Showing posts with label Tarbiyah Hati. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyah Hati. Show all posts

Monday, March 4, 2013

Mencatat Yang Tidak Tercatat


Berbaris panjang idea yang ingin dicurahkan. Tapi semuanya tergantung tanpa ditaip dengan jelas. Hidup kelihatan terlalu singkat untuk disia-siakan. Itu yang saya belajar. Banyak perkara yang telah berubah dari semasa ke semasa. Menuntut pengorbanan…terutamanya emosi. Sungguh, saya kalah lagi.

Saya mahu konsisten menulis. Menaip bait-bait kata yang terbit dari hati, untuk diabadikan di sini. Namun, begitulah...setiap kali ingin mulakan, segalanya seakan-akan kaku.

Saya mahu berkongsi tentang kehidupan saya sekarang, tentang ekspedisi yang telah saya ikuti sepanjang 2 minggu di bumi Aceh, tentang murid saya yang semakin matang dan keletahnya yang pelbagai, tentang ibu yang tercinta, tentang segala-galanya.

Setiap hari, perlu pujuk diri supaya terus menulis. Adakalanya terpaksa 'memaksa' tangan memegang pen dan mencatat di buku. Supaya saya tahu dan sedar diri, yang saya perlu menulis. Lama-kelamaan, buku tersebut sudah dipenuhi dengan catatan. Rupa-rupanya proses  'pemindahan' data ke laptop kelihatan lebih sukar. Sukar kerana malas.

Oh Wan Ritini, rajinlah....

Kadang-kadang apabila kita minta sesuatu dari Allah untuk dimiliki, dan Allah beri petunjuk itu bukanlah yang terbaik untuk kita, mungkin sudah sampai saatnya kita minta supaya HATI TERUS REDHA dan minta hanya yang TERBAIK untuk kita dari Allah.

:: Sesungguhnya, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang :: Lebih tenang ::

Sunday, September 2, 2012

Tak Bersungguh


Itu perbualan antaraku dengan seorang bapa. Nyata, aku hampir-hampir menangis apabila beliau bertanyakan soalan itu. Suara hati seorang bapa, resah hati seorang manusia yang mahukan anak-anaknya berjaya.

Pastinya, bukan hanya dia sahaja yang berfikir sedemikian dalam mendidik anak-anaknya. Semua ibu bapa merasainya. Mendidik anak-anak di zaman ini bukanlah suatu perkara yang mudah dan boleh diperlekehkan. [Sekadar pemerhatian saja, bukanlah berdasarkan pengalaman yang sebenar.]

Berulang kali aku berfikir, bagaimana cara pendidikan orang dulu-dulu? Lalu, aku teringat kisah aku dan keluargaku, terutamanya ibu, ayah, dan kakak sulungku.

Kami bukanlah dari kalangan keluarga yang berada. Tetapi, ibu dan ayah sangat mengutamakan pendidikan agama dan sekolah.

Masih segar di ingatan akan kata-kata ibu "Ma dan wan takde harta yang banyak untuk ditinggalkan buat kamu adik-beradik. Hanya boleh sekolahkan kamu supaya jadi manusia dan memanusiakan orang lain."

Ringkas. Hingga sekarang aku ingat.

Kami adik-beradik sering berkongsi barang kerana didikan mereka. Jarang sekali bergaduh kerana berebutkan sesuatu, kerana kami tahu, untuk mendapatkan sesuatu benda, ibu dan ayah bekerja kuat mengerah tenaga bagi menyenangkan hati semua.

Lalu aku tahu, dari situ aku belajar untuk berusaha gigih membahagiakan hati ibu dan ayah. Berusaha memberikan yang terbaik walau payah.

Walau kami tahu kami tidak mampu membalas segala jasa ibu ayah...

Apabila kuterpandang anak-anak zaman sekarang, aku faham dan lebih mengerti...tentang satu perkara. Sebahagian dari mereka sangat mudah mendapatkan telefon bimbit, motosikal, kereta, duit, dan sebagainya daripada ibu bapa mereka.

Jarang sekali berfikir tentang kesusahan yang telah ibu bapa lalui demi mendapatkan sesuap rezeki.

Mungkin sudah tiba masanya untuk para ibu bapa dan bakal ibu bapa memikirkan langkah terbaik bagi mengajar anak-anak erti kehidupan, perit jerih mencari nafkah demi menyara anak-anak dan keluarga.

Aku bukanlah seorang ibu, hanya belajar dari sebuah kehidupan untuk menjadi seorang ibu.

Tuesday, July 3, 2012

Iktibar daripada Imtihan

Peperiksaan akhir semester telah selesai..Alhamdulillah, dari suatu sudut, saya lega....sungguh lega kerana telah melepasi satu fasa dalam proses pembelajaran.

Dari sisi lain pula, rasa cuak itu masih belum surut apabila mengenangkan keputusan peperiksaan yang bakal diumumkan nanti...berjayakah saya melangkah ke fasa seterusnya? Hanya Dia Yang Tahu.

Mengenangkan persiapan-persiapan terakhir sebelum marathon 3 kertas lewat minggu lalu, banyak mengajar saya tentang hubungan dengan Dia. Subhanallah...

Khilafnya saya...lekanya saya...

Waktu nak exam, tidur awal, bangun awal semata-mata untuk menelaah. Hari-hari lain, tidak pula saya manfaatkan bangun awal itu untuk bertemuNya. Astaghfirullah al 'azim.

