Friday, June 12, 2009

Sesak

Pertukaran jadual telah dibuat. Bermakna, kami mempunyai kelas Selasa hingga Jumaat. Dengan tertubuhnya Persatuan Fakulti Sains Gunaan & Matematik secara rasmi, banyak perkara yang perlu dipersiapkan. Tahniah buat barisan pimpinan persatuan.


Seorang dari teman sekelas saya menyebut tentang Hari Bapa..kolam mata yang tertahan-tahan semenjak beberapa hari ini pecah tiba-tiba. Ya, kerinduan itu datang lagi. Di saat jari-jari ini pantas menari, ia gugur tiba-tiba. Muka merah tiba-tiba. Terasa ingin menyembamkan muka ke bantal. Sesak..


2 tahun 11 bulan kehilangan itu belum cukup untuk menjadikan saya kuat. Tersungkur lagi. Saya rindukannya. Bahu tempat saya bersandar,tangan tempat saya berpaut, mata tempat saya meluahkan segalanya, hati yang menerima saya seadanya, kata-kata semangat yang tak pernah luntur buat saya walaupun pernah jatuh tersembam.


Sebak yang tertahan-tahan pecah. Kekuatan saya hilang. Doa yang tidak pernah putus untuknya sentiasa bergema di ruang hati. Ingatan kepada adik-beradik kembali bertamu. Mungkin kakak dan abang-abang cukup kuat untuk menghadapi semua ini. Namun, bagi saya dan adik-adik.....Sesekali, pabila rasa itu datang, saya perlu jadi kuat untuk adik-adik..apatah lagi Ma.


"Bila terasa pundak berat tiba-tiba kerana pelbagai halangan datang tak terduga..lihat camar yang pulang petang. Banyak dan sehaluan. Itulah hidup. Selagi masih di landasan kebenaran, selagi masih ada keinginan untuk berusaha dan berubah, Allah takkan persiakan hambanya. Bayangkan camar-camar itu membawa pulang segala yang terbeban di hati dan membawa harapan baru untuk kita nanti. Ingat, tiada manusia yang hidupnya kosong tanpa masalah. Itu semua mengajar kita supaya matang dan bersyukur. Dugaan datang kepada hamba yang dikasihiNya" ungkapnya sewaktu kami di beranda rumah memerhatikan camar yang terbang bebas...6 tahun yang lalu.

Basah tisu menahan tangis. Kabur pandangan dihiasi titisan jernih. Esakan perlahan kedengaran sendiri. Bukan emosi, tetapi hakikat. Andai teman-teman menyangka saya kuat dan tabah..saya belum lagi sekuat dan setabah yang kalian sangka. Saya berusaha..namun terkadang saya jatuh.


Ya Allah..tiada lain yang kupinta. Bahagiakanlah dirinya di sana. Bahagiakan Ma di sini. Bantulah kami mengumpul kekuatan biarpun memakan masa yang lama. Jadikan kerinduan ini sebagai pengikat kasih antara kami. Tautkanlah hati kami dalam redha dan kasih sayangMu.

Maafkan diri ini kerana tidak mampu menanggung hati yang walang...dan air ini mengalir lebih laju!


No comments:

Post a Comment