Tuesday, September 22, 2009

Syawal ini

Perjalanan selama 15 jam dari Shah Alam ke Kota Bharu memang mencabar. Pertama kali pulang berhari raya memakan masa selama itu. Segenap ruang di tepi jalan saya terokai. Papan tanda dibaca berulang kali.Kereta bersusun di sepanjang laluan. Tempat duduk di bahagian atas membolehkan saya melihat seluas-luasnya. Abang dan Ma risau semahunya.. Sabar.


Soal adik bungsu saya "Kak Ni naik flight dari Mesir ke?"


"Ya...transit kat banyak tempat. Itu yang lama sangat."
Dan kami pun tergelak besar. Credit untuk Fikri dan Adik kerana berjaya membuat kuih raya tanpa menunggu kepulangan saya. Walaupun rasa kuih-kuih tersebut sedikit masin, tetapi percubaan pertama mereka agak memuaskan. Ada hikmah rupanya saya pulang lambat. Jika tidak, memang harapan untuk merasa air tangan 'anak teruna'.
Idulfitri pada kali ini tidak terasa sangat bahangnya. Entah mengapa. Mungkin kerana belum lagi layak digelar 'pemenang' dalam mengharungi bulan Ramadhan dengan jayanya. Berkira-kira sama ada ibadah puasa kali ini lebih bermakna dan bermanfaat dari yang sebelumnya atau tidak..
Raya di sini mungkin tidak semeriah pantai barat semenanjung, tetapi tetap ada keistimewaannya. Rumah pusaka tinggalan arwah Atuk dan Nenek ini sentiasa menjadi tumpuan utama sanak-saudara sebelah arwah Ayah untuk berkumpul selepas solat sunat hari raya. Rumah ini dihadiahkan buat arwah Ayah, dan sekarang...kami mewarisinya.
Pertemuan antara kami semua telah mengeratkan lagi jalinan ukhuwwah yang telah terbina. Bertanya khabar, nasihat-menasihati, berkenalan dengan ahli keluarga yang baru lebih mendekatkan hati-hati yang bertaut kerana pertalian darah dan akidah.
Kedatangan Syawal seharusnya diraikan dengan penuh rasa kerendahan hati dan kesyukuran. Nikmat yang dikurniakan oleh Yang Esa sewajarnya dititip sebagai iktibar kepada kita hambaNya. Bersederhana dalam segala hal. Di saat inilah kita perlu bermuhasabah dan 'mengisi' bulan ini ibadah-ibadah seperti dilakukan semasa bulan Ramadhan iaitu qiamullail, puasa sunat, tadarus al-Quran,dan amalan-amalan lain.
Moga Ramadhan dan Syawal pada tahun ini lebih memberikan kefahaman terhadap Ad-Din. Maaf dipinta andai diri ini pernah mengguris hati kalian. Selamat berpuasa enam..

No comments:

Post a Comment