Showing posts with label Kenang-kenangan. Show all posts
Showing posts with label Kenang-kenangan. Show all posts

Wednesday, June 13, 2012

A Moment To Remember


Bila Bulan Berbicara

“Jauh itu ada jarak yang terpisah, jauh itu ada rindu yang tak sudah.”

Aku memandang langit. Dia juga. Nafas kuelus perlahan, terasa seperti ada batu yang memberat. Dia berpaling dan berkata “Nak, ujian itu anugerah buat mereka yang mahu bersyukur. Lihat bulan di sana, indah…cantik. Tapi kita tahu, indahnya bulan kerana matahari. Allah itu Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Jangan pernah lelah dalam bersyukur.”

Aku bersyukur. Dia tahu setiap rasa yang bergolak dalam hatiku. Tanpa perlu aku ungkapkan, dia merasa setiap denyut rasaku. Hingga kini, pabila aku terasa lemah dan mahu lari jauh-jauh dari hakikat hidup, aku kenangkan kembali memori itu.

Aku mahu jadi kuat, sekuat ayah. Aku mahu jadi solehah, seperti solehnya ayah pada Pencipta. Moga ayah bersama para solihin di syurgaNya. Al-Fatihah…

**************************
Cantiknya Wanita

“Wanita itu…cantiknya bukan pada rupa yang menawan, bukan juga pada suara yang menggoda, tetapi pada indahnya pekerti, cantiknya budi dan auratnya terjaga rapi.”

Aku tersentak mendengar kata-kata itu. Dari seorang guru Matematik di sekolahku. Cikgu memandangku lantas tersenyum. Sebelah kakiku yang berada di atas kerusi kuturunkan perlahan-lahan. Lengan baju sekolah yang tersinsing hingga ke siku kutarik hingga ke pergelangan tangan.

Sungguh, aku sangat malu di waktu itu. Pulang dari sekolah, aku menangis semahunya. Entah mengapa, hatiku seolah-olah diusik dengan kata-kata cikgu. Supaya berubah, supaya menjadi yang lebih baik, supaya dikasihiNya.

Lama aku berfikir akan setiap bait ayat yang terbit dari mulut cikgu. Bila kukenang kembali, aku bersyukur kerana disentap pada waktu itu.

Terima kasih, cikgu.
************************

Bertemu dengan Tauke Kek Pop [pertemuan tanpa dirancang]
Karangan di atas telah saya hantarkan untuk Pertandingan A Moment To Remember. Tetapi, rezeki itu bukan untuk saya, jadi titipkan karangan itu di 'rumah' ini. Moga menjadi kenangan yang saya pernah berusaha untuk menulis. InsyaAllah....

Di luar Dewan Centrum, Setiawangsa
Mbak KB dan saya...[tak dapat bergambar dengan orangnya, dengan gambar pun jadilah]

Forum A Moment To Remember
 ***Jika kita rasa sedih, bukan selamanya kita bersedih. Ingatlah detik-detik bahagia yang pernah kita kecapi. InsyaAllah, akan saya kongsikan kisah-kisah bahagia dalam hidup saya***


Monday, January 2, 2012

Catatan Pengalaman Tamrin Tarbawi *II*

Sabtu (24 Disember 2o11)

Kami bermalam di Maahad Ihya' Sunnah Muhammadiah di Danok. Alhamdulillah, sesi melepaskan penat berlangsung dengan jayanya. Lebih kurang jam 7.30 pagi, kami memulakan perjalanan ke Masjid Kerisek. Perjalanan yang mengambil masa selama 2 jam itu memang menyeronokkan dan memberi satu gambaran awal tentang Muslim di Selatan Thai.

Kenderaan yang kami naiki dipandu oleh seorang lelaki warga Thailand bernama Pakcik Shaari. Beliau tidak banyak bercakap. Hanya sesekali mendengar suaranya apabila kami bertanya. Di tengah perjalanan, kami berhenti di Chana untuk mengisi gas bagi kenderaan ini. Pertama kali sampai di sini, peluang bergambar tidak dilepaskan.

Jam 10.15 pagi, kami tiba di Masjid Kerisek. Di sini, kami diberi taklimat oleh Ustaz Ismail Ishak Banjasmit. Beliau menerangkan tentang sejarah Masjid Kerisek. Kerisek bermaksud pasir putih bersih. Masjid ini dibina pada zaman Sultan Patani ke II, Sultan Muzaffar Shah.

Di masjid inilah terjadinya peristiwa bersejarah yang telah mengorbankan umat Islam pada tahun 2008. Mereka ditembak beramai-ramai ketika sedang solat berjemaah. Gugurnya mereka sebagai syuhada' selepas tentera penceroboh Thailand melancarkan bom roket dan melepaskan tembakan bertubi-tubi ke Masjid Kerisek.

Bertafakkur...moga Islam terus subur di bumi ini. Moga mereka yang masih tinggal terus gigih menjalani hari depan.

Seterusnya, kami bertolak ke Phaya Inthira Cemetery (Makam Raja Muda) iaitu makam sultan yang mengasaskan penubuhan Masjid Kerisek. Saya tidak mendengar butiran maklumat yang disampaikan oleh Ustaz Ismail Ishak Banjasmit dengan teliti kerana golongan lelaki yang mengerumuni Ustaz menyukarkan kami (perempuan) untuk menangkap setiap butiran yang dinyatakan beliau.

Kami meneruskan perjalanan ke Masjid Jamek Al-Fathoni. Kami tiba di sana pada jam 11.45 pagi. Suasana jemaah yang ramai menghadiri kuliah ini saya rasai sama seperti di Kota Bharu pada hari Jumaat. Jemaah memenuhi setiap ruang masjid. Subhanallah, budaya ilmu yang berkembang mekar dalam jiwa masyarakat Islam di Pattani ini sungguh mengagumkan. Saya dan teman-teman duduk bersama-sama dengan golongan wanita di perkarangan masjid.

Kuliah ini disampaikan oleh Ustaz Ismail Sipanjang. Kagum seketika apabila melihat mereka yang kurang upaya berusaha gigih berjalan untuk menadah ilmu. Tarbiyyah hati supaya bersyukur dengan nikmat yang ada. Supaya lebih berusaha untuk menggali ilmu.

