Tuesday, May 10, 2011

Sumpah Tak Nak Sumpah!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Sumpah (al-yamin) sama pengertiannya dengan al-khalaf dan al-qasam. Pengertiannya mengikut penggunaan umum ialah penegasan terhadap sesuatu hak atau kenyataan sama ada pengakuan atau penafian dengan menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Sumpah untuk penghakiman (al-Yamin al-Qadhaiyyah) ialah untuk mensabitkan pendakwaan bagi tujuan penegasan sabitnya hak atau penafian hak di hadapan hakim dengan menyebut nama Allah atau salah satu dari sifat-sifatnya. Sumpah diharuskan berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Allah S.W.T. berfirman:

“Allah tidak mengambil kira sumpah kamu yang sia-sia tetapi, Dia mengambil kira sumpah kamu yang benar-benar.”

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:
“Kalau manusia itu dibiarkan membuat dakwaan, nescaya manusia akan mendakwa hak darah dan hak harta sesuka hati, tetapi ditetapkan bahawa ke atas pendakwa membawa bukti dan yang didakwa ingkar hendaklah bersumpah.”

Hak sumpah adalah hak pihak yang didakwa, manakala yang mendakwa perlu mengemukakan bukti. Berdasarkan ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa sumpah adalah diharuskan dalam pertikaian hak. Ia menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa sumpah penghakiman hendaklah orang yang bersumpah menyebut Wallahi, Wabillahi, atau Rabbul ‘alamin dan seumpamanya. Sumpah penghakiman hendaklah diberikan dengan perintah hakim atau wakilnya untuk menyelesaikan kes berdasarkan kehendak hakim, demikian pendapat jumhur fuqaha’.

Fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa tidak diharuskan bersumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pensabitan Hak Allah semata-mata sama ada ia kesalahan Hudud seperti zina, mencuri, minum minuman yang memabukkan atau yang berkaitan dengan ibadah semata-mata seperti solat, puasa, haji, sedekah, nazar dan kaffarah, melainkan jika ia ada melibatkan hak manusia, kerana hudud tertolak apabila ada kesamaran bukti.

Fuqaha’ juga sepakat berpendapat bahawa diharuskan sumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan harta dan seumpamanya. Pihak yang didakwa diberi hak bersumpah untuk memperakukan dakwaannya atau menafikannya. Demikian juga, fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa diharuskan bersumpah dalam perkara jenayah, melibatkan kesalahan qisas dan kecederaan termasuk juga sebahagian daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan.

Tuduhan zina antara suami isteri lebih kepada mencabuli keselamatan dan kesejahteraan rumah tangga yang lebih bersifat hak peribadi manusia daripada hak Allah kerana penglibatan tuduhan itu berlaku dalam keluarga tidak melibatkan masyarakat awam, tidak sebagaimana yang berlaku ke atas bukan keluarga. Oleh itu bagi mensabitkan jenayah Qazaf yang berlaku antara suami isteri hendaklah pihak yang menuduh membuktikan tuduhan ke atas isterinya berzina, sekali dengan bersumpah menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi atau Watallahi sebanyak empat kali bahawa isterinya melakukan zina dan kali kelima hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah jika ia berdusta maka laknat Allah ke atas dirinya.

Bagi isterinya jika ia menyangkal dakwaan suaminya hendaklah ia bersumpah dengan menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi, atau Watallahi, sebanyak empat kali bahawa dia tidak melakukan zina yang didakwanya, dan kali kelima ia bersumpah jika ia berdusta maka ia dilaknat oleh Allah S.W.T. Ini berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Dan orang-orang yang menuduh isteri mereka (berzina) tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar (an-Nur: 6).


Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah ke atasnya jika ia termasuk orang-orang yang berdusta (an-Nur: 7).


Isterinya itu dihindarkan daripada hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta (an-Nur: 8).

Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar" (al-Nur: 9).

Dengan sumpah ini menjadikan mereka berdua terpisah dan gugur ke atas suami hukuman Qazaf dan gugur atas isteri hukuman had zina.

Memandangkan jenayah Qazaf ini sebagai suatu jenayah yang serius dan terdapat nas qat’iy tentang ketetapan kesalahan, prosedur pembuktian dan hukuman keseksaannya, kerana ia diketegorikan sebagai kesalahan awam, maka sumpah tidak termasuk dalam prosedur pembuktian jenayah Hudud, kecuali dalam kes yang melibatkan tuduhan zina antara suami dengan isteri yang tidak diketegorikan sebagai kesalahan awam. Kerana ia lebih kepada kesalahan peribadi dan kekeluargaan, maka ia sebagai kes pengecualian maka pihak yang membuat dakwaan diminta bersumpah laknat dengan nama Allah demikian juga pihak yang engkar dakwaan itu diminta bersumpah laknat dengan nama Allah.

Berdasarkan pandangan jumhur fuqaha’ bahawa kesalahan jenayah Hudud tidak termasuk dalam perkara yang boleh menggunakan sumpah untuk mensabitkan atau menafikannya kecuali pada masalah li’an, tuduhan zina yang melibatkan suami isteri yang diperuntukkan khusus dalam al-Qur’an sebagai pengecualian daripada prosedur umum pensabitan zina dan Qazaf.

Disediakan oleh:

Dr Abdul Halim El-Muhamadiy

Naib Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH)

1 comment: