Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts
Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts

Monday, January 2, 2012

Catatan Pengalaman Tamrin Tarbawi *II*

Sabtu (24 Disember 2o11)

Kami bermalam di Maahad Ihya' Sunnah Muhammadiah di Danok. Alhamdulillah, sesi melepaskan penat berlangsung dengan jayanya. Lebih kurang jam 7.30 pagi, kami memulakan perjalanan ke Masjid Kerisek. Perjalanan yang mengambil masa selama 2 jam itu memang menyeronokkan dan memberi satu gambaran awal tentang Muslim di Selatan Thai.

Kenderaan yang kami naiki dipandu oleh seorang lelaki warga Thailand bernama Pakcik Shaari. Beliau tidak banyak bercakap. Hanya sesekali mendengar suaranya apabila kami bertanya. Di tengah perjalanan, kami berhenti di Chana untuk mengisi gas bagi kenderaan ini. Pertama kali sampai di sini, peluang bergambar tidak dilepaskan.

Jam 10.15 pagi, kami tiba di Masjid Kerisek. Di sini, kami diberi taklimat oleh Ustaz Ismail Ishak Banjasmit. Beliau menerangkan tentang sejarah Masjid Kerisek. Kerisek bermaksud pasir putih bersih. Masjid ini dibina pada zaman Sultan Patani ke II, Sultan Muzaffar Shah.

Di masjid inilah terjadinya peristiwa bersejarah yang telah mengorbankan umat Islam pada tahun 2008. Mereka ditembak beramai-ramai ketika sedang solat berjemaah. Gugurnya mereka sebagai syuhada' selepas tentera penceroboh Thailand melancarkan bom roket dan melepaskan tembakan bertubi-tubi ke Masjid Kerisek.

Bertafakkur...moga Islam terus subur di bumi ini. Moga mereka yang masih tinggal terus gigih menjalani hari depan.

Seterusnya, kami bertolak ke Phaya Inthira Cemetery (Makam Raja Muda) iaitu makam sultan yang mengasaskan penubuhan Masjid Kerisek. Saya tidak mendengar butiran maklumat yang disampaikan oleh Ustaz Ismail Ishak Banjasmit dengan teliti kerana golongan lelaki yang mengerumuni Ustaz menyukarkan kami (perempuan) untuk menangkap setiap butiran yang dinyatakan beliau.

Kami meneruskan perjalanan ke Masjid Jamek Al-Fathoni. Kami tiba di sana pada jam 11.45 pagi. Suasana jemaah yang ramai menghadiri kuliah ini saya rasai sama seperti di Kota Bharu pada hari Jumaat. Jemaah memenuhi setiap ruang masjid. Subhanallah, budaya ilmu yang berkembang mekar dalam jiwa masyarakat Islam di Pattani ini sungguh mengagumkan. Saya dan teman-teman duduk bersama-sama dengan golongan wanita di perkarangan masjid.

Kuliah ini disampaikan oleh Ustaz Ismail Sipanjang. Kagum seketika apabila melihat mereka yang kurang upaya berusaha gigih berjalan untuk menadah ilmu. Tarbiyyah hati supaya bersyukur dengan nikmat yang ada. Supaya lebih berusaha untuk menggali ilmu.

Sebaris ayat daripada kuliah beliau adalah "Kita hidup dengan hati. Tanpa hati, jiwa kita mati. Sebagai contoh, wayang kulit. Yang menggerakkan wayang kulit adalah tok dalang, yang bergerak adalah wayang kulit itu sendiri. Wayang kulit tidak akan bergerak sendiri kerana ianya tiada hati."

Jam 1 petang, kami tiba di Maahad Idris Tok Jong. Saya dan beberapa orang teman dibawa melawat kawasan muslimah di maahad tersebut. Untuk murid perempuan, ada satu bangunan yang mempunyai 10 buah kelas (2 tingkat). Di situlah mereka belajar setiap hari. Sewaktu kami tiba, kelas-kelas itu dipenuhi dengan baju-baju yang baru dibasuh. Mereka menjemur pakaian kerana ruang ampaian yang ada tidak mencukupi.

Dapur mereka sangat unik. Bersusun almari, tong gas, dan kuali. Mereka memasak sendiri makanan untuk dimakan setiap hari. Di maahad ini, mereka bukan sahaja belajar ilmu agama, tetapi juga tentang ilmu kehidupan.