Sebaris ayat daripada kuliah beliau adalah "Kita hidup dengan hati. Tanpa hati, jiwa kita mati. Sebagai contoh, wayang kulit. Yang menggerakkan wayang kulit adalah tok dalang, yang bergerak adalah wayang kulit itu sendiri. Wayang kulit tidak akan bergerak sendiri kerana ianya tiada hati."

Jam 1 petang, kami tiba di Maahad Idris Tok Jong. Saya dan beberapa orang teman dibawa melawat kawasan muslimah di maahad tersebut. Untuk murid perempuan, ada satu bangunan yang mempunyai 10 buah kelas (2 tingkat). Di situlah mereka belajar setiap hari. Sewaktu kami tiba, kelas-kelas itu dipenuhi dengan baju-baju yang baru dibasuh. Mereka menjemur pakaian kerana ruang ampaian yang ada tidak mencukupi.

Dapur mereka sangat unik. Bersusun almari, tong gas, dan kuali. Mereka memasak sendiri makanan untuk dimakan setiap hari. Di maahad ini, mereka bukan sahaja belajar ilmu agama, tetapi juga tentang ilmu kehidupan.

Selepas itu, kami masuk semula ke tempat semua ahli lawatan berkumpul. Saya dipertemukan dengan seorang nenek. Ceritanya berkisar tentang kehidupannya di maahad ini. Petah bicaranya mengingatkan saya pada arwah nenek.

Subhanallah, Dia mempertemukan saya dengan seorang makcik yang mana arwah suaminya berasal dari kampung saya, namanya Makcik Hajar. Menitis air matanya kerana terharu dan tidak menyangka akan dipertemukan dengan saya di sini. Panjang ceritanya, murah senyumannya, banyak pesanannya membuatkan saya jatuh hati pada keramahan mereka di sini.

Kami dijamu dengan nasi minyak. Sedap.

Sesi bergambar beramai-ramai diambil sewaktu kami mahu melangkah keluar dari maahad tersebut. Makcik Hajar memeluk erat dan mencium dahi dan kedua-dua belah pipi saya. Oh....saya yang mudah kalah dengan 'perasaan ibu' ini terasa sebak. Penuh air dalam kolam mata.

Kami teruskan perjalanan ke Markaz Tabligh Pattani. Di sini kami dibawa ke tempat penginapan bagi perempuan. Golongan wanita tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan masjid. Persinggahan kami ke markaz ini menemukan kami dengan mereka yang mahu menuntut ilmu agama dengan meninggalkan kampung halaman masing-masing. Ada yang datang dari Indonesia, Malaysia dan beberapa negara lain.

Selesai lawatan kami pada hari itu. Perjalanan seterusnya adalah ke restoran. Perjalanan yang sungguh panjang itu menyeronokkan dan bermanfaat buat saya. Mungkin juga buat semua. Alhamdulillah, saya tidak tidur sepanjang perjalanan seharian di Tanah Siam itu.

Jam 9.15 malam kami tiba di restoran. Makan. Dek kerana kelewatan makan malam, perut saya tidak dapat diisi dengan baik. Syukurlah, walaupun sekadar mengalas perut, ianya mampu 'memujuk' perut saya yang sensitif itu.

Kami diberi masa 15 minit untuk membeli-belah sebelum bertolak ke tempat imigresen. Saya yang kurang tahu berbelanja ini cuma membeli 2 biji buah delima, satu peket biskut jem, dan keladi goreng.

Selepas sesi mengecop pasport, kami perlu berjalan (10 minit) untuk ke tempat bas menunggu.

Dalam bas, saya tidur dengan nyenyaknya.

Ahad (25 Disember 2011)

Solat Subuh di Hentian Sungai Buloh.

Kami tiba di Sekretariat ABIM Gombak pada jam 7 pagi.

Saya menaiki LRT ke KL Sentral dan pulang ke Shah Alam menaiki KTM. Jam 9.30 pagi, saya tiba di rumah.

***gambar-gambar tiada di sini. Maaf, saya belum rajin upload gambar pada ketika ini.

Sunday, November 20, 2011

Post

bersama-sama teman sekelas / se'batch' di luar dewan. bersiap sedia untuk perarakan masuk ke dewan.

fokus pada lelaki yang berselempang kuning itu. dia mendapat Anugerah Pengerusi, Pelajar Terbaik Fakulti, & Pelajar Terbaik Program.

saya & Nanthini.

kami di 'row' paling depan.

outdoor photoshoot konon...haha


Maaf lagi, rumah sudah bersawang yang amat.

Benar-benar dalam keadaan terkejar-kejar sekarang.

Selesai konvokesyen saya, usai konvokesyen adik saya. Terima kasih semua atas ucapan tahniah yang tidak putus-putus.

InsyaAllah, usaha untuk belajar dan terus belajar akan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Foto-foto di atas sebenarnya sudah 'expired'. Tapi, layankan aje. Nanti, pabila saya berkelapangan, rumah ini pasti akan dikemaskini dengan sebaiknya.

Foto: Ihsan daripada Miss KB, Che Meon, & Fakhrul.

Sunday, January 2, 2011

Hari Ketiga

Bengkel 3: Tuan Haji Hasanuddin Mat Isa, Penulis

Tuan Haji Hasanuddin Mat Isa mengisi slot pertama pada hari ini.

Dalam menghasilkan sesebuah karya, apa yang perlu kita fikirkan adalah apa yang kita mahu tulis adalah kebaikan, dan apa yang perlu kita perlekehkan adalah kejahatan. Dalam setiap novel, perlu ada tema, watak, perwatakan, plot, gaya bahasa, latar, sudut pandangan, dan nilai-nilai murni. Tajuk mestilah ringkas dan menggambarkan cerita. Banyak perkara yang kami bincangkan pada slot kali ini.

Bengkel 4: Tuan Mohd Yusry Mohd Yusopp, Editor Perolehan PTS

Slot ini agak menarik kerana Tuan Mohd Yusry cuba mencari kelainan dalam menyampaikan ceramahnya. Proses komunikasi dua hala antara Tuan Mohd Yusry dengan kami berjalan lancar. Setiap daripada kami dikehendaki memilih satu tajuk karya non-fiksyen yang bakal kami hasilkan beserta dengan sinopsis berkenaan karya tersebut. Kami perlu membentangkannya dan dikomen oleh beliau. Nampaknya, para peserta sangat kreatif dalam memberikan idea mereka untuk dibukukan.

