Tuesday, July 5, 2011

Murabbi Cinta Sang Anak

Cintaku buatmu, bagaikan gugusan huruf-huruf dalam setiap helaian kitab

5 Julai 2006 – 5 Julai 2011: 5 tahun sudah berlalu. Cepat sungguh…..sudah banyak yang berubah. Ingatan mula kembali kepada sebuah kisah itu. Kisah perpisahan antara seorang suami dengan isterinya, seorang ayah dengan anak-anaknya, seorang bapa mertua dengan menantu-menantunya, seorang menantu dengan ibu mertuanya, seorang datuk dengan cucu-cucunya, dan semua yang mengenalinya.

Namun, perpisahan itu sebenarnya adalah pertemuan antara hamba dengan Penciptanya. Tanda kasih dan sayang….dijemput untuk mengadapNya.

Tiada kisah duka yang saya mahu kongsikan. Hanya kenangan terindah buat sang anak yang sentiasa merindukan ayahnya. Nukilan ini sebagai pengubat rasa cinta buatnya. Insya Allah, moga Allahyarham di tempatkan bersama para solihin. Itu doa kami. Itu harapan kami.

Matahari kalau terbenam, hilang di langit, tapi itu tak bermakna ia tak ada. Ia akan terbit lagi di waktu pagi, bukan? Begitulah kematian, kita cuma pindah dunia saja.” Sazli, Tunggu Teduh Dulu

Ayah saya adalah ayah yang hebat sepanjang kehidupan saya. Itu hakikat. Mahu saya kongsikan antara kenangan, amanah, pesanan, dan didikannya kepada saya, kakak, abang-abang, dan adik-adik saya.