Selepas itu, kami masuk semula ke tempat semua ahli lawatan berkumpul. Saya dipertemukan dengan seorang nenek. Ceritanya berkisar tentang kehidupannya di maahad ini. Petah bicaranya mengingatkan saya pada arwah nenek.

Subhanallah, Dia mempertemukan saya dengan seorang makcik yang mana arwah suaminya berasal dari kampung saya, namanya Makcik Hajar. Menitis air matanya kerana terharu dan tidak menyangka akan dipertemukan dengan saya di sini. Panjang ceritanya, murah senyumannya, banyak pesanannya membuatkan saya jatuh hati pada keramahan mereka di sini.

Kami dijamu dengan nasi minyak. Sedap.

Sesi bergambar beramai-ramai diambil sewaktu kami mahu melangkah keluar dari maahad tersebut. Makcik Hajar memeluk erat dan mencium dahi dan kedua-dua belah pipi saya. Oh....saya yang mudah kalah dengan 'perasaan ibu' ini terasa sebak. Penuh air dalam kolam mata.

Kami teruskan perjalanan ke Markaz Tabligh Pattani. Di sini kami dibawa ke tempat penginapan bagi perempuan. Golongan wanita tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan masjid. Persinggahan kami ke markaz ini menemukan kami dengan mereka yang mahu menuntut ilmu agama dengan meninggalkan kampung halaman masing-masing. Ada yang datang dari Indonesia, Malaysia dan beberapa negara lain.

Selesai lawatan kami pada hari itu. Perjalanan seterusnya adalah ke restoran. Perjalanan yang sungguh panjang itu menyeronokkan dan bermanfaat buat saya. Mungkin juga buat semua. Alhamdulillah, saya tidak tidur sepanjang perjalanan seharian di Tanah Siam itu.

Jam 9.15 malam kami tiba di restoran. Makan. Dek kerana kelewatan makan malam, perut saya tidak dapat diisi dengan baik. Syukurlah, walaupun sekadar mengalas perut, ianya mampu 'memujuk' perut saya yang sensitif itu.

Kami diberi masa 15 minit untuk membeli-belah sebelum bertolak ke tempat imigresen. Saya yang kurang tahu berbelanja ini cuma membeli 2 biji buah delima, satu peket biskut jem, dan keladi goreng.

Selepas sesi mengecop pasport, kami perlu berjalan (10 minit) untuk ke tempat bas menunggu.

Dalam bas, saya tidur dengan nyenyaknya.

Ahad (25 Disember 2011)

Solat Subuh di Hentian Sungai Buloh.

Kami tiba di Sekretariat ABIM Gombak pada jam 7 pagi.

Saya menaiki LRT ke KL Sentral dan pulang ke Shah Alam menaiki KTM. Jam 9.30 pagi, saya tiba di rumah.

***gambar-gambar tiada di sini. Maaf, saya belum rajin upload gambar pada ketika ini.

Thursday, February 10, 2011

Cerita di suatu pagi

Setiap pagi, saya akan menunggu Kak Suzi di perhentian bas. Kegemaranku, suka melihat gelagat orang di sekeliling termasuklah orang yang sedang menunggu bas (sambil mengira-ngira kenderaan & berangan-angan).

Jam 7.30 pagi, saya masih di perhentian bas itu. Sendirian. Mata tertancap ke arah sesusuk tubuh yang sedang menaiki tangga dari jalan bawah menuju ke lebuhraya, tempat menunggu bas. Seorang aunty Cina. Termengah-mengah di anak tangga paling atas.

Di belakangnya, ada seorang lelaki Cina. Suaminya barangkali..langkahnya perlahan, terhincut-hincut, kepenatan.

Sewaktu aunty itu sampai di perhentian bas, saya tersenyum memandangnya. Dia membalas.

“Hai aunty, selamat pagi”

“Silamat pagi..kamu sikolah ka?” soalnya. Suaminya baru sahaja tiba dan duduk bersama kami.

“Tak, saya bekerja. Di ALAMi, Seksyen 13. Dekat Worldwide” balasku.

“Oh, aunty ingat kamu sikolah lagi. Penat ma…” keluhnya.