Tajuk karya mestilah catchy dan adakalanya penulis perlu mendapatkan respon pembaca untuk tajuk karya tersebut supaya karya yang dihasilkan adalah menepati citarasa masyarakat.

Dalam merancang kejayaan dalam bidang penulisan, banyak perkara yang perlu dititik beratkan seperti hakcipta dan perjanjian.

Sembang-sembang Buku

Sepatutnya, sesi ini diisi oleh Datin Seri Fatini Yaakob, tetapi beliau tidak dapat menghadirkan diri kerana masalah kesihatan. Jadi, slot ini ditukar kepada ‘Sembang-sembang buku’. Slot ini lebih berkisar kepada pandangan, komen, luahan rasa, dan cadangan daripada para peserta berkaitan dengan kursus dan dunia penulisan.

Slot ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Dato’ Prof Madya Mohammad Ali Hassan, selaku Pengerusi Koperasi Buku (KOBUKU) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Kursus Penulisan Kreatif Fiksyen & Non-fiksyen tamat pada jam 5.30 petang.

Sesungguhnya, kursus ini banyak membuka mata kami untuk berkarya dan memantapkan lagi bakat dalam menghasilkan karya yang mampu mendidik masyarakat. Harapan saya sebagai salah seorang peserta kursus ini adalah terus konsisten dalam bidang penulisan demi memartabatkan bidang ini setaraf dengan bidang lain di mata dunia.

Wednesday, December 29, 2010

Hari Kedua

Ceramah 5: Prof Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara: Teknik Penulisan dan Proses Kreatif-Novel

Slot pada hari ini dimulakan oleh Prof Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Beliau merupakan Sasterawan Negara yang ke 10. Setakat ini, beliau berjaya menghasilkan 3 kumpulan drama, 4 buah novel, 4 cerita pendek, dan lain-lain karya kreatif.
Dalam slot ini, beliau banyak menerangkan tentang bagaimana beliau menulis, cerita di sebalik karya beliau, dan pengalaman beliau sebagai seorang editor novel. Contoh:

Novel : Hari-hari Terakhir Seorang Seniman
Tema : Kepupusan unsur-unsur Nusantara
Latar : Perang Dunia Kedua
Persoalan :Bagaimana kita mahu berikan kesinambungan budaya kepada generasi kita sedangkan pengaruh globalisasi itu lebih kuat?

Sebagai penulis,
->Cari bahan-Buat Kajian-Mulakan penulisan

–hasilkan novel yang boleh memberi impak
–edit/semak (13kali sekurang-kurangnya)
– pastikan karya tersebut ada kesan seni & intelektual
Contoh-contoh penulis yang boleh menulis dengan cepat adalah Arenawati, Usman Zainudin, dan Mana Sikana.

Arenawati pernah menulis novel sebanyak 800 halaman dalam tempoh 45 hari. Beliau adalah seorang penulis yang tidak boleh diganggu sewaktu sedang menulis. Beliau mempunyai pengetahuan yang sangat luas.

Prof Dato’ Dr Anwar menyifatkan tulisan terbaik adalah pengalaman sendiri.
Respon beliau berkaitan dengan kewajaran untuk sasterawan tempatan memenangi HadiahNobel adalah tidak mustahil. Tetapi mungkin kerana pemilihan jenis novel yang dibuat oleh pihak penganjur yang adakalanya mahukan novel kontroversi menyebabkan sasterawan kita tidak layak untuk menerima anugerah tersebut.

Satu perkara yang harus ditekankan adalah pengarang Melayu bukanlah pengarang yang mencari kontroversi. Penulis Melayu ada tanggungjawab untuk mendidik masyarakat dari segi sosial dan agama. Kebanyakan pengarang Melayu Islam tidak ada keghairahan untuk menulis bahan kontroversi.Jadi, bagi merealisasikan hasrat ini, harus ada badan yang aktif dalam mempromosikan penulis / Sasterawan Negara.

Sesi bersama Prof Dato’ Dr Anwar Ridhwan tamat pada jam 10.30 pagi. Novel yang berjudul Naratif Ogonshoto karya beliau dijual dengan harga RM 20 pada hari ini. Terdapat 6 buah novel ini yang dibawa oleh beliau dan ini menjadi rebutan bagi kami semua. Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan novel tersebut siap bertulis ‘Saudariku Wan Ritini’ beserta tandatangan beliau.

Moga buku tersebut akan menjadi inspirasi buat saya untuk menjadikan beliau sebagai salah seorang idola dalam bidang penulisan.

Bengkel 1: Tuan Haji Malim Ghozali PK, Penulis

Sejujurnya, saya tidak pernah mengenali nama penulis ini. Tetapi, sudah namanya kursus penulisan, jadi inilah medan untuk memperkenalkan para penulis tanah air.
Kenapa kita menulis? Kenapa kita tidak menulis?

Membaca-menulis-berfikir

Seorang penulis selalunya adalah seorang pembaca. Apabila menulis, pastikan penggunaan ayat adalah tepat:
- Gramatiskan ayat
- Cantikkan ayat

Kalau belum tahu berbahasa, kita belum boleh menulis lagi.
Ambil maklumat, bukan untuk diguna pakai semuanya. Tetapi untuk dirumuskan dan difahami sebelum diterangkan kepada khalayak dalam bentuk penulisan.

Teknik menulis:
- Imbas belakang (flash back)
- Imbas muka (face flash)
- Monolog dalaman (interior monologue)
- Stream of consciousness

Adakalanya, kita perlu gunakan perkataan Bahasa Melayu tulen untuk memberikan kelainan kepada tulisan kita contohnya perkataan bagasi = kelangkasar

Dua sesi bersama beliau seakan-akan berada dalam kelas teori Bahasa dan Matematik. Ilmu Matematik dan kombinasinya dengan Al Quran sangat mengujakan!

Saya menerima dua buah buku karyanya yang bertajuk ‘Kumpulan Cerpen Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir!’ dan ‘ Kumpulan Puisi Hujan Di Limun Pagi’ selepas berjaya menjawab soalan daripada beliau.