Waktu nak exam, sanggup bersekang mata mengadap helaian demi helaian nota dan buku semata-mata mahu lulus. Namun jarang pula meluangkan masa berjam-jam meneliti bait bicara Tuhan dalam kalamNya. Ralatnya saya...

Waktu nak exam, tutur bicara dijaga, makanan juga dijaga...selain waktu itu, banyak kata yang terluah tanpa ditapis, banyak makanan terus ditelan.

Alhamdulillah, Dia Maha Tahu segalanya...moga khilaf ini menjadikan saya manusia yang lebih bersyukur. Mengingatinya bukan kerana terpaksa, tetapi atas rasa rela dan redha sebagai hamba.

Ya Allah, ampunkan hambaMu yang berdosa ini. Andai mampu kuputar waktu, ingin sekali aku mengubah apa yang terjadi. Tetapi, aku tahu...aku harus melangkah ke depan dengan ikhtiar yang lebih baik. Semoga imtihan ini menjadikan aku orang yang memanfaatkan waktu dengan sebaik-baik perkara.




***Selesai peperiksaan, mahu fokus hal seterusnya!***

Sunday, December 18, 2011

Ujian kesabaran


Bulan lepas, saya menerima mesej dari seorang teman. Membalas mesej bukan hobi saya. Jadi, kadang-kadang ianya terbiar tanpa jawab buat beberapa ketika sebelum saya membalasnya. Bergantung pada tahap 'kecemasan' mesej tersebut. Sekarang, bila melangkah ke alam kerja....saya semakin malas untuk membalas mesej. Tapi, jangan risau....saya akan membalas mesej semua orang, cuma ada cepat, ada lambat. Itu sahaja. (Bila diri ditimpa malas)

Mesej teman saya berbunyi:

Hampa...

Saya tidak memahami mesej tersebut. Hanya sepatah kata darinya. Saya membalas:

Apa yang boleh saya tolong? Kenapa tiba-tiba hampa?

Balasannya:

Baru lepas meneguk secawan teh.

Aik? Ada kaitankah?

Saya mulai menggaru kepala yang tidak gatal. (Teringat Cikgu Hasmat, guru Bahasa Melayu Tingkatan 5. Beliau akan memanggil nama saya kuat-kuat apabila dilihatnya jari-jemari saya menggaru kepala. "Wan Ritini!!!!!" dan saya akan tersengih-sengih lalu menjatuhkan tangan dengan serta-merta.)

Apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh teman saya yang seorang ini? Sejam kemudian saya membalas:

Cuba awak berterus-terang. Saya betul-betul tidak faham.

Apa dibalasnya?

Tadi saya minum secawan teh dan sekeping roti krim.


Subhanallah....hingga sekarang saya berdiam diri. Serius, saya benar-benar tidak tahu apa yang dimaksudkannya.

Mungkin kerana setiap hari bermain dengan nombor dan fakta menjadikan saya seorang yang berterus-terang. Tidak ada bunga-bunga. Tanpa ayat meleret-leret. Itu saya.

Maafkan saya teman-teman. Saya masih belum mampu untuk membaca hati semua. Berterus-teranglah. Jangan sampai 'bunga-bunga' kalian akan meranapkan rasa sabar saya.

Mesej di telefon tidak sama dengan cakap berdepan. Indahnya andai cukup sekali mesej lalu boleh menyampaikan maksud sebenar dari hati.

Contohnya begini:

Salam. Ahad ini saya lapang. Dari pagi hingga ke petang. Kalau awak juga berkelapangan, yok temankan saya ke pasar tani. Mahu membeli barang dapur

Jelas bukan?

Lalu saya pasti membalasnya begini:

Wsalam. Insya Allah, setakat ini masih lapang. Telefon saya apabila awak sudah mahu keluar rumah.

Saya tidak pening kepala. Dia juga faham.

Komunikasi itu mudah. Jangan perlekehkan.

Tidak semua orang punyai waktu luang yang terlalu banyak hingga boleh membalas mesej sepatah- sepatah.

Setiap orang punyai keutamaan.

Tidak mahu kompromi? Cukup sekadar fahami.

~~Baru lepas telefon ibu, meluahkan..... pesan ibu, soal jodoh itu urusan Allah s.w.t. Yang paling penting, usaha tak pernah putus. Kamu mungkin penat dan tertekan dengan semua orang yang seolah-olah mahu 'memaksa' kamu kahwin, tapi Allah s.w.t. tak pernah jemu untuk dengar doa kamu supaya dipertemukan dengan bakal jodoh kamu. Dengan siapa kamu akan berkahwin, itu menjadi persoalan semua. Apa yang mustahak, kamu jadi yang terbaik untuk menjadi suri hidup bakal suamimu nanti. Ibu takkan pernah memaksa kamu untuk itu. Ibu percaya, Dia telah mempersiapkan seseorang buatmu. Hanya yakin dan percaya. Usaha tanpa lelah.~~

Nafas lega perlahan-lahan ku elus.

Terima kasih untuk semuanya.

Tuesday, November 29, 2011

Tentang Sebuah Pilihan

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)
[Al-Shams 91: 7-10]


Pabila diri terasa sangat sulit untuk membuat keputusan, banyak pilihan harus dibuat. Saya yakin, semua orang berdepan dengan hal ini. Tentang harus memilih.

Coppp!

