Monday, April 5, 2010

4 Tahun Mengenali GPTD

Kisah ini saya tulis sempena tamatnya tempoh perkhidmatan saya secara rasmi sebagai Setiausaha GPTD UNISEL. Mungkin selepas ini, saya tidak akan dilantik sebagai setiausaha dalam mana-mana organisasi setelah hampir 15 tahun menyandang jawatan ini bermula dari darjah 4. Walau bagaimana pun, tugas setiausaha kepada keluarga semestinya disandang untuk seumur hidup. Agak melucukan kerana seringkali saya dilantik untuk jawatan itu sedangkan ada di antara mereka yang belum mengenali saya.

Saya mengenali usrah sewaktu dalam tingkatan 4, naqib kami ketika itu adalah Cikgu Rosdi Muhammad. Potensi & konsistensi saya dalam usrah sering diperhatikan oleh beliau, dan kerana itu saya ditugaskan untuk update papan kenyataan usrah berhadapan tangga pejabat sekolah. Usrah sekali seminggu dan update tazkirah dua kali seminggu. Saya seronok dengan kerja yang dihadiahkan oleh beliau.

Sewaktu di tingkatan 5, saya dilantik sebagai Penghuluwati Pergerakan Puteri Islam. Penasihat persatuan, Pn.Hjh Wan Yusniza Wan Yunus (Teacher Yus) mengadakan usrah untuk pimpinan persatuan. Sistem usrah yang saya ikuti sangat menarik.

Menjejakkan kaki ke UNISEL membuatkan saya rasa sedikit takut. Mungkinkah apa yang dipelajari selama ini akan hilang begitu sahaja sekiranya tiada lagi recharge Iman dalam usrah.

Bermula akhir tahun 2006, saya mengikuti usrah yang dikendalikan oleh Abg. Su. Waktu itu, saya diletakkan dalam Biro Penerbitan i Rakan. Perkenalan dengan beliau dalam kelas C++ membawa saya ke satu alam yang baru. Janji saya untuk tidak terlibat dalam mana-mana persatuan dan hanya menfokuskan pada pelajaran semata-mata tidak dapat saya tunaikan. Haha

Seperti dulu, saya berusaha untuk konsisten dalam usrah. Waktu itu, teman saya Rahmah mengikuti usrah Al Rihlah. Saya tertarik untuk mengikuti usrah tersebut kerana ianya ada ikon yang dijadikan rujukan dalam usrah. Kitab Rihlah Ibn Battutah menarik-narik hati saya.

Manisnya kenangan aturan Yang Kuasa, satu hari Rahmah menghantar mesej kepada saya mengajak saya ke usrah Rihlah. Di situlah bermulanya jatuh cinta saya pada sejarah ketamadunan Islam. Sungguh hebat! Bermula dari hari itu, saya didik hati saya untuk sentiasa istiqamah dalam pengkajian seperti itu.

Dalam perbincangan anggota Rihlah, mereka akan menjelajah ke Aceh, Indonesia. Saya tidak tersenarai waktu itu kerana saya masih lagi dalam Biro Penerbitan. Agak terkilan waktu itu, tapi saya berfikiran positif. Saya masih baru dalam usrah itu, mana mungkin tiba-tiba nama saya melonjak naik. Perasan!

Walaupun ada ketikanya saya keseorangan ke usrah, tapi saya tetap kuatkan hati kerana saya tahu sampai suatu masa nanti saya akan keseorangan juga. Tidak perlulah rasanya saya ceritakan segala apa yang terjadi. Tapi cukuplah sekadar saya katakan saya melihat seorang demi seorang melangkah pergi tanpa kembali dalam usrah. Saya mesti kuat!

Suatu hari kedatangan saya ke usrah mungkin dinanti-natikan oleh mereka. (Perasan itu perlu, tapi sedikit saja.kah3!) Penarikan diri salah seorang ahli Rihlah ke Aceh. Jawatan setiausaha kosong. Dicadangkan saya untuk mengisi kekosongan itu.

Maaf, saya terlupa siapa orang yang memberi cadangan yang bijak bestari tu. Saya terima. Ini peluang saya untuk membuktikan bahawa orang baru juga mampu melakukan yang terbaik. Tugas itu saya jalani dengan bersungguh-sungguh walau terkadang saya yang tersadung.

Saya dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UNISEL. Pemilihan dalam kelas kami dan sokongan daripada dekan fakulti waktu itu, Mdm Fridelina Shjahrir. Tanggungjawab yang tergalas di pundak ini harus diteruskan.

Ke Aceh..

Pulang dari Aceh, saya harus mengaktifkan diri dalam MPP. Waktu sangat mencemburui saya. Ada sahaja halnya bila ada usrah. Saya terasing seketika. Menangis kerana gagal mengejar masa. Masa pasti tergelak-gelak memerhatikan saya yang kalah dalam pelarian ini. Saya terpaksa akur. Tinggalkan GPTD (belum tertubuh secara rasmi di UNISEL).

Jujur saya katakan, sepanjang peninggalan saya, saya merasakan suatu kehilangan yang sangat besar. Bodohnya saya kerana sangat lurus dalam hal seperti ini. Khilafnya saya kerana mengabaikan rasa hati semata-mata kerana orang lain. Saya tahu, ahli usrah terkilan dengan keputusan yang saya buat. Tapi, begitulah…maafkan saya!

Tamatnya tempoh perkhidmatan sebagai MPP pada bulan Mac 2009 banyak melegakan hati saya.