Bengkel 2: Tuan Haji Hasanuddin Mat Isa, Penulis
Resipi Penulis yang berjaya:


Penulis mesti membaca buku undang-undang, perubatan, pembangunan sosial, dan belia bagi mempelbagaikan hasil karya dan meluaskan pengetahuan.
Setiap hari, jiwa kita mesti diisi dengan ilmu.

Amalkan pemakanan yang sihat seperti memakan kacang pistachio, kismis hitam, halia, dan tiram.

Amalan kerohanian wajar ditingkatkan supaya kita lebih dekat dengan Pencipta. Cuba amalkan solat sunat tahajjud, tasbih, dan witir.

Saturday, December 25, 2010

Hari Pertama

Saya tiba tepat jam 8.45 pagi kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan sepanjang perjalanan dari Shah Alam ke Universiti Malaya. Berbekalkan maklumat dalam brosur program yang saya baca semalam, Alhamdulillah Allah s.w.t permudahkan urusan saya ke sini.

Pihak urusetia meminta saya memilih antara bengkel Fiksyen atau Non-Fiksyen. Terkaku sebentar di luar bilik tersebut kerana tidak dapat membuat keputusan sepantas itu. Lantas, saya terfikir akan sebab saya ke sini. Saya ke sini adalah atas dasar tanggungjawab dan tugas, bukannya suka-suka.Saya memang meminati penulisan kreatif fiksyen, tetapi jiwa ini mungkin lebih di non-fiksyen. Jadi, saya capai kertas yang tertulis tentatif non-fiksyen.

Masuk ke Bilik Wawasan, saya terus ke bahagian hadapan sebelah kiri bilik. Sambil berjalan, saya mengira jumlah peserta yang ada di bilik tersebut. 11 orang termasuk saya. Hampir jam 9.00 pagi, acara dimulakan dengan kata-kata aluan daripada pengerusi majlis, Tuan Haji Baharudin Ali Masrom Al-Haj. Beliau mengalu-alukan kedatangan kami sebagai para peserta kursus. Jumlah peserta bertambah dan menjadikan kami seramai 17 orang sekarang.

Ceramah 1:Prof Dr. Mohd Sidin Ahmad Ishak, Universiti Malaya: Teori Penulisan
Teori adalah framework atau gambaran asas mengenai sesebuah penulisan. Menulis ertinya menyampaikan perasaan, argumentasi, luahan, dan sebagainya. Terdapat 3 ciri penting dalam penulisan iaitu:
-Kejelasan
-Organisasi
-Kandungan
Penulisan juga mengandungi 3 peringkat seperti:
a)sangat formal
b) kolokial
c) slange

Penulisan yang baik adalah penulisan yang memorable, mempunyai had keboleh bacaan oleh pembaca, sederhana bahasanya, dan kurang perkataan-perkataan abstrak tetapi lebihkan perkataan konkrit.

Ceramah oleh Prof Dr. Mohd Sidin tamat pada jam 10.30 pagi. Mungkin kerana ini adalah slot pertama, jadi semua peserta seakan-akan terkaku selepas tamatnya sesi ini. Kami cuma patuh mendengar arahan yang diberikan oleh pihak urusetia.Tiada gambar pada sesi ini kerana kami masih malu-malu antara satu sama lain dan kelihatan skema.

Ceramah 2: Puan Ainon Mohd, Pengerusi PTS : Tips Menjadi Penulis Kaya
Sejujurnya slot bersama Puan Ainon adalah antara slot yang dinantikan oleh saya. Saya suka melihat kesungguhan dan semangat beliau.
Sebagai seorang penulis, di mana kita mahu mencari duit? Di mana bakat kita laku?

Puan Ainon sedang memberikan penerangan
Di Malaysia, terdapat 4 sektor buku. Sebagai seorang penulis, kita mesti mengenalpasti di mana kedudukan buku yang bakal kita tulis nanti. Sektor tersebut adalah sektor buku rujukan, sektor buku teks, sektor buku ulangkaji, dan sektor trade books.


Jangan fikir buku, tapi fikir kejayaan buku. Bila menulis, harus kreatif. Apa yang kita boleh dapat percuma daripada media massa, jangan tulis.

Kita akan menjadi terkenal apabila banyak produk (buku) yang kita hasilkan. Tapi mesti ingat, apa sahaja yang ditulis, perlu menjaga sensitiviti masyarakat. Bagi PTS, apa yang ibu bapa tidak mahu anak mereka baca, itulah yang kita mahu elakkan tulis.

Kami teruja mendengar setiap butiran yang keluar dari bibir beliau. Semua peserta kelihatan segar dan mula mengikut rentak kursus ini. Soalan bertalu-talu ditanya kepada beliau. Menariknya, beliau menjawab soalan kami tanpa jemu. Mungkin ini adalah salah satu tips beliau iaitu ‘tidak kedekut ilmu & memberikan sebanyak-banyaknya apa yang orang-orang seperti kami mahukan’.

Ceramah 3: Puan Ainon Mohd, Pengerusi PTS: Sambungan slot Ceramah 2


Sastera Remaja & Kanak-kanak (R &KK)
-Watak R& KK
-Dunia R & KK
-Sudut pandangan R& KK

Cara untuk menulis sastera R & KK adalah dengan bercakap dengan mereka.

Beliau juga menerangkan tentang ciri penerbit yang bagus iaitu mereka akan menyediakan dokumen perjanjian penerbitan yang mengandungi hak cipta dan hak penerbitan, dan peratusan royalti kepada penulis.

Ceramah 4: Dato’ A.Samad Said, Sasterawan Negara : Pengalaman, Proses Kreatif- Novel dan Sajak

Kami dimaklumkan tentang keupayaan Sasterawan Negara ini yang agak terbatas. Jadi, semua peserta dikehendaki mendengar dengan teliti akan setiap patah perkataan yang dituturkannya nanti. Alhamdulillah, duduk di bahagian paling depan dan paling dekat dengan rostrum merupakan satu pakej untuk saya bagi kesempatan bertemu beliau pada kali ini.

Dato’ A.Samad Said adalah seorang yang sangat menepati masa. Beliau tidak akan melebih-lebihkan waktu bercakap, kecuali kami yang banyak bertanya.

