Terisi juga hujung minggu saya pada kali ini. Jadual tugasan untuk minggu depan telah saya siapkan. Hari ini, awal-awal pagi lagi telah bersiap. Menjadi pengadil bagi Pertandingan Bola Jaring PASTI Peringkat Kebangsaan di Padang UNiSEL. Uniform putih telah siap dipakai. Hampir sasau saya mencari pakaian serba putih. Daripada tudung, sampailah ke kasut. Terpaksalah meminjam dari teman-teman yang sama saiz..
Tugasan saya selaku Ketua Pengadil di Padang C agak tercabar. Taklimat daripada Kak Fatimah agak menggerunkan. Bukan kerana pemain-pemain nanti, tetapi kerenah guru dan jurulatih pasukan yang bertanding. Pengadil tidak mencukupi. Jadi, setiap orang akan mendapat satu padang. Semua 'pengadil' tergamam. Hati yang tenang menjadi cuak tiba-tiba. Sabarlah hati..
Permulaannya saya keseorangan di Padang C tersebut. Perlawanan antara pasukan Sabah dan Kedah. Alhamdulillah, Kak Yati tiba beberapa minit kemudian. Beliau tersesat di pertengahan jalan ke sini. Perlawanan pertama dan seterusnya berjalan lancar. Pemain-pemain bermacam-macam gaya. Ada yang cekap memegang bola, ada yang perlu mendengar arahan dari cikgu baru membaling bola, ada yang menangis pabila tak mendapat bola, dan pelbagai aksi. Cikgu-cikgu juga tidak ketinggalan apabila bersorak di tepi padang mengalahkan anak-anak kecil yang sedang bertanding.
Selesai sesi perlawanan bola jaring antara negeri, saya melangkahkan kaki ke padang bola sepak. Teringin untuk melihat aksi anak-anak yang comel menendang bola. Perlawanan antara pasukan Selangor menentang Melaka. Tendangan penalti terpaksa diadakan kerana keputusan seri 2-2. Satu insiden yang menyayat hati berlaku apabila tendangan dari pemain Selangor memasuki gawang lawan, si penjaga gol Melaka menangis dan menyembamkan muka di padang. Tragis sungguh..Kesian.
Paling tidak dapat dilupakan adalah sesi penyampaian hadiah. Kelantan menjuarai pertandingan bola jaring dan Selangor menjuarai pertandingan bola sepak. War Cry pasukan Perak mencuit hati kami semua.."Bubar DUN! Bubar DUN! Bubar DUN!" Kami tergelak besar..
Sedikit pengisian jiwa dapat saya kongsikan bersama teman-teman sepanjang saya menjadi pengadil Pertandingan Bola Jaring Pesta Sukan PASTI' 09. Anak-anak adalah harta yang tidak ternilai anugerah Allah buat kita. Didikan dan ajaran guru-guru merupakan salah satu lakaran di kanvas kehidupan mereka. Andai cikgu kata 'baling', maka balinglah mereka. Mendekati anak-anak yang masih belum mengenal erti menang atau kalah sebenarnya mengajar saya erti pengorbanan yang sebenar. Setiap senyuman dan gelak tawa yang terukir di wajah mereka amat terkesan di jiwa saya.
Terima kasih Kak Fatimah kerana memberi kepercayaan kepada 'pengadil' ini...
No comments:
Post a Comment