Saturday, November 10, 2012
Oh Ibu...
Monday, April 23, 2012
Lelaki Berkasut Putih & Rahsia Jodoh Saya
Lihat kasut di atas.Saya 'tidak berapa gemar' melihat lelaki berkasut putih. Entah kenapa. Kasihan sungguh lelaki-lelaki yang suka berkasut putih.
Bagi saya, lelaki berkasut putih adalah 'buaya'. Astaghfirullah al 'azim, memang tidak patut saya beranggapan begitu. Saya cuba neutralkan perasaan ini kerana hampir setiap hari saya akan terpandang kasut putih ini di merata-rata tempat.
Maafkan saya peminat-peminat kasut putih sekalian (lelaki). Saya cuba untuk positif sekarang kerana warna putih adalah warna kegemaran saya nombor 1.
Ini cerita kedua:
Khamis lepas, seorang lelaki berpangkat abang berdiri di hadapan saya sewaktu saya leka scan maklumat yang perlu dihantar ke salah sebuah syarikat.
Dia bertanya "Umur kamu sekarang berapa?"
Dengan nada bergurau, saya menjawab "21."
Balasnya "Owh, muda lagi..."
Saya membalas "Tak, saya main-main. Umur saya sekarang sudah 27 tahun." Rasa bersalah tiba-tiba datang kerana saya membuatkannya percaya."
Dengan terkejut dia berkata "Kalau saya, saya tak percaya umur kamu 27, tetapi saya percaya umur kamu 21."
Fuh, saya katakan padanya "Terpulanglah pada Encik. Saya sudah berkata yang benar."
Tiba-tiba, salah seorang kakak berkata "Memang umur dia sekarang 27. Sebab dia kecik, jadi nampak la umurnya seperti 21.Kamu ada calon suami untuk Wan?"
Encik itu membalas "Owh...kamu sekarang sedang menyambung pelajaran, bukan? Master?"
Saya mengangguk..
Encik itu tiba-tiba berkata "Saya ada ramai calon yang masih bujang. Tetapi saya tak berani nak kenalkan sebab kamu dah ada master. Orang yang hebat, insyaAllah akan jumpa dengan orang yang hebat."
Saya terdiam sekejap.
Lalu membalas "Encik, saya baru saja sambung belajar. Satu sem pun belum habis lagi. Saya belum tahu saya akan dapat / tidak master tu nanti. Jadi, saya tak mengharapkan bakal suami saya nanti sama seperti saya. Kalau taraf pendidikannya tinggi, Alhamdulillah, satu bonus untuk saya. Tapi, kalau tidak, saya tak harapkan semua tu. Bagi saya, agamanya mesti diletakkan di tempat pertama. Dia imam untuk keluarga."
Saya berlalu dari situ kerana muka saya sudah memerah.
Maafkan saya, Encik...Jangan pernah anggap semua wanita mengharapkan lelaki yang 'sangat hebat' menjadi pendamping mereka. Saya tidak perlukan Master / Phd bakal suami saya, saya hanya mahukan agamanya untuk membimbing saya & anak-anak mengejar redhaNya.
Saya jadi baran tiba-tiba kerana pandangan masyarakat. Terlalu prejudis dalam 'merencana masa depan anak dara'.
Ya Allah, ampunkan saya kiranya saya dikatakan berkasar pada Encik itu. Encik, saya mohon maaf kalau saya dikatakan kurang diajar.
Cuma 1 sahaja saya mohon, buka minda + positiflah..ok?
Tuesday, January 24, 2012
Jauh...
Zaman dulu-dulu. Kisah 4 tahun yang lalu. Cerita tentang remaja yang sedang 'gila' SMS. Hingga kadang-kadang banyak SMS yang disalah tafsir.
Saya menerima SMS di atas. Tentang jauh.
Dari seorang teman.
Hingga sekarang, saya tidak tahu maksudnya apa.
