Wednesday, May 2, 2012

Mahu Katakan Tidak

Berada dalam situasi yang menghimpit diri dan rasa bukanlah suatu keadaan yang indah. Terkebil-kebil memandang sekeliling. Bungkam.

Lalu perlahan-lahan, ada air jernih bertakung di tubir mata.

Membantu yang lain dengan tujuan untuk mencari redhaNya adakalanya menjadikan kita jauh dari rasa ikhlas kerana rasa 'dipaksa' itu lebih hebat mencengkam berbanding nilai ikhlas yang diimpikan.

Penat bukan? Mahu menggeleng, tidak sampai hati. Mahu mengangguk, memakan diri sendiri.

Berada dalam zon menekan menjadikan jiwa kita lebih tertekan.

Saya jarang mengatakan TIDAK untuk setiap apa yang diharapkan oleh orang lain. Saya gembira kerana dapat membantu orang lain.Tetapi, lama-kelamaan, saya tidak lagi bahagia dengan rasa ini.

Berkira-kira untuk lari daripada keadaan yang sudah tidak dapat diselamatkan. Bukan kerana takut menghadapi realiti, tetapi mahu mengajar diri supaya lebih menghargai rasa.Tetapi, dek kerana kasihan, saya bertahan dan bertahan lagi.

Saya mahu lari...lari dari keadaan ini.

Tetapi, bagaimana?

Perlahan-lahan saya belajar, saya mesti kuatkan hati. Jika saya tidak ingin lagi keadaan ini berlanjutan, saya yang harus bertindak. Saya tidak boleh mengharapkan orang lain untuk turut 'merasa' apa yang saya rasa. Walau berpuluh pasang mata memandang, manakan sama dengan bahu sendiri yang memikul.

Doa saya, pinta saya...moga saya belajar dari kisah sebuah kehidupan & menjadikannya landasan dalam mengenal makna perkataan TIDAK.



~trying to learn how to say NO without feel guilty~

***Terima kasih teman-teman kerana menjadi bahu untuk diri ini bersandar.

No comments:

Post a Comment