Yang saya bicarakan bukan soal jodoh. Tapi bahagian-bahagian lain dalam hidup saya. Kerana tentang jodoh itu belum ada pilihan yang harus saya pilih. (Cuma tersepit antara mahu meluahkan atau membiarkan. Haishhh, sudah!)

Seringkali, mahu lari sekuat-kuatnya daripada memilih. Ya, kita yang menentukan masa depan sesuatu berdasarkan pilihan kita. Terutamanya soal hidup dan kehidupan.

Salah pilih?

Itu lumrah. Bukan namanya manusia andai selalu benar.

Saya selalu mendoakan agar saya cuma diberi 2 atau 3 pilihan sepanjang kehidupan saya. Maksudnya, jika mahu minum...sama ada saya harus pilih air suam, air teh, atau milo. Itu sahaja. Bukannya menu makanan sebanyak 5 muka di restoran yang harus saya teliti satu per satu.

Tapi, percumalah andai mengharapkan hidup seperti itu.

Ibu jarang membawa saya ke kedai kain / kedai kasut. Kerana dia tahu, saya takkan berjaya pilih walau sepasang kain yang saya berkenan / sepasang kasut yang sesuai untuk saya. Pergi tangan kosong, dan pulang tangan kosong.

Itu dulu...

Sekarang, perlahan-lahan saya belajar untuk memilih. Agak berjaya untuk membawa pulang barang yang menarik dari pasaraya. Hehe. Itu pun kalau keluar berteman, kalau sendirian, pastinya hanya sebuah buku dalam genggaman. Maksudnya, saya akan berjaya memilih andai ada sokongan (hasutan sebenarnya....haha)

Setiap manusia punyai keterbatasan. Saya tahu, keterbatasan anugerah Allah s.w.t untuk saya adalah 'memilih'. Saya tidak punyai keupayaan itu.

Acapkali, hanya istikharah dan air mata yang akan mengiringi pemilihan saya. Dan kali ini, ia benar-benar menguji.

Sangat.

Ada orang kata "Istikharah lambat dapat jawapan."

Ikhtiarlah...belum buat lagi sudah kata lambat. Kita bukan wali, kita juga bukan manusia yang penuh dengan pahala, jadi lambat itu lumrah lah buat kita.

Nak cepat?

Baling la dadu. Toss a coin? Tak pun, tulis dan koyak kertas. Lepas tu, pilih. Setel.

Tapi itukan budaya omputih...kenapa kita nak tiru? Main-main boleh la..Awas, bila dah sampai tahap percaya, itu dikira.......(kome jawab ler sendiri.)

Jangan banyak beralasan, banyak bercakap menjadikan hati mati.

Hidup harus memilih. Tentang semuanya.

Pilihlah, selagi kita punyai pilihan.

Andai tidak diizinkan oleh Nya untuk memilih, kita cuma ada 1 jawapan tanpa pilihan.

Jadi, bersyukurlah jika harus memilih. Tidak kira pilihan itu 2, 3, atau banyak.

“Siapa yang menyandarkan diri kepada Allah, Allah akan mencukupkan rezekinya.”
[Ath Talaq :3]

Yakin dan percayalah, DIA telah mempersiapkan sesuatu yang terbaik untuk setiap hambaNya. Asalkan kita usaha tanpa lelah.

Pesanan buat diri sendiri juga.

Selalu buat nota untuk pujuk hati sendiri. Lepas tu...... _ _ _ _ s.

Wednesday, August 17, 2011

Tak Berapa Menjadi


Ramadhan tahun ini banyak mengajarku tentang erti sabar dan sabar dan sabar (eh, berapa banyak sabar ha? menunjukkan bahawasanya latihan kesabaran itu penting.

Minggu ketiga Ramadhan, aku dan teman serumah bersepakat untuk berbuka puasa beramai-ramai bersama jemaah lain di Masjid Negeri. Merasai suasana berbuka di masjid. Sepanjang 4 tahun di UNISEL, aku memang berbuka puasa di Masjid UNISEL. Kadang-kadang menjadi urusetia untuk menguruskan juadah berbuka bagi para jemaah.

Tahun lepas, aku hanya berbuka puasa di rumah sewa kerana berpraktikal. Kadang-kadang, ikut serta dalam Program Agihan Ramadhan di serata negeri.

Tahun ini, pelbagai agenda tersusun dalam jadual kami satu rumah.

Hari Isnin, Ramadhan ke 15, kami ke Masjid Negeri, Shah Alam.

Sudah ramai yang sudah tiba. Kami mencari ruang-ruang yang kosong untuk duduk. Makanan diletakkan untuk 4 orang satu tempat. Kami hanya datang berdua, jadi 2 bahagian lagi itu kami reserve kan untuk sesiapa sahaja yang sudi makan bersama kami.

Temanku ke tandas.

Tinggal aku keseorangan. Mengaji.

Sesekali memerhatikan gelagat mereka yang ada di situ.

Seorang makcik menyapa.

"Boleh makcik ambil 1 bubur lambuk tu?"

Aku menyuakan padanya. Harapanku agar dia dapat duduk dan makan bersama kami.

Dia duduk. Salam perkenalan bermula.

Panjang ceritanya. Sewaktu teman serumahku datang menyertai kami, ceritanya masih diteruskan.

Sebagai seorang manusia yang berpangkat anak, aku hanya mengangguk dan mengiyakan segala kata-katanya.

Banyak perkongsian yang kami peroleh. Makcik itu gemar bercerita.

