Showing posts with label Buang Tebiat. Show all posts
Showing posts with label Buang Tebiat. Show all posts

Thursday, December 9, 2010

Jika suatu hari nanti, aku seorang Ibu


Akan ku didik anak-anakku menjadi anak yang kenal Allah sebagai tuhan mereka, taat kepada ibu dan ayah mereka.

Akan ku kenalkan mereka dengan semua ahli keluarga, supaya mereka tidak lupa asal usul mereka, supaya mereka tahu silaturrahim itu apa. Aku mahu mereka mengenali teman-temanku yang selama ini bersama-sama berjuang untuk mengenal erti hidup.

Akan ku bawa mereka mengenal sekolah dan universiti tempat aku belajar..supaya mereka tahu itulah tempat yang menjadikan ibu mereka sebagai seorang manusia, agar mereka tahu itulah tempat jatuh bangun ibu mereka dalam menggapai impian. Aku mahu mereka punyai impian & bukan sekadar angan-angan

Akan aku menjadi teman yang baik di sisi mereka, susah atau senang seperti yang telah aku rasai sepanjang kehidupan ini bersama arwah datuk & nenek mereka. Menegur dengan cara berhikmah, menjadikan mereka sahabatku, menyayangi & mengasihi mereka seperti mana kasihnya kedua orang tuaku terhadapku, dan segalanya.

Aku mahu mereka menjadi khalifah Allah melalui kesusahan, kerana kesukaran itu adalah pengalaman terbaik & terindah buat manusia yang mahu berjaya.

Ingin sekali aku biarkan mereka memilih minat & masa depan masing-masing asalkan tidak melanggar adab & batas sebagai seorang muslim.Biarlah mereka menjadi generasi penyambung risalah perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

Aku tahu, aku bukanlah ibu yang terbaik buat mereka & kerana itu, aku harus berusaha memberikan yang terbaik buat mereka. Anugerah yang tergalas itu merupakan suatu amanah dari Allah, tanda kasih sayangNya padaku.

Persoalan siapa bakal ayah mereka biarlah tidak terjawab di sini kerana aku juga belum mengenali siapa dirinya. =)

Saturday, December 19, 2009

Sudah sampaikah waktunya?

Satu mesej diterima pagi semalam..dari sahabat saya, yang saya kenali hampir 14 tahun yang lalu.

"Salam.Kalau ada orang jumpa mak kau dan tanya pasal kau apa reaksi kau? Berdebar tak? Aku nak bagitau, ada orang merisik aku ni.."

Pada mulanya saya hanya tergelak. Waktu itu, jari-jemari ini leka di laptop memasukkan data-data dari lambakan kertas di bilik ini. Saya membalas mesej itu. Menyatakan keterbatasan waktu saya untuk menjawab persoalannya. Janji saya, pagi esok akan saya jawab soalan itu.


Dia membalas "wei, tolong la balas. ni soal hidup mati beb. kau sorang je yang bleh paham keadaan aku."


Kasihannya...

Di sini sedikit sebanyak cadangan, pendapat, dan pesanan saya buat dia.

"Macam ni, biarlah mak kau jumpa dia dulu. Kenal dia dulu. Soal jodoh, itu ketentuan Allah. Apa yang penting sekarang, kau tak tolak dia mentah-mentah, dan kau tak terima dia bulat-bulat. Kenal dulu. Taaruf (berkenalan) tak semestinya akan ke gerbang perkahwinan. Istikharahlah..mungkin bagi kau, belum masanya lagi..tapi yang tertulis dah sampai masanya. Dia Yang Maha Mengetahui. Aku nak kau pikir masak-masak. Mohon padaNya moga dipermudahkan jalan. Kau anak yang baik, mesti la mak kau akan pilih yang terbaik. Mintak-mintak la sesi pengenalan mak kau ngan calon bakal menantu hari ni berjalan lancar."

Dia menarik nafas lega..soalnya lagi "Kalau kau, kau dah bersedia?"

Aduhai...saya pulak yang ditanya.

Saya berusaha menjadi yang terbaik. Maksud saya, sebagai seorang muslimah, melengkapkan diri dengan secukupnya. Persediaan tidak hanya perlu dilakukan sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan, tetapi persediaan dan pemantapan diri perlu seiring dengan perjalanan hidup kita.