  1. Ayah seorang yang sweet: setiap kali pohon kenanga di depan rumah kami berbunga, ayah akan petik…sekuntum diletakkan dalam poket bajunya, tiga kuntum lagi diletakkan dalam kamarnya. Katanya “Kenanga bunga yang wangi. Walaupun jauh, orang dapat mencium baunya. Begitulah kita, sejauh mana pun kita melangkah, orang tetap akan ingat kita….asalkan kita beradab."
  2. Ayah jarang meninggalkan solat berjemaah di masjid. 5 waktu sehari semalam, ayah mengayuh basikal tuanya ke masjid. Walaupun ada motosikal, ada kereta, ayah lebih memilih basikal. Saya mengagumi kehebatan ayah yang mengutamakan solat berjemaah. Hari terakhirnya bersama kami, ayah berjaya solat Subuh dan Zuhur secara berjemaah. Menjelang Asar, ayah hanya sempat mengambil wudhuk. Tatkala azan berkumandang, ayah sudah dijemput Izrail untuk mengadapNya.
  3. Nenek (sebelah ibu) sayangkan ayah. Ayah pandai mengambil hati nenek. Apa sahaja kehendak nenek, pasti ayah penuhi. Ibu selalu ‘cemburu’ dengan keakraban nenek. Kepada datuk dan neneklah ayah mencurahkan seluruh baktinya sebagai seorang menantu.
  4. Tidak pernah sekali pun tangan ayah hinggap di badan kami adik-beradik. Marah ayah hanya dengan diam, tarbiyyahnya hanya pada tindakan, bukan hentakan. Jika kami salah, ayah akan panggil dan slow talk dengan kami. Tiada herdikan, tiada jelingan maut.
  5. Ayah kata ayah sayang semua anaknya sama rata. Tapi adik selalu pertikaikan, kerana baginya ayah banyak lebihkan saya dalam segala hal. Cepat-cepat ayah jawab “Anak takkan faham kasih sayang ayah sehinggalah dia menjadi ayah.” Ayah, murabbi cinta terbaik di mata kami!
  6. Ayah adalah orang Kelantan tulen. Setiap hari, ayah mesti menjamah nasi 3 kali (sarapan pagi, makan tengah hari, & makan malam). Jarang tertinggal rutin itu. Di pagi raya pun, mesti ibu / kami masakkan nasi untuknya. Tabiatnya itu mengalir pada si comel Afiqah (cucu bungsu yang lahir setahun selepas pemergian ayah). Mesti ada nasi!
  7. Ayah suka bertaaruf dengan keluarga kawan-kawan saya. Hampir semua keluarga kawan saya diziarahinya. Tak kira sejauh mana pun rumah kawan saya, akan kami kunjungi walaupun hanya berpandukan alamat di kertas. Ayah adalah peyambung silaturrahim yang terbaik!
  8. Ketika tinggal di asrama, saya sering menelefon ibu. Jarang sekali kedengaran suara ayah. Kata ayah, dia tak mampu mendengar suara saya. Terus saya berkecil hati. Rupa-rupanya, ada kerinduan di hatinya pabila suara saya menyapa gegendang telinganya. Pernah sekali, bila saya menelefon rumah menggunakan telefon reverse charge, dia mengangkatnya. Esoknya, dia sudah berdiri di depan pintu asrama bersama ibu! Kata ibu “ada rindu yang tidak tertanggung."
  9. Rumah yang kami diami sekarang adalah tinggalan arwah datuk dan nenek (sebelah ayah). Rumah itu menjadi tempat berkumpul ayah dan adik-beradiknya yang lain. Ayah sangat rapat dengan abang-abang dan kakaknya. Sekarang, rumah itu sunyi. Hanya ibu yang masih setia di situ. Ada ketikanya, adik-beradik ayah akan datang walaupun suasananya sudah tidak semeriah dulu.
  10. Setiap pagi selepas solat Subuh, ayah akan mengaji. Dan saya akan dipanggilnya untuk mendengar bacaannya. Membetulkan apa yang kurang. Padahal, saya dan adik-beradik yang lain belajar dengannya daripada muqaddam sehingga khatam. Saya malu sendirian, seorang ‘guru’ minta diajar oleh ‘muridnya’. Tegas ayah “semua orang melalui proses pembelajaran. Belajar, mengajar, dan diajar.” Saya terdiam. Setahun selepas itu, saya dengar lagi ayat itu dalam jemaah. Indah sungguh aturanNya!
  11. Tradisi makan bersama menjadi amalan ayah. Seumur hidup saya, jarang sekali saya lihat ayah makan bersendirian, lebih-lebih lagi sewaktu makan malam. ‘Kewajipan’ makan bersama. Ayah cuma berpesan sekali, dan kami harus ingat sampai bila-bila. Di meja makan, kita membina kemesraan, dengan makan bersama, kita raikan semua orang. Alhamdulillah, ayah tidak pernah culas dalam membina kebahagiaan kami sekeluarga.
  12. Ayah gemar menjemur dan melipat pakaian. Tersusun kemas. Setiap hari, itulah ‘tugasannya’. Ayah akan ‘tarik muka’ bila ada antara kami yang melakukan tugasannya. Comel! Dan ayah berjaya melaksanakan tugasannya pada hari dia meninggalkan kami semua. Susunan pakaian mengikut bilik terletak elok di atas tikar mengkuang. Di beranda rumah.
  13. Ayah suka membaca. Bagilah apa sahaja bahan bacaan, ayah pasti akan hadamkan dan kami akan adakan perbincangan anak-beranak. Ayah meminati kereta. Ayah juga suka membaca majalah masakan. Setiap kali dia terjumpa resepi baru, dia akan menyuakan pada saya atau ibu untuk mencubanya. Dan kami akan buat seperti yang dipintanya. Resepi terakhir yang dimintanya untuk saya cuba adalah Nasi Kromok (masakan Thailand). Janji saya untuk memasak pada hari Jumaat (hari minggu), tetapi gagal. Dia tinggalkan resepi itu pada hari Rabu. Rempah, ayam, dan bahan-bahan yang telah tersedia ibu sedekahkan pada jiran tetangga. Saya ‘belum gagah’ untuk memasak resepi itu hingga ke hari ini.
  14. Ayah dan ibu adalah pasangan suami isteri contoh bagi saya. Belum pernah saya lihat ayah atau ibu meninggikan suara di hadapan kami, anak-anak mereka. Jika ‘bergaduh’ pun, sekejap saja. Masing-masing cepat sejuk dan pandai memujuk. Biarpun ibu suka membebel ‘berceramah’, tapi ayah hanya senyum. Bagi ayah, suara ibu adalah hiburan untuknya. Romantiknya ayah tidak boleh dijangka. Ibu mengakuinya. Jujur.
  15. Kami berdua adalah penyimpan rahsia masing-masing yang baik. Ayah dan saya suka memerhatikan burung-burung yang pulang ke sarang lewat petang dan merenung bulan pabila malam. Dan kami akan menyanyikan lagu Malam Bulan Di Pagar Bintang bersama. Saat itu, kami akan meluahkan apa yang terbuku, dan menceritakan apa saja masalah yang dihadapi. Sekarang, hanya buku tulis menjadi tempat luahan rasa hati saya.

Terlalu banyak sebenarnya apa yang mahu saya coretkan tentang cinta hati saya itu. Insya Allah, jika Dia menganugerahkan saya seorang suami dan anak-anak, saya akan jadikan ayah dan ibu sebagai model bagi rumah tangga kami. Ayah mungkin orang biasa di mata semua orang, tapi ayah adalah hero di jiwa kami.


Ayah, andai rindu itu awan....sudah banyak gumpalan-gumpalannya di angkasa.


Pemergiannya secara mengejut meruntun hati semua. Kami belajar untuk menerima ketentuan Allah dengan redha dan berlapang dada. Perlahan-lahan kami bina kekuatan tanpa ayah di sisi. Setiap hari, doa kami adik-beradik semoga Allah memberikan nikmat kesihatan dan kasih sayangNya buat ibu, supaya kami dapat terus berbakti kepadanya dengan setulus hati.

Jari-jemari ini sudah tidak mampu menekan papan kekunci lagi. Biarlah gumpalan awan itu terus memenuhi langit. Kerana aku tahu, rindu itu indah, anugerah Allah buat sang anak yang setia mencintai ayahnya.

Moga ayah, Wan Ismail bin Wan Ibrahim ditempatkan bersama para solihin.

Alfatihah.

No comments:

Post a Comment