Ah, abaikan...
Mungkin ianya cuma forward SMS.
Yang saya tahu, bila jauh.....memang ada rindu yang tak sudah.
Saya rindu.
Pada yang jauh, yang sangat jauh.
Yang dekat hanya doa.
Ya Allah, rahmati dia.
Sunday, January 8, 2012
Buntu
Pabila mata terbukaSaya mengharapkan segalanya berjalan lancar
Indah dan menyenangkan
Hingga kadang-kadang saya terlupa 'ujian itu lebih indah'
Bila begini
Saya cuma berharap malam itu panjang
Tidur itu lena
Supaya saya mampu tersenyum pada esok hari
Siapa saya untuk menentukannya?
Perlahan-lahan, saya harus akur
Dia sayangkan saya, kerana itu diberiNya cabaran untuk berfikir
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Saya hafal ayat ini...supaya saya tidak jatuh tersungkur saat saya harus berdiri teguh
Mungkin juga saya perlukan nasihat
Cuma saya tidak tahu bagaimana mahu meminta
Dan dari siapa harus saya tagih
Nasihat itu adalah saudara kepada masalah. Ia adalah kata yang sangat besar, dan semakin besar masalah, maka makin besarlah nasihat itu. Jangan memberi nasihat kepada mereka yang tidak meminta. Ia ibarat meletakkan 'gunung' ke bahu mereka yang belum bersedia.
***Entri ini kelihatannya tidak 'berilmiah' buat saya dan kamu semua. Maafkan saya.Thursday, January 5, 2012
Rindu Cikgu

Maka bermulalah pengembaraan saya sebagai seorang guru. Tidak banyak sebenarnya ajaran saya pada mereka. Cuma sekadar refresh apa yang telah diajar oleh pensyarah mereka sahaja.
Alhamdulillah, mereka berjaya dalam peperiksaan akhir semester. Ada yang mendapat A, B,C. Cuma seorang yang tidak lulus. Jadi, semester seterusnya, saya mengajar dia lagi. Untuk kertas ulangan.
Tahun berikutnya, saya 'dipaksa' oleh teman serumah saya untuk mengajar kawannya yang telah gagal 2 kali berturut-turut kertas Business Mathematics. Cuak pada mulanya kerana saya yang bakal membantunya untuk 'lulus' atau 'gagal buat kali ketiga'. Allahu Akbar.
Saya mengajarnya 2 kali seminggu. Hinggalah ke hari terakhir sebelum peperiksaan. Tersengal-sengal mengajar dan belajar. Saya berada dalam zon terkejar-kejar pada waktu itu. Saat kritikal buat saya dan dia.
Sewaktu keputusan peperiksaan keluar, dia menghantar mesej:
Tahun 2011, saya ditawarkan untuk mengajar seorang pelajar Asasi UM. Pada mulanya, saya gerun. Saya ini 'cikgu terjun'.
Dek kerana keperluan kewangan, saya setuju.
Sebelum mengajar murid ini, saya belajar setiap hari. Mengingat kembali apa yang saya pelajari dahulu. Walaupun cuma subjek asas, tetapi kerana sudah lama ditinggalkan, saya perlu belajar semula. Itulah saya, belajar hanya untuk lulus peperiksaan, bukan untuk kehidupan.
Persamaan pelajar ini dan pelajar-pelajar sebelum ini adalah mereka tidak meminati subjek Matematik. Dari sekolah rendah hinggalah ke universiti.
Saya mengajarnya di rumah neneknya. Memang gundah-gulana jiwa sebab sentiasa rasa diperhatikan.
Hari pertama saya mengajarnya, dia memang tidak tahu apa-apa tentang subjek yang dipelajarinya. Sedangkan ujian akhir semester bakal menjengah 2 bulan lagi. Hampir menangis saya dibuatnya kerana saya seolah-olah berbicara sendirian. Seperti biasa, jawapan jujur murid-murid saya"Saya tidak minat Matematik, cikgu."