Kata cikgu saya, "Perangai anak kamu nanti akan ikut perangai kamu waktu anak dara. Waktu muda-muda. Jadi, jaga tingkah laku kamu kalau kamu nak anak-anak kamu mendengar kata" Sampai ke hari ini saya ingat pesanan itu.

Mungkin belum sampai waktunya lagi untuk saya memikirkan soal itu. Lagipun, yang datang merisik bukanlah untuk saya,tetapi untuk dia. Haha

utk dia:wei, aku doakan ko dipermudahkan jalan oleh Nya.

Friday, December 4, 2009

"Kalau tak suka, pulangkan.."

Jenguk tepi tingkap..terpandang sang bulan yang indah serinya. Bersama bintang-bintang sebagai peneman dan penyeri malam. Subhanallah..cantiknya malam ciptaan Allah tidak dapat disangsikan lagi.


Entry ini berbaur emosi. Maaf andai kalian tidak menggemarinya. Sekadar pengalaman untuk dijadikan iktibar buat kita semua. Buat adik akak, insyaAllah, bila ada kelapangan nanti, akak akan ceritakan segalanya yang terjadi. Semalam, hampir akak menghamburkan segalanya kepadamu, namun kerana keterbatasan waktu telah menjadikan kisah itu tertunda.


Banyak sebenarnya yang akak ingin kongsikan dengan kamu. Katamu "Akak macam ada prob je"....Kesian juga kerana kamu terpaksa menekan-nekan blackberi temanmu....tidak semudah menekan papan kekunci laptop, kan?


Kadang-kadang yang terlihat dek pandangan tidak sama dengan apa yang lahir dalam hati. Saya tidak pernah menyalahkan sesiapa atas apa yang terjadi. Mungkin kekhilafan itu disebabkan sifat saya sendiri. Banyak kelemahan diri yang perlu diperbaiki. Ada waktunya, saya sendiri tidak sedar yang saya telah melakukan kesilapan itu. Indahnya andai ada yang menegur dan mengingatkan. Tapi, diri sendiri harus bermuhasabah. Ingat itu..


Bagaimana rasanya pabila hadiah yang kita berikan pada tuan rumah apabila kita berkunjung ke rumahnya dibuang oleh tuan rumah tersebut? Sedih kan? Kita berhabisan berbelanja untuknya. Bukan soal harga yang saya timbulkan, tapi bila hadiah tersebut bertujuan untuk menyambung tali persaudaraan..merapatkan ukhuwwah.


Itulah perasaan saya sekarang. Hancur luluh. Sekiranya huluran kemaafan dan berdiam diri yang saya lakukan selama ini belum mampu menjernihkan keadaan, sehingga 'hadiah' yang saya hulur dibuang, tiada apa lagi yang mampu saya hamparkan. Saya juga manusia. Ya, saya keras kepala. Tapi bukan bermaksud saya tiada hati.


Teringat kata-kata Dato' Jalaluddin Hassan dalam Taubat Nasuha..

"Kalau tak suka, pulangkan. Sebab itu kepunyaan Allah. Jadi Dia ambik balik"

Pulangkan..jangan dibuang.

Saya tidak mampu lagi menafikan segala yang terjadi. Maafkan saya kiranya ada perkara yang saya selindungkan. Bukan tujuan saya untuk menidakkan kehadiran kalian dalam hidup ini, tapi semuanya kerana kebaikan kita bersama.


rindu akak la...
kenal kejap tapi rasa macam kita sama aura
same wavelength
terima kasih akak..utk apa pun adik tidak tahu..
*singgah di laman sembang beberapa hari yang lalu*


"Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalinkan silaturrahim" >>Hadith Riwayat Al-Bukhari<<


**thanks Ila...u might not a good motivator, but you always try to be the comfort shoulder for me to rely on**

Sunday, August 30, 2009

Sebuah Penulisan

Setiap orang dikurniakan bakat untuk menulis. Cuma sejauh mana bakat, keinginan, dan kesungguhan itu berjalan selari atau tidak. Secara jujurnya, saya menulis setelah dicabar oleh teman rapat. Pada mulanya, saya tidak berminat langsung untuk menulis kerana bagi saya, lontaran hati saya hanya saya yang akan mendengarnya. Tidak perlu ada mata atau telinga lain yang boleh berkongsi sama.