“Aunty tinggal di mana? Ni nak ke mana?”

“Itu lumah flat ooo. Mau pigi hospital. Ini Uncle punya kaki sakit. Itu doktor mau ambil dia punya darah. Aiyaa, manyak susah hati.”

Saya memandang wajah uncle. Sugul. Perjalanan mereka ke perhentian bas ini sungguh jauh. Hati saya sebak, uncle yang berjalan terhincut-hincut itu menahan kesakitan.

“Kita olang susah. Mana ada duit mau bili itu keleta. Anak-anak sibuk. Kamu tau amoi a, silipas pigi hospital, kita olang mau pigi bayar duit keleta anak. Anak suruh.”

Saya terdiam..

“Aunty tengok kamu manyak cantik, manyak baik. Kilija betul-betul ya. Jangan susahkan mak bapak. Sayang mak bapak. Kita olang memang talak untung ooo dapat anak. Bikin sakit ini hati”

Matanya bergenang. Uncle yang sedari tadi diam hanya memandang jauh. Sesekali birai matanya disapu dengan tangan.

“Aunty, Uncle…Tuhan banyak sayang sama kamu berdua. Aunty dan Uncle sudah besarkan anak-anak. Diorang pun sudah berjaya. Jangan menyesal ya..Aunty mesti banyak berdoa sama Tuhan”

Uncle memandang. Tersenyum.

“Tilima kasih ooo. Kamu bikin hati saya sijuk ooo.”

Lama kami berborak. Bas yang ditunggu mereka akhirnya tiba.

Lambaian tangan mereka mengakhiri pertemuan kami pada pagi itu. Tinggal saya sendirian, menanti Kak Suzi yang sampai 2 minit kemudian.

Takdir Allah telah mempertemukan saya dengan Aunty dan Uncle. Kisah ini mungkin sering kita dengar, tapi jarang kita ambil peduli. Sudah tiba saatnya kita mengubah dongeng Si Tanggang ini. Anak yang dilahirkan, dibesarkan oleh ibu bapa WAJIB menghargai jasa kedua mereka samapai bila-bila.

Kita dan generasi seterusnya yang bakal kita lahirkan.

~sangat sebak di waktu ini pabila mengenangkan ibu di kampung yang masih tiada suara~

Friday, December 17, 2010

Jom kita menulis!

Entry ini sewajarnya ditulis pada hari Selasa lepas, tetapi kerana empunya badan hanya membawa badan saja ke tempat kejadian, jadi terpaksa ditunda ke hari ini.

Isnin:
Saya membaca status GPTD di muka buku berbunyi

URGENT: TIGA (3) orang terawal menghubungi 0176665970 akan ditaja mengikuti kursus penulisan kreatif (fiksyen & non-fiksyen) yg akan berlangsung pada 14-16/12/2010 di UM. Kadar yuran sebenar ialah RM400 seorang. Siapa yang mengikuti kursus ini akan terus menjadi penulis tetap GPTD. Antara jurulatih yang ada ialah Dato' A Samad Said, Prof Md Sidin Ahmad Ishak, Datin Seri Fatini Yaacob, Pn Ainon Mohd (PTS) dll.

Slot bersama Pn Ainon Mohd: Menjadi Penulis Yang Kaya

Berfikir-fikir dan berkira-kira. 3 hari tu....mahukah bos saya mengizinkan cuti mengejut saya itu? Hampir sejam saya termangu-mangu di meja, satu panggilan masuk. Daripada Buya Su. Dipendekkan cerita, akhirnya saya berkeputusan untuk ke sana. Nekad!


Bersama Pn Ainon & peserta wanita yang lain (Najwa, Wai Ling, Izni, Kak Zainab, Kak Faiz, Zazreen & Hjh Rahmah)

Selasa:
Tanpa sebarang petunjuk, saya ke UM dengan harapan usaha ini akan berhasil. Saya cuma mengetahui tentang tempat & tarikh sahaja. Serang aje labu!

Terima kasih buat orang-orang yang berada di belakang tabir: Buya Su, Raudhah, Kak Long, Cik Manisah, Jaa & Abg Suhail.