Beliau mula berkarya di usia 16 tahun. Penulis merupakan seorang manusia yang mampu menguasai bahasa. Apabila membaca, sejauh manakah penulis dapat meresapkan dirinya dalam buku tersebut. Tema sesebuah buku atau puisi adalah berdasarkan persediaan pengalaman sendiri. Penulis tidak perlu terlalu berkhayal dalam menghasilkan sesebuah karya.

Setakat ini, beliau berjaya menghasilkan 68 buah buku. Karya Lantai T-Pinkie, Wira Bukit, dan Di Mana Bulan Selalu Retak adalah hasil imbauan kenangan dan kata-kata oleh beliau dan terus ditulis untuk dikarang.

Apa yang mengagumkan kami, dalam usia 75 tahun sekarang, beliau masih mengingati ayat yang dipelajarinya sewaktu di sekolah rendah yang berbunyi:

“Abu bela burung pipit. Burung pipit amat jinak. Pit Pit Pit bunyi burung pipit. Abu sangat suka hati”

Bagi beliau, cara untuk menambah pengalaman / pengetahuan adalah dengan membaca dan menonton filem. Duit beliau banyak dihabiskan untuk membeli buku.
Respon beliau yang menentang PPSMI adalah kerana kerajaan melanggar dasar dan perlembagaan negara. Hal ini wajar ditentang kerana bahasa yang dilandaskan dalam perlembagaan adalah Bahasa Melayu.

Sebaris ayat beliau yang saya ingat dari dahulu hingga sekarang adalah:
“Segala dihasrat tapi tak dapat, itulah nikmat yang paling padat”

Saturday, November 6, 2010

Reunion 5 GEMILANG 2002



Pada 29 Ramadhan yang lalu, telah dipertemukan bekas pelajar 5 Gemilang 2002 di Restoran Sri Chengmai, Jln Sri Cemerlang. (mcm ayat laporan darjah 6 pulak..) Saya sudah diberitahu tentang perjumpaan ini awal Ramadhan oleh Jaa (sahabat yang sentiasa susah senang bersama selama 14 tahun), tetapi saya buat endah tak endah saja sebab macam tak berminat nak berbuka di luar dan kesian tinggalkan bonda keseorangan.

Sedang sibuk di dapur, tiba-tiba beliau menelefon. Mengajak (sebenarnya memaksa. haha) ke reunion tersebut. Saya yang malas-malas ayam ni cuba memberi jawapan berdiplomasi, cewah...Akhirnya pada Ma saya mohon izin. Katanya "Selesaikan kerja-kerja dapur, lepas tu pergi lah"

Dengan menaiki kereta Pijan, kami ke sana berlima. Sampai dekat-dekat nak berbuka. 3 meja telah ditempah oleh Che Din (selaku ketua projek). Kami berkeputusan untuk makan di Meja 2 kerana semua di Meja 2 adalah perempuan. Jadi, makan tak perlu segan-segan, atau duduk renggang-renggang, apatah lagi jangan pandang-pandang. Tak perlu malu-malu kucing nak membaham apa yang ada kat atas meja. (Siap pergi cilok jag meja sebelah lagi sebab tak cukup air)



Ini adalah geng lelaki. Kesemua yang di atas masih belum berkahwin kecuali Si Baju Merah (Eyie) yang sudah mempunyai isteri.



Sedap!!!

Saya sudah terlupa apa menu yang kami makan pada malam itu (lewat update berita). Yang pastinya, semua makan dengan puas hati (siap nak tapau lagi! hehe). Banyak cerita dan berita yang kami kongsikan bersama. Masing-masing telah mengalami proses transformasi dalam diri. Ada yang masih belajar, baru bekerja, baru berkahwin, menanti hari bahagia, sudah mempunyai zuriat, dan macam-macam lagi.



Gambar di atas adalah meja kami. Anak dara + bakal mak dara + mak dara. Gosip-gosip terbaru telah kami kongsi bersama. Yang pastinya, perangai kami tak berubah. Lebih-lebih lagi saya, Jaa, Wan. Masih maintain gila-gila seperti dulu. Yang lain-lain sudah nampak keibuan+keayuannya mungkin kerana sudah menjadi isteri orang & bakal isteri orang. Semua yang di atas sudah berpunya kecuali kami bertiga. (Aku tolong promote weh!!)



Ini sesi membaham kali kedua. Dibelanja oleh Faris (dah jadi Doktor sekarang. Pakej 2 in 1. Dapat doktor + dapat anak perempuan). Nasib baik tak pecah perut malam tu...makan tak sudah-sudah.

Balik ke rumah tepat jam 10 malam. Abg Zul (abang iparku) memerli "Ingatkan nak terus sahur kat luar" Hak3, Jaa ko yang bersalah!!!

Tenang sudah...saya memang spesies yang sukar keluar rumah apabila tiba di kampung halaman. Dari pagi sampai ke malam, dalam rumah saja perjalanan saya.

Gembira bertemu kawan-kawan (Terima Kasih Cik Jaa kerana memaksaku). Perjalanan hidup ini sebenarnya terlalu sukar untuk diduga, yang penting kita usaha.

Teringat kata-kata di pintu kelas kita
Serumpun seperti sirih,
Seikat seperti serai...

Monday, April 5, 2010

4 Tahun Mengenali GPTD

Kisah ini saya tulis sempena tamatnya tempoh perkhidmatan saya secara rasmi sebagai Setiausaha GPTD UNISEL. Mungkin selepas ini, saya tidak akan dilantik sebagai setiausaha dalam mana-mana organisasi setelah hampir 15 tahun menyandang jawatan ini bermula dari darjah 4. Walau bagaimana pun, tugas setiausaha kepada keluarga semestinya disandang untuk seumur hidup. Agak melucukan kerana seringkali saya dilantik untuk jawatan itu sedangkan ada di antara mereka yang belum mengenali saya.

Saya mengenali usrah sewaktu dalam tingkatan 4, naqib kami ketika itu adalah Cikgu Rosdi Muhammad. Potensi & konsistensi saya dalam usrah sering diperhatikan oleh beliau, dan kerana itu saya ditugaskan untuk update papan kenyataan usrah berhadapan tangga pejabat sekolah. Usrah sekali seminggu dan update tazkirah dua kali seminggu. Saya seronok dengan kerja yang dihadiahkan oleh beliau.

