Saya tiba tepat jam 8.45 pagi kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan sepanjang perjalanan dari Shah Alam ke Universiti Malaya. Berbekalkan maklumat dalam brosur program yang saya baca semalam, Alhamdulillah Allah s.w.t permudahkan urusan saya ke sini.
Pihak urusetia meminta saya memilih antara bengkel Fiksyen atau Non-Fiksyen. Terkaku sebentar di luar bilik tersebut kerana tidak dapat membuat keputusan sepantas itu. Lantas, saya terfikir akan sebab saya ke sini. Saya ke sini adalah atas dasar tanggungjawab dan tugas, bukannya suka-suka.Saya memang meminati penulisan kreatif fiksyen, tetapi jiwa ini mungkin lebih di non-fiksyen. Jadi, saya capai kertas yang tertulis tentatif non-fiksyen.
Masuk ke Bilik Wawasan, saya terus ke bahagian hadapan sebelah kiri bilik. Sambil berjalan, saya mengira jumlah peserta yang ada di bilik tersebut. 11 orang termasuk saya. Hampir jam 9.00 pagi, acara dimulakan dengan kata-kata aluan daripada pengerusi majlis, Tuan Haji Baharudin Ali Masrom Al-Haj. Beliau mengalu-alukan kedatangan kami sebagai para peserta kursus. Jumlah peserta bertambah dan menjadikan kami seramai 17 orang sekarang.
Ceramah 1:Prof Dr. Mohd Sidin Ahmad Ishak, Universiti Malaya: Teori Penulisan
Teori adalah framework atau gambaran asas mengenai sesebuah penulisan. Menulis ertinya menyampaikan perasaan, argumentasi, luahan, dan sebagainya. Terdapat 3 ciri penting dalam penulisan iaitu:
-Kejelasan
-Organisasi
-Kandungan
Penulisan juga mengandungi 3 peringkat seperti:
a)sangat formal
b) kolokial
c) slange
Penulisan yang baik adalah penulisan yang memorable, mempunyai had keboleh bacaan oleh pembaca, sederhana bahasanya, dan kurang perkataan-perkataan abstrak tetapi lebihkan perkataan konkrit.
Ceramah oleh Prof Dr. Mohd Sidin tamat pada jam 10.30 pagi. Mungkin kerana ini adalah slot pertama, jadi semua peserta seakan-akan terkaku selepas tamatnya sesi ini. Kami cuma patuh mendengar arahan yang diberikan oleh pihak urusetia.Tiada gambar pada sesi ini kerana kami masih malu-malu antara satu sama lain dan kelihatan skema.
Ceramah 2: Puan Ainon Mohd, Pengerusi PTS : Tips Menjadi Penulis Kaya
Sejujurnya slot bersama Puan Ainon adalah antara slot yang dinantikan oleh saya. Saya suka melihat kesungguhan dan semangat beliau.
Sebagai seorang penulis, di mana kita mahu mencari duit? Di mana bakat kita laku?
Puan Ainon sedang memberikan penerangan
Di Malaysia, terdapat 4 sektor buku. Sebagai seorang penulis, kita mesti mengenalpasti di mana kedudukan buku yang bakal kita tulis nanti. Sektor tersebut adalah sektor buku rujukan, sektor buku teks, sektor buku ulangkaji, dan sektor trade books.
Jangan fikir buku, tapi fikir kejayaan buku. Bila menulis, harus kreatif. Apa yang kita boleh dapat percuma daripada media massa, jangan tulis.
Kita akan menjadi terkenal apabila banyak produk (buku) yang kita hasilkan. Tapi mesti ingat, apa sahaja yang ditulis, perlu menjaga sensitiviti masyarakat. Bagi PTS, apa yang ibu bapa tidak mahu anak mereka baca, itulah yang kita mahu elakkan tulis.
Kami teruja mendengar setiap butiran yang keluar dari bibir beliau. Semua peserta kelihatan segar dan mula mengikut rentak kursus ini. Soalan bertalu-talu ditanya kepada beliau. Menariknya, beliau menjawab soalan kami tanpa jemu. Mungkin ini adalah salah satu tips beliau iaitu ‘tidak kedekut ilmu & memberikan sebanyak-banyaknya apa yang orang-orang seperti kami mahukan’.
Ceramah 3: Puan Ainon Mohd, Pengerusi PTS: Sambungan slot Ceramah 2
Sastera Remaja & Kanak-kanak (R &KK)
-Watak R& KK
-Dunia R & KK
-Sudut pandangan R& KK
Cara untuk menulis sastera R & KK adalah dengan bercakap dengan mereka.
Beliau juga menerangkan tentang ciri penerbit yang bagus iaitu mereka akan menyediakan dokumen perjanjian penerbitan yang mengandungi hak cipta dan hak penerbitan, dan peratusan royalti kepada penulis.
Ceramah 4: Dato’ A.Samad Said, Sasterawan Negara : Pengalaman, Proses Kreatif- Novel dan Sajak
Kami dimaklumkan tentang keupayaan Sasterawan Negara ini yang agak terbatas. Jadi, semua peserta dikehendaki mendengar dengan teliti akan setiap patah perkataan yang dituturkannya nanti. Alhamdulillah, duduk di bahagian paling depan dan paling dekat dengan rostrum merupakan satu pakej untuk saya bagi kesempatan bertemu beliau pada kali ini.
Dato’ A.Samad Said adalah seorang yang sangat menepati masa. Beliau tidak akan melebih-lebihkan waktu bercakap, kecuali kami yang banyak bertanya.
Beliau mula berkarya di usia 16 tahun. Penulis merupakan seorang manusia yang mampu menguasai bahasa. Apabila membaca, sejauh manakah penulis dapat meresapkan dirinya dalam buku tersebut. Tema sesebuah buku atau puisi adalah berdasarkan persediaan pengalaman sendiri. Penulis tidak perlu terlalu berkhayal dalam menghasilkan sesebuah karya.
Setakat ini, beliau berjaya menghasilkan 68 buah buku. Karya Lantai T-Pinkie, Wira Bukit, dan Di Mana Bulan Selalu Retak adalah hasil imbauan kenangan dan kata-kata oleh beliau dan terus ditulis untuk dikarang.
Apa yang mengagumkan kami, dalam usia 75 tahun sekarang, beliau masih mengingati ayat yang dipelajarinya sewaktu di sekolah rendah yang berbunyi:
“Abu bela burung pipit. Burung pipit amat jinak. Pit Pit Pit bunyi burung pipit. Abu sangat suka hati”
Bagi beliau, cara untuk menambah pengalaman / pengetahuan adalah dengan membaca dan menonton filem. Duit beliau banyak dihabiskan untuk membeli buku.
Respon beliau yang menentang PPSMI adalah kerana kerajaan melanggar dasar dan perlembagaan negara. Hal ini wajar ditentang kerana bahasa yang dilandaskan dalam perlembagaan adalah Bahasa Melayu.
Sebaris ayat beliau yang saya ingat dari dahulu hingga sekarang adalah:
“Segala dihasrat tapi tak dapat, itulah nikmat yang paling padat”
No comments:
Post a Comment