Setibanya di Rumah Universiti, saya terkebil-kebil sambil menyedapkan hati sendiri. Ada 2 bangunan yang bernama Rumah Universiti. Saya ke bangunan kedua...tiada sesiapa di situ. Langkah kaki ini pantas menuju ke bangunan yang pertama..mata tertancap pada satu label di pintu masuk bertulis

BENGKEL PENULISAN KREATIF FIKSYEN & NON FIKSYEN
BILIK WAWASAN, TINGKAT 1
RUMAH UNIVERSITI

Sebagai seorang makhluk yang dianugerahkan nikmat tahu membaca, saya gagahkan diri & kuatkan hati melangkah ke Tingkat 1. Alhamdulillah, ada urusetia di luar bilik tersebut. Jam di tangan saya kerling..8 .45pagi.(Awal lagi...hehe)

Idola saya

Urusetia tersebut, Ain Najwa meminta saya memilih salah 1 daripada 2, iaitu Fiksyen atau Non-Fiksyen. Saya yang dalam keadaan sengal-sengal ubi ditambah pula dengan cuak kerana terasa seperti makhluk paling lambat tiba, tergaru-garu kepala sebelum membuat keputusan.

Akhirnya, saya memilih NON-FIKSYEN!


Masuk ke dewan, kelihatan lebih kurang 10 orang yang ada. Banyaknya kerusi! Semoga majlis ilmu ini akan dipenuhi dengan malaikat-malaikat yang akan menjadi saksi kami semua. Saya dengan lajunya berjalan ke kerusi hadapan. Duduk. Ada 2 orang wanita di situ. Saya sentuh tangan gadis di sebelah saya untuk bersalam. Allah!

Kak Faiz rupanya...

Sangat-sangat bersyukur kerana tawakkal + redah saya berhasil. Sekurang-kurangnya saya tidak keseorangan. Saya berkenalan lagi dengan seorang kakak-Kak Zainab.

Alhamdulillah, Allah permudahkan jalan untuk saya menuntut ilmu. Keputusan bercuti tiba-tiba, angkut beg pakaian untuk 3 hari, dan memberanikan diri melangkah adalah satu keputusan yang tepat.

Saya ke sini bukan kerana mahu bercuti, bukan pula mahu berjumpa dengan sasterawan semata-mata. Saya di sini kerana mahu mengasah parang yang saya sendiri tumpulkan dulu.

Ada sambungannya nanti....

Sunday, November 14, 2010

Senyum (Smile) - Malique Feat. Najwa




Kalau kita senyum
Semua orang berjangkit
Bila semua orang senyum
Dunia tiada penyakit

Tuesday, December 29, 2009

Merujuk Orang Lama

Waktu cuti seharusnya dimanfaatkan dengan sebaiknya agar tiada masa yang terbuang dengan sia-sia. Sebulan bukanlah suatu jangka masa yang panjang buat saya dan adik-beradik untuk bersama.
Demi Masa,sesungguhnya manusia dalam kerugian..
Saya suka berborak dengan golongan makcik-makcik dan pakcik-pakcik. Bagi saya, mereka adalah sumber untuk mendapatkan petua dan idea yang bernas, berdasarkan cara hidup dan pengalaman mereka. Boleh dititipkan sebagai iktibar dan panduan dalam hidup saya di masa akan datang.
Mak Cik Jah dan Pak Cik Hasan merupakan antara jiran kami di kampung. Mereka tinggal di sini sewaktu baru berumah tangga sehingga sekarang. Mereka merupakan peniaga kantin sekolah sewaktu saya bersekolah rendah dahulu. Sangat baik dan peramah. Ketika kenduri doa selamat diadakan minggu lepas, saya duduk bersama Mak Cik Jah dan teman-temannya.
Lengan saya ditepuknya...
"Tini, mu ngaji prabih dulu..baru pikir nok cari gewe" katanya
Saya angguk.
"Tringak taing Mokcik Joh nga Pok Cik Ase dulu-dulu. Takdok gewe-gewe ni. Kene, teruh nikoh. Gewe lepah nikoh. Bahagio pah ke loni." Dia tersenyum..diam seketika kemudian berpantun:
"Kalau padi katakan padi
Memang tak perlu aku menampi
Kalau jadi katakan jadi
Memang aku menanti di sini"
Kami berlima (geng dapur) tergelak besar mendengar pantun Mak Cik Jah. Dia tersipu-sipu.
Kunjungan wajib saya jika pulang ke kampung seandainya ada masa terluang adalah rumah sahabat saya. Bertemu mata dengan Bondanya, berkongsi cerita dan mendengar amanatnya.
Katanya "Hidup ni mesti selalu memberi tanpa mengharapkan balasan. Bila ada kawan-kawan mintak pendapat, cubalah sedaya upaya bagi yang terbaik. Lebih-lebih lagi bila soal perselisihan pendapat, pergaduhan, dan pertelingkahan. Jangan nyalakan lagi api yang sedang marak. Ingat, banyak hati perlu dijaga."
Saya titip semua itu sebagai bekalan. Tiada salahnya meringankan mulut menyapa yang lebih tua. Di situlah terkumpulnya ilmu yang tidak dapat kita cari dari mana-mana buku. Orang yang lebih tua akan rasa mereka dihargai sekiranya kita sering menjadikan mereka sebagai rujukan.
Yang tua dihormati, yang muda disayangi..
P/S: Alhamdulillah, ada kelapangan untuk saya update entry terbaru ini. Askar-askar sudah tidur. Ada sedikit ayat yang terdelete kerana tangan montel Afiqah tadi.