Buya Su meminta saya ke ofisnya. Ada perbincangan. Antara 2- terus kukuhkan pangkalan atau tubuhkan GPTD UNISEL. Saya pulang dengan hati yang berbelah bahagi.
Petang itu juga, pertemuan dengan YDP MPP yang baru dilantik menyerabutkan jiwa saya. Lamarannya untuk menjadikan saya sebagai Setiausaha Kerja beliau. Saya termenung. Jawapannya pasti tidak. Tapi akan saya fikirkan ayat terbaik kerana adakalanya terus terang saya telah mengguris banyak hati.

Malam itu saya menerima sekeping mesej. Risikan daripada Presiden Kelab Fasilitator untuk jawatan Bendahari kelab tersebut. Satu demi satu tiba. Bila agaknya rombongan meminang yang sebenar akan tiba? (Berangan tak sudah!)

Dua tawaran berjaya saya tolak dengan baik. Tinggal dua lagi yang masih menagih jawapan. Junaidah yang waktu itu tinggal satu rumah dengan saya banyak mendengar keluh-kesah saya untuk memilih salah satu daripadanya. Pangkalannya sama, Cuma gerak kerjanya sahaja yang berbeza.

Pagi hari ke tiga, satu mesej masuk bertanyakan jawapan. Mantap dan ringkas keputusan saya hantar: Tubuhkan GPTD UNISEL. (Mula terbayang-bayang bunga-bunga berguguran seperti dalam filem Ayat-Ayat Cinta di saat Fahri selesai melafazkan akad nikah.)

Kertas kerja dibuat dan dihantar. Proses kaderisasi berjalan. Seperti biasa, ada pasang dan surutnya. Komitmen ahli yang ditagih.

Alhamdulillah, selepas beberapa bulan menanti pengesahan penubuhan daripada Unit Kelab & Persatuan HEP UNISEL, tertubuhlah GPTD UNISEL secara rasmi.

Setiap organisasi ada masalah tersendiri, begitu juga GPTD UNISEL. Adakalanya saya berjaya menempuh dugaan yang melanda, ada ketikanya saya tersembam, gagal.

Saya yang memilih jalan ini. Tidak adil untuk saya dan semua andai saya mengalah. Setiap apa yang orang perkatakan tidak lagi menjadi kudis bagi saya. Apa yang penting waktu itu adalah kerja tetap saya jalankan.

Kata-kata Tuan Penasihat terlekat dalam kepala saya ‘Sabarlah dan teruskan
kesabaran.’

Saya berbahagia dan bertuah kerana mengenali ahli keluarga GPTD UNISEL. Banyak kenangan manis yang telah kita cipta bersama. Yang pahit itu biasalah, seperti juga ubat, walaupun pahit tapi insyaAllah itulah penawar.

Saya tanamkan dalam diri saya yang saya tidak akan mengalah dalam apa jua cabaran yang melanda. Ilmu yang diajar oleh Allah melalui perantaraan GPTD UNISEL sebagai wadahnya sangat terkesan di hati saya.

Abg Su: tunjuk ajar dan nasihat yang buya berikan selama ini banyak mengajar saya erti hidup. Saya belajar untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya.

Udin: pernah sekali dugaan menimpa hubungan adik beradik kita. Tapi Alhamdulillah, kita berjaya melepasinya walaupun sangat sukar pada mulanya. Jangan terlalu merendah diri, kuatkan semangat. Jadilah Amir untuk akak dan semua. Ingat, apa yang kita buat bukan kerana jawatan atau nama, tapi kerana Allah.

Nor Hafiz: daripada kurus hinggalah berisi, daripada terkial-kial mahu berkata-kata hinggalah petah berbicara lagak sang pemidato, mata inilah yang melihat perkembanganmu. Banyak kenangan telah kita sulam bersama sebagai adik-beradik. Akak pasti akan sentiasa terbayang-bayang keletahmu dan Kak Syafa kesayanganmu. Moga kamu lebih tabah dalam menjalani hidup. Ingat, dugaan datang kepada orang yang sabar.

Raudhah: adik akak yang manis dan baik, mendengar kata, sangat mudah terusik, tapi rajin dan pantas dalam melakukan kerja. Mengenalimu suatu keindahan.

Jun: teman seperbalahan dan sekepala. Adakalanya badai yang melanda menguatkan kasih antara kita. Kurangkan berahsia!

Izzat: seperti setianya ombak pada pantai, begitulah setianya kamu dalam perjuangan ini. Akak terharu dengan ketabahan ibu, kamu, dan Ishak dalam menjalani kehidupan. Daripada kalian akak belajar erti kasih sayang yang sebenar.

Hani: perkenalan kita sewaktu orientasi kamu membuahkan bibit-bibit kemesraan. Siapa sangka, tanggungjawab fasi on call berjaya menarik hatimu. Sungguh hebat perancangan Allah..dalam 10 orang temanmu, hanya kamu yang bisa kutawan.

Kuya, Amoy, Anuar, dan yang lain: jangan pernah menyerah!

Jujur saya katakan, saya sangat sedih dengan perpisahan ini. 4 tahun bukanlah suatu jangka masa yang pendek buat saya. Banyak perkara telah berlaku. Mana mungkin dapat saya kutip anugerah terindah seperti ini di luar sana.

Bagaimana kehidupan saya di luar nanti? Konsistenkah saya dengan usrah & khidmat sosial dan pengkajian tamadun?

2 comments:

  1. Alhamdullilah. Kakak saya seorang yang tabah. Tidak semestinya perjuangan kita tamat di sini wahai kakakku. Ianya masih panjang lagi
    =)

    ReplyDelete