Allah Maha Membalikkan Hati.. saya mula berjinak dengan penulisan blog. Di situ medan saya merasakan medan dakwah yang luas. Saya sedar, proses pentarbiyahan ini harus dilangsungkan dalam apa jua bentuk dan manhaj.


Hakikat yang jelas dan nyata, dalam merealisasikan hablumminallah, hablumminannas , tinta ini tidak harus dijadikan diari atau luahan rasa yang melampau-lampau kerana pastinya akan lari dari tujuan asal saya menulis. Soal peribadi atau segala-galanya tentang saya bukanlah artifak yang boleh dijadikan paparan umum kerana saya bukanlah Barrack Obama, isu hidup saya pun tidak hangat dan membahang seperti Isu Palestin dan Israel. Ini bukanlah soal merendah diri, tetapi dalam mendidik hati-hati mujahid dan mujahidah..kita perlukan makanan yang mendidik jiwa..bukannya makanan yang entah apa-apa.


Dalam bercerita, ada nasihatnya, ada tegurannya. Manfaatnya bukanlah dikais sekarang, tetapi di akhirat nanti. Kadang-kadang panjang juga langkah ini untuk menziarahi blog teman-teman. Ada bermacam gaya dan cara. Tahniah dan teruskan usaha. Didiklah jiwa dan hati-hati sahabat-sahabat yang lain agar terus dekat dan lunak dengan Sang Pencipta.


Cara kita menulis dan melontarkan idea menggambarkan kredibiliti dan kemantapan dalaman kita yang sebenar. Saya, kita, dan anda semua adalah orang-orang yang akan berusaha ke arah itu. Yakinlah..Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak yang menjadikan blog sebagai coretan kisah hidup, tetapi tidak salahnya jadikan blog sebagai santapan mata dan rohani buat "rujukan anak cucu nanti"-bak kata teman saya.


Tengah hari semalam saya dikejutkan lagi dengan pemergian Allahyarham Prof. Ismail Salleh, alumni SIC, sekolah lama saya. Lama air mata ini menitis. Pertemuan dengannya 5 tahun yang lalu terimbau kembali. Semoga rohnya bersama para Solihin. Ameen.


Teringat kata-kata Allahyarham Muhammad Ammar bin Zulkifli, "Seperti anak-anak di akhirat, melihat dunia melalui jendela akhirat".


Pena ini akan terus menari..

Monday, June 8, 2009

Mujhse Dosti Karoge

Apa tu? Pasti teman-teman tergelak besar pabila mengetahui saya menonton filem Hindi. Saya pun musykil kenapa saya tergerak hati untuk bertahan dari minit pertama hingga ke akhirnya di depan laptop semata-mata mahu mengikuti cerita tersebut.
"Sudikah awak berkawan dengan saya?"- Lebih kurang la maksud tajuk di atas sana. Saya mula mengenali tajuk dan lagu-lagu filem tersebut dari semester lepas. Junaidah yang memperkenalkannya kepada saya. Saya minat dengan salah satu lagu filem itu. Jika tidak silap, tajuknya Saawanli Si Ek Ladki.
Tergolek-golek teman-teman mentertawakan saya kerana telah memecah tradisi menonton filem Hindi. Walau bagaimanapun, ingin saya kongsikan juga sedikit sebanyak input positif yang saya terima dari lakonan Hrithik Roshan, Rani Mukherjee, dan Kareena Kapoor (mohon maaf andai tersilap eja).
Cinta tidak mengenal siapa. Gerak hati yang mentafsir segala-galanya. Antara cinta dan persahabatan, yang mana harus dikorbankan?
Saya tidak arif soal ini..pinta saya dari teman-teman supaya memberikan komen yang bernas lagi jitu buat saya dan teman yang lain. Namun, biarlah penjelasan itu berlandaskan agama yang kita sama-sama pegang. Saya menonton bukan sekadar suka-suka, tetapi mengutip iktibar atas segalanya.
Saya sudi berkawan dengan sesiapa sahaja.. (Tak sempat nak translate ke bahasa mereka.Haha)