Sunday, December 20, 2009

Poster#2: Stop Car Litter

Bab kempen kedua ini, saya tergaru-garu kepala buat beberapa hari..sebab kekeringan idea untuk melontarkan rasa. Maaf atas kelewatan promosi kempen ini. Banyak perkara yang harus didahulukan..
Cerita 1:
Kisah ini berlaku 3 tahun dahulu, waktu saya masih di Tahun Asas Sains (Kejuruteraan). Saya dan seorang teman baru pulang dari menjadi sukarelawan Mesyuarat Agung Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia. Kami pulang ke UNISEL dengan menaiki bas. Bila seharian bekerja, sudah semestinya kami tertidur kepenatan dalam bas.


Tiba di simpang tiga di Jalan Timur Tambahan, Uncle drebar bas memperlahankan pemanduan. Kami tersedar. Kereta di hadapan bas yang kami naiki mencampakkan 3 botol arak ke tengah jalan. Bunyi kaca pecah kedengaran. Kami cuak. Dibuatnya mereka tahan bas itu, memang nahas kami semua.

Alhamdulillah, kereta di hadapan tidak berhenti. Kami menarik nafas lega. Botol-botol arak yang pecah berserakan di tengah jalan. Uncle drebar bas membebel-bebel dalam Bahasa Tamil (sepatah dua je saya paham)
Sungguh tidak bermoral pemandu dan penumpang yang menaiki kereta itu. Pengajaran buat kita, kalau pun kita rendah moralnya, janganlah pengaruh orang lain untuk ikut kita.

Cerita 2:
Kawan saya yang sorang ini bukanlah pengemas yang baik. Tapi, ada baiknya kenapa dia begitu. Dalam keretanya, ada sahaja sampah yang terlupa dibuang. Kadang-kadang, saya akan mengutip sampah-sampah itu. Suatu hari...mungkin dia kepenatan mendengar saya bersyarah tentang kebersihan, dia berkata:
"Kira ok la tu saya tak buang kat tengah jalan. Saya tak cemarkan alam sekitar. Biar je dalam kereta. Yang nampak semak dalam kereta ni, cuma awak dan saya. Kalau saya buang ke luar, semaknya semua orang nampak. Tak pasal-pasal saya dapat dosa"

Sabar jelah..sebab itu saya kata, ada baik dan buruknya dia begitu. Dia tidak menyusahkan dan merosakkan pandangan mata orang lain, tetapi dia tidak berlaku adil terhadap dirinya sendiri.

************************************************************

Hentikanlah tabiat membuang sampah dari kenderaan, hormatilah pengguna jalan raya yang lain. Jika kita ingin dihormati, seharusnya kita menghormati hak orang lain.
Kebersihan itu adalah sebahagian dari Iman...
Mereka yang di'tag' oleh saya:

Monday, October 19, 2009

Turun ke Desa

Hujung minggu lepas, saya bersama teman-teman mengadakan program Turun Ke Desa (TURDA), di Kampung Tiram Jaya, Kuala Selangor. Program selama 3 hari 2 malam itu banyak memberikan manfaat buat saya. Pada mulanya, tarikh ingin ditukar atas beberapa komitmen yang tidak putus-putus datang berkunjung. Saya risau seandainya tidak dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap TURDA nanti. Persiapan perlu dilakukan dengan sebaiknya. Pelantikan sebagai ketua TURDA yang sememangnya dielakkan, tetapi dipikul juga. Soal makanan, pengisian aktiviti, tempat, dan sebagainya menjadi topik yang harus diselesaikan sebelum ke sana. Alhamdulillah, atas bantuan dari sahabat-sahabat, saya berjaya melafazkan Alhamdulillah..