Tentang dirinya, rumahnya, jirannya, tentang kisahnya menyambut Ramadhan dan Syawal di Tanah Suci, tentang arkiteknya, teman-temannya, dan macam-macam lagi. Fuhhh!

Salah satu ceritanya adalah mengenai teman seumrahnya tahun lepas. Seorang lelaki berpangkat pakcik yang dihantar oleh anak-anaknya untuk mengerjakan umrah.

Kata Makcik "ada seorang kawan makcik tu, dia ada 11 orang anak. menjadi semuanya, tapi tu la...ada 2 orang kurang menjadi. cikgu aje."

'oh, kalau kerjaya guru itu kurang menjadi.....siapa yang mengajar kita tulis baca makcik? bukankah cikgu?' kata-kata itu meronta-ronta di kerongkong cuma.aku hanya tersengih memandang makcik itu. juadah berbuka kupandang sepi.

Aku menelan kata-katanya. Pahit.

Selepas 'ayat bisa' dia tu keluar, aku cuma angguk, geleng, dan sengih sahaja memandangnya.

Azan berkumandang.

Kurma kurasakan seperti terlalu susah untuk ditelan. Aku betul-betul terasa hati. Aku tahu, temanku juga begitu.

2 minit selepas itu, makcik itu meminta diri. Mahu ke ruang solat katanya. (Dia hanya makan bubur lambuk sahaja sewaktu berbuka.)

Aku tidak tahu mengapa, tapi aku sangat lega pabila dia meminta diri.

Kami diam. Makan. Solat.

Pulang dari masjid, kami berdiskusi.

Puas kami fikir, kenapa profesion guru dikatakan 'kurang menjadi' oleh makcik itu.

Tanpa cikgu, tiada siapa yang akan berjaya makcik...

Allah s.w.t. jadikan guru sebagai perantara untuk mendidik manusia. Menjadi guru itu pahalanya amat besar walaupun 'kurang menjadi'.

**"Mimpi aku bukan jadi isteri saudagar, Pak. Mimpi aku mahu jadi guru......" Buk Muslimah, Laskar Pelangi.

Tuesday, July 5, 2011

Murabbi Cinta Sang Anak

Cintaku buatmu, bagaikan gugusan huruf-huruf dalam setiap helaian kitab

5 Julai 2006 – 5 Julai 2011: 5 tahun sudah berlalu. Cepat sungguh…..sudah banyak yang berubah. Ingatan mula kembali kepada sebuah kisah itu. Kisah perpisahan antara seorang suami dengan isterinya, seorang ayah dengan anak-anaknya, seorang bapa mertua dengan menantu-menantunya, seorang menantu dengan ibu mertuanya, seorang datuk dengan cucu-cucunya, dan semua yang mengenalinya.

Namun, perpisahan itu sebenarnya adalah pertemuan antara hamba dengan Penciptanya. Tanda kasih dan sayang….dijemput untuk mengadapNya.

Tiada kisah duka yang saya mahu kongsikan. Hanya kenangan terindah buat sang anak yang sentiasa merindukan ayahnya. Nukilan ini sebagai pengubat rasa cinta buatnya. Insya Allah, moga Allahyarham di tempatkan bersama para solihin. Itu doa kami. Itu harapan kami.

“Matahari kalau terbenam, hilang di langit, tapi itu tak bermakna ia tak ada. Ia akan terbit lagi di waktu pagi, bukan? Begitulah kematian, kita cuma pindah dunia saja.” Sazli, Tunggu Teduh Dulu

Ayah saya adalah ayah yang hebat sepanjang kehidupan saya. Itu hakikat. Mahu saya kongsikan antara kenangan, amanah, pesanan, dan didikannya kepada saya, kakak, abang-abang, dan adik-adik saya.