Saya cuba faham rentak pembelajarannya, kenal minatnya, dan banyak lagi. Dia sukar untuk mengira tetapi mudah menghafal. Hafiz.
Banyak kali dia berputus asa.
"Saya tak faham." ayat yang biasa diulangnya setiap kali kelas. Akhirnya saya bertegas. Mahu dia lebih serius.
Saya katakan padanya tiada siapa yang tidak mampu untuk berjaya kalau dia berusaha.
Dia diam. Mula membuka mata dan hati untuk menerima ilmu yang saya titipkan padanya.
Apa keputusan akhirnya tidak saya ketahui. Yang saya tahu, dia sudah menyambung pengajian di peringkat ijazah.
Saya mengajar lagi. Murid darjah 4. Petah berbicara, tapi cepat terlupa. Jika diberi latihan, memang betul sahaja jawapannya. Bila diuji dengan peperiksaan dari saya / cikgunya di sekolah, dia tidak dapat melakukannya.
Dalam Grup Penulis GPTD, saya juga dipanggil cikgu. Terlupa bagaimana ia bermula.
Itulah murid-murid saya.
Saya pernah bercita-cita untuk menjadi guru. Tapi Dia pandu saya ke jalan lain. Ternyata, walaupun hanya jawatan sampingan, ia membahagiakan.
Gelaran cikgu membuatkan saya segan. Malu dengan diri sendiri. Saya belum layak untuk dipanggil CIKGU.
Panggilan dan mesej daripada ibu murid saya ketika saya berada di Selatan Thai mengusik jiwa 'cikgu' saya. Katanya
Bila sudah menjadi cikgu, susah rupanya nak hide status tu.
p/s: Cikgu pun sebenarnya rindu dengan murid-murid cikgu. Moga kalian terus belajar.
Saturday, November 26, 2011
Kita Berbeza
Waktu sedang melipat telekung, ketua saya masuk.
"Wan, akak nak cakap sikit."
Saya memandangnya. Tekun. Tanda mendengar.
"Cuba ko tengok ubat gigi ni."
Berkerut-kerut dahiku memandang ubat gigi yang kepunyaanku. Dia meminjamnya dariku.
Mataku membulat. Tanda tidak faham.
"Cuba ko tengok betul-betul. Perbezaan yang ko bagi kat akak tadi dengan yang sekarang."
Oh.....
Rupa-rupanya dia telah menekan ubat gigi saya hingga ke segenap ruang dinding ubat gigi itu.
"La ilaha illallah..."
Geram juga pada mulanya. Tapi saya tahu, dia sekadar menduga hati saya.
Dia menyambung bicara.
"Wan, bila kita berkahwin dengan orang yang pertama kali dalam hidup kita serumah dengannya, sekatil, dan semuanya dikongsi dengannya, banyak benda yang kita kena belajar. Kita mesti benar-benar faham yang kita dan dia sangat berbeza."
Saya tersenyum. Bicara orang berumah tangga. Begitulah...
"Kadang-kadang, pasal ubat gigi pun boleh bergaduh. Kita tekan lain, dia tekan lain. Sebab itu asas rumah tangga perlu ada agama. Ada persefahaman. Ada tolak ansur."
Saya diam..banyak ilmu yang perlu saya hadam.
Itulah hidup dan kehidupan. Harus sentiasa belajar dan terus belajar.
Tahniah buat saudara-mara dan sahabat-handai yang bakal menunaikan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu menikah.
Ingat-mengingati untuk kebaikan.
Tajuk lain:
- Terlalu lama menyepi dari dunia blogger, fb, dan sebagainya secara online kerana sebab-sebab tertentu. Maafkan saya.