Jumaat (16 Oktober 2009)
Slot petang dan malam diisi oleh saya sendiri. Dipermudahkan jalan untuk mendekati dan mengenali adik-adik yang menyertai program ini. Pelbagai ragam.



One for All, All for One

Sabtu (17 Oktober 2009)


Nyanyian lagu tema "Hikmah Kembara" & "Desa Tercinta"

Hari ini, En.Rizuan dari Consumer Association of Penang (CAP) yang mengisi program kami pada kali ini. Bagaimana memulakan perbualan dengan masyarakat, mengenali isu-isu yang berlaku sekarang, dan mengenalpasti langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah-masalah tersebut. Aktiviti pada hari ini tidak hanya terhad kepada perbincangan semata-mata, tetapi juga dalam bentuk lakonan, turun ke desa, dan pembentangan kumpulan.

Semasa aktiviti turun ke desa, kami telah memilih rumah Ustaz Tohid untuk dikunjungi. Kesediaan beliau dan isteri menerima kami berempat amat kami hargai. Perbualan yang agak tebatas pada mulanya makin jelas rentak dan tempo apabila masing-masing memainkan peranan.

Us. Tohid : Kamu dari mana?
Saya : Kelantan
Us. Tohid : Tak macam Kelantan pun. Kamu macam orang Selangor.
(Kami tergelak besar)
Saya : Kelantan, Ustaz..Kelantan asli.
Us. Tohid : Tak macam orang Kelantan kamu ni. Percayalah, nanti kamu akan jadi orang Selangor.
(Sekali lagi kami tergelak dengan besarnya)

Ustaz Tohid juga mengajar kami memancing ikan. Seronok! Inilah kali pertama saya memancing ikan dan memegang joran. Perbualan bersama isteri beliau mengenai sistem pendidikan di Malaysia sangat berguna buat kami. Semasa sedang mengail, Ustaz Tohid mengusikku, "Saya nak tengok orang Tumpat yang bakal jadi orang Selangor dapat ikan keli. " gurauannya itu telah menggeletek hati saya. Isterinya ketawa. Ada saja Ustaz ni. Malangnya aku cuma mendapat seekor ikan puyu. Itu pun setelah berkali-kali umpan saya dimakan dan habis tetapi mangsanya tiada. Sabar sungguh kaki pancing. Bukan sayalah orangnya..





Indahnya desa..





Memancing
Pulang dari lawatan tersebut, saya menuju ke bilik. Ada 3 mesej dan 5 miscall. Dari sahabat terbaik saya, Sedari. Mesejnya berbunyi "Salam.sedari, mak saya dah tak de". Saya terkaku. Mesej itu diulang baca. Penghantarnya diselidik nombornya. Bimbang andai bukan dia orangnya. Betul.. Sedari orangnya. Panggilan saya tidak dijawab. Kedua-dua nombor. Lidah saya kelu. Terduduk di birai katil. Adik-adik yang bertanya, tak mampu saya jawab. Sepetang saya mengalirkan air mata. Entahlah, saya benar-benar rasa bersalah. Saya tiada di saat dia memerlukan saya. Ya Allah!

Kami semua berkumpul di Dewan Kuliah. Muka tidak mampu saya angkat. Bimbang andai semua perasan akan perubahan ini. Tiba-tiba 1 mesej masuk "Kenapa akak? Ada pape masalah ke?Lain benar muka tu." Saya mengangkat muka. Dia yang berada di hujung meja sedar akan perubahan ini.

Saya cuba bertahan dan mengelakkan dari air mata ini tumpah lagi. Alhamdulillah..walaupun tidak sepenuhnya, tapi sedikit sebanyak mengurangkan gelodak yang ada. Khabaran daripada Khadijah tentang pemergian ibu Ija ke pangkuan Ilahi juga saya terima selepas solat Maghrib. Innalillahi wainna Ilaihi raji'un.