Sewaktu di tingkatan 5, saya dilantik sebagai Penghuluwati Pergerakan Puteri Islam. Penasihat persatuan, Pn.Hjh Wan Yusniza Wan Yunus (Teacher Yus) mengadakan usrah untuk pimpinan persatuan. Sistem usrah yang saya ikuti sangat menarik.

Menjejakkan kaki ke UNISEL membuatkan saya rasa sedikit takut. Mungkinkah apa yang dipelajari selama ini akan hilang begitu sahaja sekiranya tiada lagi recharge Iman dalam usrah.

Bermula akhir tahun 2006, saya mengikuti usrah yang dikendalikan oleh Abg. Su. Waktu itu, saya diletakkan dalam Biro Penerbitan i Rakan. Perkenalan dengan beliau dalam kelas C++ membawa saya ke satu alam yang baru. Janji saya untuk tidak terlibat dalam mana-mana persatuan dan hanya menfokuskan pada pelajaran semata-mata tidak dapat saya tunaikan. Haha

Seperti dulu, saya berusaha untuk konsisten dalam usrah. Waktu itu, teman saya Rahmah mengikuti usrah Al Rihlah. Saya tertarik untuk mengikuti usrah tersebut kerana ianya ada ikon yang dijadikan rujukan dalam usrah. Kitab Rihlah Ibn Battutah menarik-narik hati saya.

Manisnya kenangan aturan Yang Kuasa, satu hari Rahmah menghantar mesej kepada saya mengajak saya ke usrah Rihlah. Di situlah bermulanya jatuh cinta saya pada sejarah ketamadunan Islam. Sungguh hebat! Bermula dari hari itu, saya didik hati saya untuk sentiasa istiqamah dalam pengkajian seperti itu.

Dalam perbincangan anggota Rihlah, mereka akan menjelajah ke Aceh, Indonesia. Saya tidak tersenarai waktu itu kerana saya masih lagi dalam Biro Penerbitan. Agak terkilan waktu itu, tapi saya berfikiran positif. Saya masih baru dalam usrah itu, mana mungkin tiba-tiba nama saya melonjak naik. Perasan!

Walaupun ada ketikanya saya keseorangan ke usrah, tapi saya tetap kuatkan hati kerana saya tahu sampai suatu masa nanti saya akan keseorangan juga. Tidak perlulah rasanya saya ceritakan segala apa yang terjadi. Tapi cukuplah sekadar saya katakan saya melihat seorang demi seorang melangkah pergi tanpa kembali dalam usrah. Saya mesti kuat!

Suatu hari kedatangan saya ke usrah mungkin dinanti-natikan oleh mereka. (Perasan itu perlu, tapi sedikit saja.kah3!) Penarikan diri salah seorang ahli Rihlah ke Aceh. Jawatan setiausaha kosong. Dicadangkan saya untuk mengisi kekosongan itu.

Maaf, saya terlupa siapa orang yang memberi cadangan yang bijak bestari tu. Saya terima. Ini peluang saya untuk membuktikan bahawa orang baru juga mampu melakukan yang terbaik. Tugas itu saya jalani dengan bersungguh-sungguh walau terkadang saya yang tersadung.

Saya dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UNISEL. Pemilihan dalam kelas kami dan sokongan daripada dekan fakulti waktu itu, Mdm Fridelina Shjahrir. Tanggungjawab yang tergalas di pundak ini harus diteruskan.

Ke Aceh..

Pulang dari Aceh, saya harus mengaktifkan diri dalam MPP. Waktu sangat mencemburui saya. Ada sahaja halnya bila ada usrah. Saya terasing seketika. Menangis kerana gagal mengejar masa. Masa pasti tergelak-gelak memerhatikan saya yang kalah dalam pelarian ini. Saya terpaksa akur. Tinggalkan GPTD (belum tertubuh secara rasmi di UNISEL).

Jujur saya katakan, sepanjang peninggalan saya, saya merasakan suatu kehilangan yang sangat besar. Bodohnya saya kerana sangat lurus dalam hal seperti ini. Khilafnya saya kerana mengabaikan rasa hati semata-mata kerana orang lain. Saya tahu, ahli usrah terkilan dengan keputusan yang saya buat. Tapi, begitulah…maafkan saya!

Tamatnya tempoh perkhidmatan sebagai MPP pada bulan Mac 2009 banyak melegakan hati saya.

Buya Su meminta saya ke ofisnya. Ada perbincangan. Antara 2- terus kukuhkan pangkalan atau tubuhkan GPTD UNISEL. Saya pulang dengan hati yang berbelah bahagi.
Petang itu juga, pertemuan dengan YDP MPP yang baru dilantik menyerabutkan jiwa saya. Lamarannya untuk menjadikan saya sebagai Setiausaha Kerja beliau. Saya termenung. Jawapannya pasti tidak. Tapi akan saya fikirkan ayat terbaik kerana adakalanya terus terang saya telah mengguris banyak hati.

Malam itu saya menerima sekeping mesej. Risikan daripada Presiden Kelab Fasilitator untuk jawatan Bendahari kelab tersebut. Satu demi satu tiba. Bila agaknya rombongan meminang yang sebenar akan tiba? (Berangan tak sudah!)

Dua tawaran berjaya saya tolak dengan baik. Tinggal dua lagi yang masih menagih jawapan. Junaidah yang waktu itu tinggal satu rumah dengan saya banyak mendengar keluh-kesah saya untuk memilih salah satu daripadanya. Pangkalannya sama, Cuma gerak kerjanya sahaja yang berbeza.

Pagi hari ke tiga, satu mesej masuk bertanyakan jawapan. Mantap dan ringkas keputusan saya hantar: Tubuhkan GPTD UNISEL. (Mula terbayang-bayang bunga-bunga berguguran seperti dalam filem Ayat-Ayat Cinta di saat Fahri selesai melafazkan akad nikah.)

Kertas kerja dibuat dan dihantar. Proses kaderisasi berjalan. Seperti biasa, ada pasang dan surutnya. Komitmen ahli yang ditagih.