  1. Ayah seorang yang sweet: setiap kali pohon kenanga di depan rumah kami berbunga, ayah akan petik…sekuntum diletakkan dalam poket bajunya, tiga kuntum lagi diletakkan dalam kamarnya. Katanya “Kenanga bunga yang wangi. Walaupun jauh, orang dapat mencium baunya. Begitulah kita, sejauh mana pun kita melangkah, orang tetap akan ingat kita….asalkan kita beradab."
  2. Ayah jarang meninggalkan solat berjemaah di masjid. 5 waktu sehari semalam, ayah mengayuh basikal tuanya ke masjid. Walaupun ada motosikal, ada kereta, ayah lebih memilih basikal. Saya mengagumi kehebatan ayah yang mengutamakan solat berjemaah. Hari terakhirnya bersama kami, ayah berjaya solat Subuh dan Zuhur secara berjemaah. Menjelang Asar, ayah hanya sempat mengambil wudhuk. Tatkala azan berkumandang, ayah sudah dijemput Izrail untuk mengadapNya.
  3. Nenek (sebelah ibu) sayangkan ayah. Ayah pandai mengambil hati nenek. Apa sahaja kehendak nenek, pasti ayah penuhi. Ibu selalu ‘cemburu’ dengan keakraban nenek. Kepada datuk dan neneklah ayah mencurahkan seluruh baktinya sebagai seorang menantu.
  4. Tidak pernah sekali pun tangan ayah hinggap di badan kami adik-beradik. Marah ayah hanya dengan diam, tarbiyyahnya hanya pada tindakan, bukan hentakan. Jika kami salah, ayah akan panggil dan slow talk dengan kami. Tiada herdikan, tiada jelingan maut.
  5. Ayah kata ayah sayang semua anaknya sama rata. Tapi adik selalu pertikaikan, kerana baginya ayah banyak lebihkan saya dalam segala hal. Cepat-cepat ayah jawab “Anak takkan faham kasih sayang ayah sehinggalah dia menjadi ayah.” Ayah, murabbi cinta terbaik di mata kami!
  6. Ayah adalah orang Kelantan tulen. Setiap hari, ayah mesti menjamah nasi 3 kali (sarapan pagi, makan tengah hari, & makan malam). Jarang tertinggal rutin itu. Di pagi raya pun, mesti ibu / kami masakkan nasi untuknya. Tabiatnya itu mengalir pada si comel Afiqah (cucu bungsu yang lahir setahun selepas pemergian ayah). Mesti ada nasi!
  7. Ayah suka bertaaruf dengan keluarga kawan-kawan saya. Hampir semua keluarga kawan saya diziarahinya. Tak kira sejauh mana pun rumah kawan saya, akan kami kunjungi walaupun hanya berpandukan alamat di kertas. Ayah adalah peyambung silaturrahim yang terbaik!
  8. Ketika tinggal di asrama, saya sering menelefon ibu. Jarang sekali kedengaran suara ayah. Kata ayah, dia tak mampu mendengar suara saya. Terus saya berkecil hati. Rupa-rupanya, ada kerinduan di hatinya pabila suara saya menyapa gegendang telinganya. Pernah sekali, bila saya menelefon rumah menggunakan telefon reverse charge, dia mengangkatnya. Esoknya, dia sudah berdiri di depan pintu asrama bersama ibu! Kata ibu “ada rindu yang tidak tertanggung."
  9. Rumah yang kami diami sekarang adalah tinggalan arwah datuk dan nenek (sebelah ayah). Rumah itu menjadi tempat berkumpul ayah dan adik-beradiknya yang lain. Ayah sangat rapat dengan abang-abang dan kakaknya. Sekarang, rumah itu sunyi. Hanya ibu yang masih setia di situ. Ada ketikanya, adik-beradik ayah akan datang walaupun suasananya sudah tidak semeriah dulu.
  10. Setiap pagi selepas solat Subuh, ayah akan mengaji. Dan saya akan dipanggilnya untuk mendengar bacaannya. Membetulkan apa yang kurang. Padahal, saya dan adik-beradik yang lain belajar dengannya daripada muqaddam sehingga khatam. Saya malu sendirian, seorang ‘guru’ minta diajar oleh ‘muridnya’. Tegas ayah “semua orang melalui proses pembelajaran. Belajar, mengajar, dan diajar.” Saya terdiam. Setahun selepas itu, saya dengar lagi ayat itu dalam jemaah. Indah sungguh aturanNya!
  11. Tradisi makan bersama menjadi amalan ayah. Seumur hidup saya, jarang sekali saya lihat ayah makan bersendirian, lebih-lebih lagi sewaktu makan malam. ‘Kewajipan’ makan bersama. Ayah cuma berpesan sekali, dan kami harus ingat sampai bila-bila. Di meja makan, kita membina kemesraan, dengan makan bersama, kita raikan semua orang. Alhamdulillah, ayah tidak pernah culas dalam membina kebahagiaan kami sekeluarga.
  12. Ayah gemar menjemur dan melipat pakaian. Tersusun kemas. Setiap hari, itulah ‘tugasannya’. Ayah akan ‘tarik muka’ bila ada antara kami yang melakukan tugasannya. Comel! Dan ayah berjaya melaksanakan tugasannya pada hari dia meninggalkan kami semua. Susunan pakaian mengikut bilik terletak elok di atas tikar mengkuang. Di beranda rumah.
  13. Ayah suka membaca. Bagilah apa sahaja bahan bacaan, ayah pasti akan hadamkan dan kami akan adakan perbincangan anak-beranak. Ayah meminati kereta. Ayah juga suka membaca majalah masakan. Setiap kali dia terjumpa resepi baru, dia akan menyuakan pada saya atau ibu untuk mencubanya. Dan kami akan buat seperti yang dipintanya. Resepi terakhir yang dimintanya untuk saya cuba adalah Nasi Kromok (masakan Thailand). Janji saya untuk memasak pada hari Jumaat (hari minggu), tetapi gagal. Dia tinggalkan resepi itu pada hari Rabu. Rempah, ayam, dan bahan-bahan yang telah tersedia ibu sedekahkan pada jiran tetangga. Saya ‘belum gagah’ untuk memasak resepi itu hingga ke hari ini.
  14. Ayah dan ibu adalah pasangan suami isteri contoh bagi saya. Belum pernah saya lihat ayah atau ibu meninggikan suara di hadapan kami, anak-anak mereka. Jika ‘bergaduh’ pun, sekejap saja. Masing-masing cepat sejuk dan pandai memujuk. Biarpun ibu suka membebel ‘berceramah’, tapi ayah hanya senyum. Bagi ayah, suara ibu adalah hiburan untuknya. Romantiknya ayah tidak boleh dijangka. Ibu mengakuinya. Jujur.
  15. Kami berdua adalah penyimpan rahsia masing-masing yang baik. Ayah dan saya suka memerhatikan burung-burung yang pulang ke sarang lewat petang dan merenung bulan pabila malam. Dan kami akan menyanyikan lagu Malam Bulan Di Pagar Bintang bersama. Saat itu, kami akan meluahkan apa yang terbuku, dan menceritakan apa saja masalah yang dihadapi. Sekarang, hanya buku tulis menjadi tempat luahan rasa hati saya.