Ahad (18 Oktober 2009)
Hari ini kami diberi tugasan untuk memberikan satu isu kampus dan menyenaraikan langkah-langkah yang harus diambil bagi membawa isu tersebut ke peringkat yang sepatutnya dan mewar-warkan kepada pengetahuan umum. Semoga ianya kan menjadi suatu realiti dan tidak hanya sekadar pembentangan untuk memenuhi syarat semata-mata.

Sekalung tahniah dan terima kasih buat Tuan Penasihat dan En. Ridzuan kerana memberikan kami ruang dan peluang bagi kami mempersiapkan diri sebelum ke medan pertempuran. Aktiviti turun ke lapangan sewajarnya diteruskan kerana ia sedikit-sebanyak akan mengajar para mahasiswa untuk mengenali masyarakat dengan lebih dekat bukan hanya tertumpu di bilik kuliah mahupun kelas-kelas biasa sahaja.

Wednesday, August 19, 2009

Buku Terbaru Bulan Ini

Saya baru sahaja kembali dari Kem SAKTI di Pusat Dakwah Islamiyah, Paroi, Negeri Sembilan bersama 16 orang adik-adik dari Unisel. Mereka semua teruja dengan pengisian sepanjang program tersebut. Alhamdulillah..
Banyak perkara yang saya pelajari di sana, lebih-lebih lagi soal konsisten dalam jemaah. Saya tidak harus mengalah dalam mencari keredhaan Allah dan menjalankan misi Rahmatan Lil Alamin. Jiwa ini harus mencontohi Sultan Muhammad Al Fateh, mesti sekuat Ibn Battutah, berjiwa utuh seperti Buya Hamka. Itu nekad saya.
Bersedia untuk tidak bersedia. Sewaktu dalam perjalanan, saya diberitahu oleh Yang Berbahagia Tuan Penasihat untuk memberikan presentation berkenaan dengan Sejarah Penubuhan GPTD Unisel. Subhanallah..dengan persediaan yang seadanya dan bantuan dari adik-adik, saya mesti mencuba.
Alhamdulillah, berjaya. Saya bukanlah expert bila bercakap di hadapan orang ramai. Lidah kelu, Lutut terketar-ketar. Merah padam muka pabila Abg. Ju kata saya bercakap seperti ayat di dalam buku. Termalu dengan sendiri. Itulah saya.Cuba menggunakan Bahasa Melayu yang betul, bukannya bahasa pasar.
Insya Allah,catatan pengalaman ahli-ahli GPTD yang lain akan saya muatkan dalam blog GPTD. Ikuti dan bacalah. Moga ada manfaatnya. Ini adalah salah satu latihan buat mereka. Berjalan, mentafsir, dan menulis.
Tercapai juga hasrat saya untuk merasa Masak Lemak Cili Api di sana. Pedas. 2 hari berturut-turut saya berulang keluar masuk tandas. Kalau Ma tahu, mesti panjang ceramahnya.
Ada 3 buah buku baru dalam tangan saya sekarang.. PKPIM 5 Dasawarsa, Manhaj Pendidikan Dakwah Islam, dan Kebangkitan Generasi Salahuddin & Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam. Sangat bermanfaat.
Kata Abg Syed Akla semasa membentangkan tajuk Meneladani Ibn Batuttah dalam Membentuk Personaliti Belia Menjulang, Pressure is Privilege and Champions take Chances.

Monday, June 29, 2009

Sayur Bening

Sewaktu di dapur Surau Darul Ma'arif..

Salihin : Jom masak..

Saya : Pagi tadi, awak janji nak masak kan? Sila la..Tadi kata Brothers nak masak. Tak bagi
kami buat.

Salihin : Kita buat sayur bening nak?

Saya : (tergaru-garu kepala..ada jugak yang nak kena lempang ni. Buat lawak di tengah
hari plak. Sayur pening plak..sayur migrain xde?)
Sayur pening? Apa tu?

Salihin : Bukan pening la..bening.paham?

Saya : Ooo bening.ingatkan pening. Tak pernah dengar pun..