Alhamdulillah, selepas beberapa bulan menanti pengesahan penubuhan daripada Unit Kelab & Persatuan HEP UNISEL, tertubuhlah GPTD UNISEL secara rasmi.

Setiap organisasi ada masalah tersendiri, begitu juga GPTD UNISEL. Adakalanya saya berjaya menempuh dugaan yang melanda, ada ketikanya saya tersembam, gagal.

Saya yang memilih jalan ini. Tidak adil untuk saya dan semua andai saya mengalah. Setiap apa yang orang perkatakan tidak lagi menjadi kudis bagi saya. Apa yang penting waktu itu adalah kerja tetap saya jalankan.

Kata-kata Tuan Penasihat terlekat dalam kepala saya ‘Sabarlah dan teruskan
kesabaran.’

Saya berbahagia dan bertuah kerana mengenali ahli keluarga GPTD UNISEL. Banyak kenangan manis yang telah kita cipta bersama. Yang pahit itu biasalah, seperti juga ubat, walaupun pahit tapi insyaAllah itulah penawar.

Saya tanamkan dalam diri saya yang saya tidak akan mengalah dalam apa jua cabaran yang melanda. Ilmu yang diajar oleh Allah melalui perantaraan GPTD UNISEL sebagai wadahnya sangat terkesan di hati saya.

Abg Su: tunjuk ajar dan nasihat yang buya berikan selama ini banyak mengajar saya erti hidup. Saya belajar untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya.

Udin: pernah sekali dugaan menimpa hubungan adik beradik kita. Tapi Alhamdulillah, kita berjaya melepasinya walaupun sangat sukar pada mulanya. Jangan terlalu merendah diri, kuatkan semangat. Jadilah Amir untuk akak dan semua. Ingat, apa yang kita buat bukan kerana jawatan atau nama, tapi kerana Allah.

Nor Hafiz: daripada kurus hinggalah berisi, daripada terkial-kial mahu berkata-kata hinggalah petah berbicara lagak sang pemidato, mata inilah yang melihat perkembanganmu. Banyak kenangan telah kita sulam bersama sebagai adik-beradik. Akak pasti akan sentiasa terbayang-bayang keletahmu dan Kak Syafa kesayanganmu. Moga kamu lebih tabah dalam menjalani hidup. Ingat, dugaan datang kepada orang yang sabar.

Raudhah: adik akak yang manis dan baik, mendengar kata, sangat mudah terusik, tapi rajin dan pantas dalam melakukan kerja. Mengenalimu suatu keindahan.

Jun: teman seperbalahan dan sekepala. Adakalanya badai yang melanda menguatkan kasih antara kita. Kurangkan berahsia!

Izzat: seperti setianya ombak pada pantai, begitulah setianya kamu dalam perjuangan ini. Akak terharu dengan ketabahan ibu, kamu, dan Ishak dalam menjalani kehidupan. Daripada kalian akak belajar erti kasih sayang yang sebenar.

Hani: perkenalan kita sewaktu orientasi kamu membuahkan bibit-bibit kemesraan. Siapa sangka, tanggungjawab fasi on call berjaya menarik hatimu. Sungguh hebat perancangan Allah..dalam 10 orang temanmu, hanya kamu yang bisa kutawan.

Kuya, Amoy, Anuar, dan yang lain: jangan pernah menyerah!

Jujur saya katakan, saya sangat sedih dengan perpisahan ini. 4 tahun bukanlah suatu jangka masa yang pendek buat saya. Banyak perkara telah berlaku. Mana mungkin dapat saya kutip anugerah terindah seperti ini di luar sana.

Bagaimana kehidupan saya di luar nanti? Konsistenkah saya dengan usrah & khidmat sosial dan pengkajian tamadun?

Monday, November 30, 2009

Kita Akan Menghargainya Bila Kita Kehilangannya


Cerita di TV3 bertajuk Taubat Nasuha pada hari Jumaat lepas. Kisah suami yang panas baran, isteri yang lemah lembut dan penyabar, dan tiga orang anak lelaki. Pada mulanya, tidak nampak bagaimana pengakhiran drama ini. Terasa seperti biasa..seperti drama melayu yang lain.
Di mana nilai pegorbanan? Bagaimana taubat nasuha dalam drama ini? Sebab soalan itu ditanya oleh akal saya pada waktu itu adalah kerana hari ini adalah hari raya Idul Adha.
Selepas sejam setengah, akhirnya kemuncak cerita bermula. Isteri dan anak-anak dibunuh serentak oleh dua orang manusia yang langsung tiada perikemanusiaan. Kalian tahu kan bagaimana kesudahannya? Jadi, saya ingin menghuraikan tajuk di atas sebenarnya. Bagi yang tidak berkesempatan untuk menonton, temuilah saya nanti.
Kita Akan Menghargainya Bila Kita Kehilangannya
Saat itu, air mata ini tanpa segan silu mengalir laju. Terdiam seketika. Waktu itu juga satu mesej masuk. "Salam,awk tgk x taubat nasuha?" Makin laju. Hati kuat mengatakan Ma di kampung bersama lima anaknya yang lain turut menonton drama ini. Moga Ma bersabar.
Mesej drama ini jelas. Bila ada isteri dan anak-anak, seolah-olah tidak wujud. Sibuk dan sengaja menyibukkan diri. Bila telah meninggal, menangis seperti terkena sawan.
Itu lumrah manusia. Kita harus mengubahnya. Hargailah setiap orang yang berada di samping kita...semasa ada, atau tiada. Penghargaan tidak semestinya dengan hadiah ataupun ucapan berbunga-bunga semata-mata (ramai nanti yang pokai sebab kekurangan duit untuk menghargai orang tersayang), tetapi cukuplah sekadar berkata-kata yang baik, patuh segala pesanan mereka, dan mendoakan kesejahteraan mereka. Tidak susah bukan?

Berpesan-pesan ke arah kebaikan dan kebenaran. Sebelum waktu mengubah segalanya. Saya berpesan untuk diri sendiri dan teman-teman semua. Setiap dari kita pernah merasai erti sebuah kehilangan. Jadi, usah persiakan apa yang kita ada sekarang. Manfaatkan sepenuhnya. Jagalah hati mereka yang seharusnya dijaga. Bukan tersalah jaga.