- Perut saya sangat punctual sekarang. Breakfast mesti 8-9 pagi, lunch mesti 1-2 petang, dinner wajib 7-8 malam. Pernah sekali, saya terlewat makan tengah hari kerana ada janji temu di UM. Kesannya, saya telah memuntahkan semua isi perut. Hingga ke hari ini saya masih tidak lalu makan. Makan ikut masa, tetapi dalam kuantiti yang sedikit.
Sunday, October 2, 2011
Episod Dalam Sekolah Kehidupan.
27 dan 28 Oktober yang lepas, saya berpeluang mengikuti Skuad Jejak Kemiskinan di PPRT Kota Damansara. Dibahagikan mengikut kumpulan yang telah ditetapkan oleh pihak di Pejabat Agihan. Saya ditempatkan dalam grup ketiga, Blok C. Untuk pengetahuan semua, PPRT Kota Damansara mempunyai 4 blok besar. Kumpulan saya dianggotai oleh 8 orang dan hanya saya seorang hawa dalam kumpulan tersebut. phewww~Tugas saya adalah berada di bawah dewan tersebut bagi membantu Ketua Kumpulan dan mengemaskini setiap borang yang telah diambil oleh para pegawai berdasarkan lawatan dari rumah ke rumah dalam blok tersebut dan menjadi 'kaunter pertanyaan' kepada mereka yang inginkan kepastian daripada pihak kami.
Banyak perkara yang saya alami sepanjang 1 hari berada di situ. Sebak, sesak, sarat...memenuhi ruang hati.
Sebelum pulang, saya memandang ke arah taman permainan itu. Ada 4 orang kanak-kanak sedang bermain jongkang-jongket. Si kakak meriba adiknya yang bongsu. Mereka adalah anak-anak yang ditinggalkan di rumah kerana si ibu dan ayah keluar bekerja bagi mencari sesuap nasi buat mereka sekeluarga.
Meninggalkan anak-anak adalah cara yang mereka rasakan terbaik buat masa itu. Yang sulung dan kedua akan menggalas tugas bergilir-gilir menjaga adik-adik. Usia 10 tahun, 8 tahun, 5 tahun, dan 1 tahun.
Saya tidak dapat membendung rasa yang sarat itu. Allahu Akbar!
Semoga misi Skuad Jejak Kemiskinan ini benar-benar memberikan manfaat buat fakir miskin yang benar-benar memerlukan. Kemiskinan tidak dapat dibasmi, tetapi atas dasar kesedaran dan inisiatif semua, insyaAllah ianya dapat dikurangkan.
Ini berita baik untuk bulan ini. (berita baik pasal kawen belum tahu bulan bila)
Eden monang mak! keh3
Ampun....gambar terbalik. Sindrom kemalasan melanda. Kalian boleh sengetkan laptop / pc untuk gambar yang lebih jelas. Lagipun, tak seronok asyik tengok gambar tegak aje...iya dak? ~lalala~

Pulang dari kerja Jumaat lalu, ada sekeping nota di atas katil. Bersama isinya.
Terharu...
Sudah digunakan ke dinner pada hari Sabtu yang lepas.
Oh, saya benar-benar bukan dalam suasana penulisan sekarang. Saya tidak tahu bila lagi saya akan menulis. Patah hati agaknya.
Bermula Oktober hingga Disember tahun ini, saya harus berkejar-kejaran lagi. Banyak yang harus diselesaikan. Maafkan saya lagi andai tidak mampu untuk mengemas rumah ini.
InsyaAllah, saya akan berusaha sedaya-upaya untuk melunasinya.
*Lewat bulan lalu, saya menerima 1 panggilan dari seseorang. Mengkhabarkan berita baik untuknya. Sebenarnya, ia juga berita baik untukku juga. Alhamdulillah, aku benar-benar dapat menarik nafas lega sekarang.*
*Kan saya sudah kata, saya tidak suka istiadat, konvokesyen. Tengok, hari ini saya betul-betul tertekan dengan 'istiadat' itu. Grrrr.....