Salihin : Tak pernah dengar? Biar betul. Senang je..tumis bawang sikit, letak sayur, letak
air,pastu tambah la apa yang patut.

Saya : Macam masak sayur air je..

Salihin : Yela..(sambil tergelak-gelak.)
Ces, ingatkan apa. Nama je lain. Sayur bening tu adalah nama masakan orang Jawa. Maafkan saya wahai orang-orang Jawa..saya tak pernah dengar nama masakan tu. Tengah hari itu, kami semua makan masakan yang dimasak oleh dua orang Brothers..Boleh tahan jugak penangan mereka. Sampai menangis-nangis semua orang sebab pedas yang teramat.
Tahniah buat mereka..

Wednesday, April 22, 2009

Membangun sambil Meroboh

Hmm...pulang ke kampung halaman amat menggembirakan. Peluang untuk berjumpa bonda sebelum menghadapi peperiksaan akhir amat saya hargai. Melayan 'askar-askar' Nek Ma memang memenatkan tetapi menghiburkan.

7 jam di dalam bas cukup menyeksakan. Namun, itu bukanlah persoalan yang saya ingin utarakan sekarang. Apa yang penting adalah apa yang saya dapat daripada masa selama itu di dalam bas ekspress tersebut.

Duduk di single seat agak meyelesakan kerana tidak perlu berkongsi dan mengawal kepala yang akan terlentok ke kiri atau ke kanan (jatuh atas bahu orang sebelah!). Saya agak kasar pabila tidur. Pernah kawan saya berkata begini "Awak tidur dalam bas macam tidur atas katil." adusss..pedih ulu hati tiba-tiba. 'Biarlah' bentak hati saya perlahan-lahan.

Di dalam bas tersebut, saya terdengar suara seorang Pak Cik sedang menjawab telefon. Beria-ia benar dia bercakap seolah-olah bas itu adalah hak mutlaknya. Mata yang terpejam perlahan-lahan kerana kepenatan marathon di pesta buku mula terbuka dengan luasnya. Peratus kesabaran dalam diri mulai menyusut. Bayangkan, saya di seat 8C dan Pak Cik tersebut di seat 9B. Satu bas terdengar perbualannya di telefon. Perlahan-lahan saya mula memandang Pak Cik tersebut dengan pandangan penuh mengharap..Agar dia lekas menghabiskan perbualan kurang berinteleknya itu (maksud saya memuji-muji diri sendiri!)

Alhamdulillah, selesai sudah sesi bergayut Pak Cik 9B.Mata saya terpejam..Lena dalam dakapan malam. Setibanya di Greenwood, sekali lagi bas berhenti. Double seat disebelah saya, 8A dan 8B sudah terisi. Senyuman dilemparkan perlahan dan mata terkatup lagi untuk menyambung pengembaraan di alam kayangan. Tiba-tiba terdengar perbualan yang maha dahsyat sehingga orang yang berada di bahagian hadapan sekali dapat mendengar perbualan Kakak-kakak di seat 8A dan 8B yang bercerita mengenai kawan mereka yang berkahwin muda.

Ya Allah, bantulah saya..Pandangan ditoleh ke kanan,perlahan-lahan "Shhhhhh...." keras dan kuat.Kerisauan mulai menerjah. Bimbang mereka bangun dan menghadiahi saya sebijik pelempang sulung kepada saya yang agak kecil berbanding mereka.

Mereka terdiam..Lima minit kemudian, mereka mengikuti jejak langkah saya ke kayangan. Alhamdulillah..

Apa yang saya maksudkan sekarang adalah betapa rakyat Malaysia khasnya kaum Melayu semakin meminggirkan budaya menghormati orang lain. Saya tidak minta Pak Cik dan kakak-kakak dalam cerita di atas supaya berbisik. Tetapi cukuplah andai mereka bercakap perlahan-lahan. Cukuplah untuk pendengaran mereka sahaja. Tak guna meninggikan suara mendabik dada bercerita tentang kehebatan sendiri kerana kehebatan setiap orang tidak perlu ditunjuk-tunjuk.

Dalam kita membangun generasi yang celik serba-serbi, janganlah meroboh nilai-nilai kemanusiaan dan tatasusila yang ada dalam diri kita.Bagaimana ingin mengajar anak-anak bersopan andai kita sendiri masih kurang adabnya?