh Cok di atas paha kanan saya. Motosikal juga.

Ada sepasang suami isteri yang menaiki kereta datang membantu, seorang pakcik yang sedang bekerja di tepi jalan juga turut datang.

Saya dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang oleh Cik Manisah.

Proses seorang pesakit di Wad Kecemasan harus dijalani. Alhamdulillah, saya dibenarkan pulang pada jam 3.40 petang.

Pulang dari hospital, seluruh badan saya terasa sakit. Menitik-nitik air mata.

Terima kasih teman-teman & adik-adik yang sudi melawat.

Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai kemalangan ini. Cukuplah sekadarnya. Cerita panjang akan saya khabarkan bila kalian bertemu saya.

Alhamdulillah, Allah s.w.t masih memberi saya peluang untuk menghirup udara di dunia ini. Moga saya terus berbakti dalam menambah amalan untuk dihitung di akhirat kelak.

***Al Fatihah buat Allahyarham Dzulkarnain Paudzi, kawan 1 sekolah yang meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Limbang. Semoga rohnya bersama para solihin.
Berita penuh di sini.




No comments:

Post a Comment