Terlalu banyak sebenarnya apa yang mahu saya coretkan tentang cinta hati saya itu. Insya Allah, jika Dia menganugerahkan saya seorang suami dan anak-anak, saya akan jadikan ayah dan ibu sebagai model bagi rumah tangga kami. Ayah mungkin orang biasa di mata semua orang, tapi ayah adalah hero di jiwa kami.


Ayah, andai rindu itu awan....sudah banyak gumpalan-gumpalannya di angkasa.


Pemergiannya secara mengejut meruntun hati semua. Kami belajar untuk menerima ketentuan Allah dengan redha dan berlapang dada. Perlahan-lahan kami bina kekuatan tanpa ayah di sisi. Setiap hari, doa kami adik-beradik semoga Allah memberikan nikmat kesihatan dan kasih sayangNya buat ibu, supaya kami dapat terus berbakti kepadanya dengan setulus hati.

Jari-jemari ini sudah tidak mampu menekan papan kekunci lagi. Biarlah gumpalan awan itu terus memenuhi langit. Kerana aku tahu, rindu itu indah, anugerah Allah buat sang anak yang setia mencintai ayahnya.

Moga ayah, Wan Ismail bin Wan Ibrahim ditempatkan bersama para solihin.

Alfatihah.

Wednesday, June 29, 2011

Maafkan & Lupakan


Iklan: Sukarelawan Bicara (SUARA)

Banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini mampu mengusik hati saya yang satu ini. Mula-mula, saya rasakan ianya suatu 'perasaan' normal, tapi apabila berulang kali, saya tidak mampu lagi. Lalu, ada air jernih yang tumpah. Laju. (Mungkin Dia mahu saya menitiskan air mata setelah sekian lama ia tidak gugur) Dia mahu saya runtuhkan ego...

Tiada duka yang abadi di dunia, tiada sepi merantaimu selamanya.....

Bagaimana mahu melepaskan rasa marah?

Berdasarkan pengalaman saya.....saya jarang marah. Kata ayah "Kamu lambat marah, tapi cepat sejuk." Sesekali bila angin marah datang, saya lebih suka mendiamkan diri. Saya tahu, sekiranya saya 'membebel' atau 'menyerang' orang yang saya marah, keadaan pasti lebih parah. Saya tidak mahu orang yang saya marahi berkecil hati. Bagi saya sedikit ruang untuk bernafas dahulu. Bila saya sudah sejuk, insyaAllah saya akan rasional dalam berbicara.

Nasihat saya, jangan sesekali marah sesiapa sahaja depan orang. Kasihan dia, jaga aib dia. Teringat dulu-dulu, ibu dan ayah saya jarang marahkan kami adik-beradik depan khalayak. Jika betul kami salah pun, ibu hanya 'cubit' dan kami bakal dimarahi bila tiba di rumah / bila tiada orang lain.

Berhati-hati, bila kita aibkan orang depan orang lain, dia mungkin memendam rasa. Mungkin juga ada rasa benci dalam hatinya buat kita. Kawallah rasa marah. Bukankah kesabaran seseorang itu diuji pada hentakan pertama? Percayalah, bila kita kawal rasa marah, kita mampu kawal segala rasa dalam hati kita.

Bagaimana mengatasi tekanan dalam diri?

Sesiapa sahaja pasti akan berada dalam zon tekanan. Cuma bila? bagaimana? dan tekanan apa yang kita rasa, itu rahsia. Jarang kita boleh jangka bila tekanan itu datang. Yang mampu kita lakukan adalah, persiapkan diri seadanya. Waktu tertekan, saya suka bersendirian. Ambil masa untuk adaptasi tekanan yang singgah dalam diri. Bertenanglah, kita mampu hadapi segala tekanan. Pelan-pelan kayuh, yang penting konsisten dalam kayuhan.

Berdepan dengan pemarah?

Kita tidak sama dengan sesiapa pun atas muka bumi ni. Ada kawan kita yang cool sepanjang masa, ada juga yang baran tak kira masa, dan macam-macam lagi. Insiden minggu lepas membuatkan saya lebih berhati-hati dengan teman yang pemarah. Sikap yang saya ambil adalah berdiam diri. Bukan membawa hati, cuma merawat hati. Orang yang pemarah dan keras hati tidak wajar untuk dibalas dengan kekerasan. Perlahan-lahan, akan saya nasihatinya.(cuba untuk kuatkan hati......)

Fuh, luahan rasa hati sudah bertukar menjadi tips. Saya belajar sesuatu daripada kisah hidup saya......memaafkan dan melupakan.

Bukan senang, tapi itu yang perlu.

Setiap orang melakukan kesalahan, namun jangan biarkan ianya berulang.

".....sedang membina kematangan dalam perhubungan berbekalkan kesilapan silam. Yang penting, kita tidak putus asa untuk belajar memaafkan dan melupakan."

p/s: Mesti lebih kuat untuk terus berjasa!

Sunday, June 19, 2011

berSUARAlah...


Jumaat malam itu, kepalaku (bahagian kiri) terasa sakit. Sakitnya seperti buku lali terkena bucu meja. Bermula jam 9 malam hingga ke pagi esoknya. Seolah-olah membengkak. Tidak ku tahu mengapa. Aku cuba melelapkan mata dan meminta teman serumahku mengurut di bahagian yang sakit itu.

Waktu itu juga, aku sudah siap mendaftar untuk mengikuti program Sukarelawan Bicara (SUARA). Mahu saja aku batalkan hasratku untuk ke program tersebut.Namun, Allah s.w.t telah mengilhamkan seorang hambaNya untuk menghantar SMS padaku.

Bertanyakan kehadiranku ke SUARA.

Aku jarang mengatakan tidak pada setiap soalannya kerana aku tahu, beliau mahukan yang baik-baik saja untuk adik-adiknya. Jadi, aku terus menaip:

"InsyaAllah."

Lantas bergegas mempersiapkan diri. Sakit kepalaku ini kuabaikan. Dari Shah Alam ke Gombak memang menguji kesabaranku yang menaiki kenderaan awam ini. Setengah jam KTM 'terlambat'. Aku menunggu sambil tertidur. Kadang-kadang membalas mesej Cok Jihan. Kui3

Aku tiba lewat di SUARA.

Jam 9.15 pagi.
Puan Ainon Mohd. sedang menyampaikan pengisian beliau. Aku terus meluru dan duduk di kerusi yang kosong. Sebelahku Balqis.

Rasa bersalah kerana terlambat.

Beliau meminta kami membaca hadith ke 271, Sahih Muslim. Penerangannya seolah-olah memberikan pencerahan buat kami semua tentang cara menghadam hadith. Tentang orang kecil yang membuat 2 kesalahan & 1 kebaikan. Tentang Rasulullah s.a.w. yang hanya reward apa yang betul, diamkan yang salah. Kaedah social reward yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah 'memuji didahulukan daripada berdoa'.

Ilmu berSUARA yang kami belajar daripada Puan Ainon adalah:
  1. ketua sebagai pendorong anak buah
  2. dorong dengan perbuatan yang semua orang boleh buat
  3. dorong orang kecil
  4. benda yang dipuji adalah benda yang boleh diusahakan sendiri oleh orang lain
  5. cara pujian disampaikan: reward
Paling menarik, kami juga belajar 'tajwid Bahasa Melayu' / phonetics. Lagu 'Lodeh Mak Lodeh: Anita Sarawak' & 'Malam Bulan Di pagar Bintang: P.Ramlee' menjadi contoh dan rujukan bagi bab ini.


Slot kedua, selepas solat Zuhur adalah bersama Saudara Jufitri Joha (Abg Ju). Slot ini juga memang menarik. Banyak contoh berdasarkan pengalaman beliau.

Ada 4 elemen penting apabila menyampaikan ceramah / bercakap di hadapan khalayak iaitu:
  1. diri sendiri
  2. audien
  3. isi
  4. persekitaran
Program SUARA tamat pada jam 4.15 petang. Aku pulang ke Shah Alam bertemankan Cok Jihan. Kecoh sungguh perjalananku dengan cerita-ceritanya. Terima kasih buat Balqis (Pengarah Program), Epah, Jihan, Wani, Hakim, Shazni (tolong hantar ke stesen LRT), dan semua yang terlibat dalam program ini. Seperti kata Pn. Ainon, kita mesti meraikan semua orang. Hehe

Kamu mahu tahu sesuatu? Urppp.....

Sumber foto: GPTD

Monday, May 30, 2011

Patah hati!

Cerita di suatu hari ini benar-benar mengusik relung hatiku. Hingga sekarang, bila ku kenang kembali cerita itu, air mata ini jatuh dengan laju. Sungguh, aku tak tipu!

Kisahnya begini…

Seorang teman mengajakku berbual-bual. Satu demi satu topik disentuhnya. Tiba ke satu topik yang agak dekat dengan hidupku, iaitu jodoh.

Dia : Kamu tinggal dengan siapa di rumah sewa tu?

Aku : Dengan kawan-kawan. Kami bertiga dalam satu rumah. Salah seorang dari mereka adalah lecturer saya dulu.

Dia : Owh….berapa umur diorang?

Dengan jujurnya aku menjawab….

Aku : Ketua rumah umurnya **, yang seorang lagi **.

Dia : (Dengan muka terkejut). Dua-dua tu belum kahwin lagi?

Aku : Belum…

Dia : Kamu tak takut ke nanti berjangkit ngan mereka berdua tu?

Aku mengerutkan dahi…tanda kurang faham akan maksud soalannya.

Aku : Maksud kamu?

Dia : Yelah, umur-umur macam tu sepatutnya dah kawin, dah ada anak berderet. Tapi tak kawin-kawin lagi. Mana la tau, bila kamu serumah dengan mereka tu, nanti berjangkit pulak. Tak kawin la kamu sampai ke tua.

Dush! Ada batu besar menghempap dadaku. Sakit! Mukaku merah padam. Aku menggetap bibir. Rasa mahu menampar orang ini hidup-hidup. Ya Allah, campakkanlah sedikit kesabaran dalam hatiku ini……

Aku memandangnya.

Sepi.

Ternyata, dia sedikit pun tidak merasakan yang kata-katanya sebentar tadi telah mengguris rasaku. Terus-terang, ayat-ayatnya tadi ‘agak kurang ajar’.

Aku : Oh, berjangkit…tak tahu pula soal jodoh ni boleh berjangkit. Jodoh pertemuan itu kan urusanNya? Kenapa perlu kaitkan dengan orang lain? Tidak kah namanya syirik bila kita mempercayai benda lain selain daripada Qada’ dan QadarNya?

