Monday, November 26, 2012

Cerita Seorang Auntie


Hampir saban hari, tempat menunggu bas di hadapan stesen minyak menjadi kunjungan wajib saya. Di situ, pelbagai ragam manusia dapat saya lihat. Mentarbiyyah hati untuk jadi lebih kuat.

Salah seorang daripada mereka adalah makcik yang berketurunan India. Tempat kerjanya adalah pertengahan laluan ke tempat saya mencari rezeki. Saya memanggilnya auntie. Setiap hari, saya pasti akan melihatnya berjalan menuju ke tempat menunggu bas.

Dengan kudrat kakinya yang semakin lemah, badannya yang sering sakit, kolam mata saya sering bertakung apabila memandangnya. Semangat gigihnya untuk terus bekerja mencari sesuap rezeki sangat mengagumkan. Berjalan kaki dari Padang Jawa ke tempat menunggu bas itu tidaklah dekat. Setiap hari, tanpa gagal sebelum bas kami tiba dia pasti sampai dahulu. Kadang-kadang, dia lebih awal daripada saya yang tinggal sejengkal dari situ.

Sehari sebelum Deepavali, kami bertemu. Di tempat yang sama. Dengan berbasi-basi, saya bertanya “Auntie tidak cutikah hari ini? Esok sudah raya.”

Balasnya “Kerja ini macam mana boleh cuti, dik. Saya cuti besok saja.”

Ooo....

Seminggu selepas itu, setelah saya cuti sakit selama 2 hari dek kerana masalah kesihatan yang agak mencabar kekuatan diri, saya bertemunya lagi.

Tegurnya “Hai adik, lama tak nampak.” Dan dia terus terbatuk-batuk tanpa henti. Selepas meneguk air, nafasnya kedengaran. Mengah.

“Saya MC. 2 hari. Hari ini baru mula kerja.” Jawab saya dengan suara yang belum pulih sepenuhnya.

Saya memandangnya. Belas. Batuknya semakin menjadi-jadi.

“Auntie tak sihat kan, kenapa tidak ambil cuti?” soal saya apabila batuknya kembali tenang.

Dia mengeluh..”Adik, kerja ini macam mana boleh ambil MC. Kalau saya mau cuti, saya mesti ganti. Bila mau ganti...kalau tidak, gaji makin sikit saya dapat. Anak-anak mau makan apa.”
Ooo...

Saya terus terdiam. Mahu bertanya lagi, namun bimbang kata-kata saya bakal mengguris hati Auntie.

Saya hanya mampu berfikir. Dan terus berfikir. Nasib seorang pekerja bawahan di sebuah negara yang ‘mendahulukan rakyat.’ Saya tidak menyalahkan sesiapa jauh sekali menunding jari kerana setiap apa yang berlaku pasti ada asasnya, ada sebabnya.

Sebagai pekerja, saya hanya mahukan kebajikan seorang pekerja dibela. Khidmat pekerja yang ditagih saban hari bukanlah tiket untuk para majikan mengabaikan ‘rasa’ pekerja. Berada di bawah, memandang yang di atas, adakalanya menjadikan saya, Auntie dan semua merasai nikmat sebuah kepayahan.

“Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan pertukaran siang dan malam ada tanda (keagungan Allah) bagi golongan ulu al-albab. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan bertafakkur tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “wahai Tuhan kami, Engkau tidak menjadikan semua ini sia-sia, maha suci Engkau maka lindungilah kami daripada azab neraka”. 
Surah Ali `Imran, ayat:190-191.
Selamat pagi & selamat bekerja semua. ^_~

Semoga Auntie terus kuat dengan 'kerja ini macam'nya.

1 comment:

  1. :) pernah kerja masa sakit sbb kesian kat bos tak cukup pekerja.Last skali tak dpt tahan gak.tewas!

    ReplyDelete