"Semoga dapat apa yang kamu inginkan kerana kamu sudah kehilangan apa yang telah kamu tinggalkan"

Entry ini ditulis sewaktu hati ini sangat merindui seraut wajah..tabahkanlah hati..

Friday, November 27, 2009

Kenapa Saya Kidal?

Sejak dari kecil, saya sering diajukan soalan ini "Kidal ke? Makan guna tangan kiri jugak ke?"

Pada mulanya, saya tidak merasakan suatu keanehan pada soalan itu kerana bagi saya, kanan ke...kidal ke...sama sahaja. Itu sewaktu usia saya 6 tahun.

Masuk ke sekolah rendah, barulah pandangan saya berubah. Saya pelik. Dalam kelas 1 Hijau, sayalah satu-satunya murid yang kidal. Belajar menulis, mewarna, membaca, menyanyi, dan semuanya. Suatu hari, datang seorang guru..melihat kami menulis cerita ringkas.

Pappp!

Tangan kiri saya dipukul dengan rotan.

"Menulis dengan tangan kanan. Bukan kiri"
Pandangan tajam. Saya diam. Pensel di tangan saya ditukar ke kiri oleh guru tersebut. Mana boleh? Akhirnya, saya berjaya menyiapkan tugasan tersebut secara sembunyi-sembunyi menggunakan tangan kiri saya ini.

Pulang ke rumah, saya menangis. Tanda protes. Salah ke saya kidal? Kata Ma.."Mungkin cikgu tu tak pernah tengok kamu menulis guna tangan kiri. Jangan salahkan dia. Tak baik. Orang yang kidal, tulisan dia cantik tau? Tengok tulisan Wan. Macam nak buat surat cinta. Orang kidal, pandai..macam Kak Han."

Saya diam lagi. Terpujuk dengan kata-kata Ma. Tidak pernah saya meminta untuk menjadi seorang budak yang kidal. Semuanya terjadi tanpa disedari. Sehingga kini, tangan kiri saya mampu melakukan apa-apa kerja. Tangan kanan dimanjakan..untuk menyuap makanan dan letaknya jam tangan. Sehingga kini, saya bangga menjadi orang yang kidal yang diwarisi dari Wan. Namun, tidak kiralah tangan mana pun, bersyukurlah atas kurniaanya.
Fakta menyebut, otak sebelah kiri (cenderung menggunakan tangan kanan) menguasai kawalan pertuturan, bahasa, tulisan, logik, matematik, dan sains.
Otak sebelah kanan (cenderung menggunakan tangan kiri) menguasai kawalan muzik, seni, kreativiti, tanggapan, emosi, dan kebijaksanaan.
Saya?

Sunday, September 27, 2009

Hadiah Hari Raya

Pagi ke 7 Syawal, saya dikejutkan dengan deruman enjin van Pos Malaysia semasa sedang melayan askar-askar Nek Ma makan. Salam diberikan dan nama saya ditanya. Sah, ada surat untuk saya. Tapi dari siapa? Sejak melangkah ke alam universiti, saya jarang mendapat surat dari teman-teman kerana kami lebih kerap berhubung melalui e-mail dan YM.

Huluran kertas telah saya letakkan nama, tarikh, dan tandatangan. Sebuah bungkusan diberi. Saya kaget. Tergamam. Ma yang berada di beranda rumah bertanyakan tentang bungkusan tersebut. Saya perhatikan tulisan itu. Belum pernah dilihat.

Subhanallah...nama pengirimnya membuatkan saya terkejut yang amat. Beliau telah mengadakan Kuiz Ramadhan pada bulan lepas dan saya adalah antara mereka yang mencuba nasib. Tidak sangka, 3 soalan beserta lengkapkan cogankata telah melayakkan saya mendapat bungkusan ini. Selepas menghantar jawapan kepada beliau tempoh hari, saya telah mengabaikan soal itu. Kerana pada saya, ia tidak lebih dari menguji pengetahuan sejarah dan Bahasa Melayu saya. Soal betul atau salah, menang atau kalah..bukan keutamaan saya.
Inilah hadiahnya...



Kertas yang menjadi tanda tanya pada mulanya..



Cantik..
Terima kasih buat Abg. Suhail.
Beliau merupakan Presiden GPTD dan sukarelawan GPTD ke Ghuangzou, China.

Sunday, July 5, 2009

Dia Ibu Saya

Terasa kebas kaki pabila terpandang Ma sudah menjejakkan kaki ke sini. Hampir 3 tahun saya mengharapkan situasi ini berlaku. Kekangan yang Ma hadapi menghalangnya dari sampai ke sini. Saya akur..cukuplah doanya sahaja yang tiba selama ini.

Kata Abang Zul "Tengah jalan tadi berkali-kali Ma tanya kami nak ke mana. Dia tak percaya itu jalan ke UNiSEL."

Saya pandang wajah lesu kepenatan itu.. "Jauhnya UNiSEL. Itu ke jalan yang Tini lalu setiap kali nak balik kampung atau keluar?"

Anggukan saya perlahan..air matanya bergenang. Kami terdiam..
"Tak kisah pun semua tu. Yang penting, Ma selamat sampai sini. Welcome to Unisel" tak mahu kisah sedih berlanjutan.
Saya peluk Ma..erat..saya kenalkan Ma dengan housemate dan roomate saya. Pinta saya waktu itu..Ya Allah, perlambatkanlah masa agar saya boleh bersamanya.. Itu harapan saya..
Seperti biasa, berdepan dengan askar-askar Nek Ma memang menguji kesabaran. Soalan demi soalan diajukan kepada saya. Haziq dan Nasrin yang becok. Belum dicampur lagi dengan Fasihah dan Afiqah yang tiada di sini. Jika tidak, hampir roboh 1 cluster F ini.
Syukur saya panjatkan kepada Allah..

Friday, June 26, 2009

Kenangan di Majlis Perkahwinan Mdm Dora


Hantaran

Maaflah..gambar terkembang sket. Banyak sangat kamera kat tangan beliau.
Cukup la kot 2 keping gambar dari saya. Nak tengok yang lain, datang la rumah. Hehe. Semoga perkahwinan Mdm Dora dan Mr. Ikhwan akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Selamat Bercuti buat Miss Dora.