Saturday, May 30, 2009

Pengakhiran Sebuah Permulaan..

Di saat saya mencoretkan sesuatu di sini, MTS sudah pun melabuhkan tirainya. Sedih bercampur terharu. Bukan kerana tenaga kerja dalam MTS, tetapi kerana adik-adik kumpulan saya yang saya sayangi.

Saya tidak dapat menghadirkan diri sewaktu pengenalan MTS kerana masalah kesihatan. Secara kasarnya saya tidak mendapat kumpulan adik-adik baru kerana tempat saya diambil alih oleh teman yang lain. Tidak mengapa..bukan rezeki saya.

Ternyata takdir Allah tidak kita duga. Keesokan harinya, saya diminta untuk menggantikan Sarvindran kerana beliau dalam tugasan. Kumpulan Sunflower 2 saya jejaki. Mereka agak tercengang kerana fasi mereka sepatutnya orang lain. Sesi taaruf berlangsung sekali lagi dan kesempatan itu saya gunakan dengan sebaiknya untuk mendekati mereka.

20 orang dalam kumpulan tersebut. Ada yang aktif, ada yang pasif, ada yang bercakap tanpa henti, dan pelbagai ragam. Lucu!

Soalan dari Ketua Kumpulan mereka, Fahmi.. "Akak, akak kekal ke jadi kakak fasi kumpulan kami? Ke sementara je?" Saya pelik..20 pasang mata memandang menagih jawapan..

"Hmm..akak cuma gantikan Abang Sarvindran je. Kalau dia nak ambik korang semula, akak kena pulangkan."

"Ala..." serentak jawapan itu keluar dari mulut mereka. Saya terdiam. Rasa kasih mula bertamu di lubuk hati. Sayang yang hadir ini adalah kurniaan Yang Esa.

5 hari bersama mereka terasa terlalu pantas masa berlalu. Kami hanya akan bersemuka pabila ada LDK ataupun urusan yang melibatkan kumpulan. Jadual MTS yang begitu padat menyukarkan pertemuan antara kami ditambah pula saya selaku Biro Aktiviti yang harus menyiapkan tugasan dan permainan buat mereka.

Sehingga tiba malam terakhir, saya tidak merasa apa-apa getaran di dada kerana seperti Minggu Apresiasi Siswa sebelum ini, tiada apa-apa yang berlaku. Itu kata akal saya.

Persembahan pada malam itu cukup menghiburkan biarpun kurang menepati jiwa saya. Bingit bunyi muziknya. Saya betul-betul tak tahan. Tidur selama 1 jam sepanjang 2 hari yang dipenuhi dengan pebagai aktiviti menjadikan denyutan di kepala bertambah. Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Itu janji saya.

Kesudahan program pada malam itu dengan sesi bersalam-salaman dan bermaafan antara fasi dengan pelajar baru. Naik lenguh tangan dibuatnya. Pelajar perempuan yang tersangat ramai membangkitkan kesabaran saya untuk terus menanti.

Oh, rupa-rupanya adik-adik kumpulan saya beratur dalam kumpulan. Seorang demi seorang bersalaman dengan saya. Ucapan terima kasih datang bertali arus. Tiba pada giliran salah seorang dari mereka..salaman, pelukan, dan tangisan yang kedengaran. Apa yang telah berlaku?

"Akak, terima kasih kerana sentiasa ada untuk kami. Terima kasih sebab sudi jadi fasi kami. Saya betul-betul terharu dengan apa yang akak buat untuk kami. Terima kasih akak"

Air matanya laju menitik..saya kaget. Kepantangan bagi saya bila ada orang menangis. Nanti mata ini akan turut merembeskan air. Lama kami berpelukan.

Kami berjanji untuk bergambar di PKP. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Tiada lagi air mata.

Terima kasih adik-adik Sunflower 2. Kalian bagaikan mentari dalam hidup akak sepanjang MTS. Doakan semoga ukhuwwah yang terjalin kan berpanjangan hingga ke akhirnya.

Terima kasih bunga matahari akak..

1 comment: