Wednesday, July 6, 2011

Sekolah Kehidupan


Setibanya aku di tempat kerja, ibu pelajarku bertanya:

"Wan tegur Iffah ya semalam? Pasal kuku dia panjang."

Aku tersengih. Cuak juga sebenarnya kot-kot dia akan memarahiku. Aku sekarang kan sudah 'fobia' dimarahi depan khalayak.

"Ya kak, maafkan saya. Saya tegur sebab saya tengok kuku dia panjang sangat."

"La, kenapa nak minta maaf...akak ok je. Bagus Wan tegur dia. Kalau ada apa yang tak kena, Wan tegur lah."

Aku menarik nafas lega.

Ingatkan ibunya mahu memarahiku. Fuhhh!

Sudah 1 bulan lebih aku mengajar gadis manis itu. Sejujurnya, mengajar anak-anak kecil adalah sesuatu yang menggembirakan hati.

Kadang-kadang aku rasa seperti mendapat emas 500kg apabila muridku faham dan boleh membuat latihan yang kuberi.

Sewaktu mula-mula mengajar secara tidak formal awal tahun ini, aku sudah sematkan dalam diri....aku bukan hanya mengajar subjek di sekolah, tetapi aku juga mesti ajarkan mereka tentang sekolah kehidupan.

Itu yang aku pelajari daripada sekolah tarbiyyahku dalam PKPIM, GPTD, dan ABIM.

Pernah aku khabarkan pada kalian tentang salah seorang guruku sewaktu di sekolah menengah, Cikgu Rusdi Muhammad (guru Sejarah). Dia seorang yang sangat berdisiplin.

Seingatku, setiap minggu dia akan memeriksa kuku kami. Dengan pembaris kayu panjang di tangannya, dia akan berjalan dari satu meja ke satu meja. Memerhatikan satu persatu kuku kami.

Itu rutinnya, tidak pernah gagal.

Dia juga rajin mengajak kami datang usrah. Hari Jumaat, jam 8 pagi. Walaupun awal dan hujung minggu bagi kami, dia tetap bersemangat, dan semangatnya mengalir ke jiwa kami.

Ramai guruku yang bersemangat dalam mendidik kami di sekolah kehidupan. Belajar bukan hanya untuk mendapat A dalam peperiksaan,, bukan untuk mendabik dada pada yang lain mengatakan diri sendiri yang hebat. Itu yang kami belajar.

Termenung seketika.

Berapa ramai cikgu yang mengajar separuh hati? Jenguk-jenguk siapa yang mengajar hanya kerana semata-mata mencari kerja kosong?

Oh, jangan ditanya kenapa ada pelajar kurang ajar kerana guru sendiri masih meraba-raba mencari jalan hidup. Sekolah kehidupan guru-guru masih belum khatam.

Usah pernah berbangga menjadi guru.

Tanggungjawab yang tergalas di pundak wajib dilaksanakan dengan baik.

Jika mahu ajarkan murid berkuku pendek, kita harus potong kuku setiap minggu.

Andai mahu ajarkan murid hormati kita, kita yang perlu menghormati mereka.

Kiranya mahu murid membersihkan kelas, kita terlebih dahulu perlu kemaskan rumah, langsaikan tugasan tugasan kita terhadap rumah.

Kalau mahu murid membuang sampah ke dalam tong sampah, cuba hitung berapa kali kita sendiri buang sampah?

Jangan pernah mengharapkan orang lain berubah andai kita sendiri tidak mampu berubah.

Adakalanya kita adalah guru, pernah juga kita adalah murid. Itulah sekolah kehidupan.

Didikan kita buat hati wajar ditekankan.

Aku adalah guru, kalian juga seorang pendidik.

Kamu belajar? Aku juga masih dalam proses pembelajaran.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a., telah bersabda Rasulullah s.a.w:

“Orang yang paling baik itu adalah orang yang alim. Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manfaat bagi orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan, maka mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang lain)”

Tepuk dada, tanya iman..

No comments:

Post a Comment