Dia : Yelah, tapi sekurang-kurangnya kita cuba jauhkan diri daripada bergaul dengan orang yang sudah berumur tapi belum berkahwin.

Oh, sungguh….dia sudah keterlaluan!

Aku : Allah tak pernah sisihkan hamba-hambaNya, walau siapa pun orang tu. Kita yang banyak buat dosa ni senang-senang nak pulaukan orang ya? Dengar sini, dengan siapa pun saya berkawan, itu bukan urusan awak. Saya berikhtiar, tapi untuk menyisihkan orang bukanlah salah satu ikhtiar saya. Untuk pengetahuan kamu, rumah tu dah hampir 20 kali bertukar orang sebab orang yang keluar adalah orang yang nak kawin. Bodohlah kita kalau asyik nak percaya benda yang mengarut, yang boleh menyesakkan otak. Come on lah, nobody’s perfect. Tapi jangan sampai perlekehkan orang dengan benda yang langsung tak masuk akal.

Selesai tazkirahku itu, aku bangun dan berlalu dari situ. Aku risau, kiranya aku terus diam di situ aku akan membahamnya hidup-hidup seperti singa yang kelaparan.

Aku sudah tidak mahu komen lagi kisah ini. Kalian fikirlah sendiri. Aku terlalu penat, penat mengalirkan air mata bila orang-orang di sekelilingku turut sama terlibat dalam cerita hidupku.

Aku percaya, di sebalik setiap kesulitan pasti ada kemudahan. Setiap kesulitan pasti ada kemudahan. Itu firmanNya! Itu janjiNya!

Tuesday, May 10, 2011

Sumpah Tak Nak Sumpah!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Sumpah (al-yamin) sama pengertiannya dengan al-khalaf dan al-qasam. Pengertiannya mengikut penggunaan umum ialah penegasan terhadap sesuatu hak atau kenyataan sama ada pengakuan atau penafian dengan menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Sumpah untuk penghakiman (al-Yamin al-Qadhaiyyah) ialah untuk mensabitkan pendakwaan bagi tujuan penegasan sabitnya hak atau penafian hak di hadapan hakim dengan menyebut nama Allah atau salah satu dari sifat-sifatnya. Sumpah diharuskan berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Allah S.W.T. berfirman:

“Allah tidak mengambil kira sumpah kamu yang sia-sia tetapi, Dia mengambil kira sumpah kamu yang benar-benar.”

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:
“Kalau manusia itu dibiarkan membuat dakwaan, nescaya manusia akan mendakwa hak darah dan hak harta sesuka hati, tetapi ditetapkan bahawa ke atas pendakwa membawa bukti dan yang didakwa ingkar hendaklah bersumpah.”

Hak sumpah adalah hak pihak yang didakwa, manakala yang mendakwa perlu mengemukakan bukti. Berdasarkan ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa sumpah adalah diharuskan dalam pertikaian hak. Ia menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa sumpah penghakiman hendaklah orang yang bersumpah menyebut Wallahi, Wabillahi, atau Rabbul ‘alamin dan seumpamanya. Sumpah penghakiman hendaklah diberikan dengan perintah hakim atau wakilnya untuk menyelesaikan kes berdasarkan kehendak hakim, demikian pendapat jumhur fuqaha’.

Fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa tidak diharuskan bersumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pensabitan Hak Allah semata-mata sama ada ia kesalahan Hudud seperti zina, mencuri, minum minuman yang memabukkan atau yang berkaitan dengan ibadah semata-mata seperti solat, puasa, haji, sedekah, nazar dan kaffarah, melainkan jika ia ada melibatkan hak manusia, kerana hudud tertolak apabila ada kesamaran bukti.

Fuqaha’ juga sepakat berpendapat bahawa diharuskan sumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan harta dan seumpamanya. Pihak yang didakwa diberi hak bersumpah untuk memperakukan dakwaannya atau menafikannya. Demikian juga, fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa diharuskan bersumpah dalam perkara jenayah, melibatkan kesalahan qisas dan kecederaan termasuk juga sebahagian daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan.

Tuduhan zina antara suami isteri lebih kepada mencabuli keselamatan dan kesejahteraan rumah tangga yang lebih bersifat hak peribadi manusia daripada hak Allah kerana penglibatan tuduhan itu berlaku dalam keluarga tidak melibatkan masyarakat awam, tidak sebagaimana yang berlaku ke atas bukan keluarga. Oleh itu bagi mensabitkan jenayah Qazaf yang berlaku antara suami isteri hendaklah pihak yang menuduh membuktikan tuduhan ke atas isterinya berzina, sekali dengan bersumpah menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi atau Watallahi sebanyak empat kali bahawa isterinya melakukan zina dan kali kelima hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah jika ia berdusta maka laknat Allah ke atas dirinya.

Bagi isterinya jika ia menyangkal dakwaan suaminya hendaklah ia bersumpah dengan menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi, atau Watallahi, sebanyak empat kali bahawa dia tidak melakukan zina yang didakwanya, dan kali kelima ia bersumpah jika ia berdusta maka ia dilaknat oleh Allah S.W.T. Ini berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menuduh isteri mereka (berzina) tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar (an-Nur: 6).


Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah ke atasnya jika ia termasuk orang-orang yang berdusta (an-Nur: 7).


Isterinya itu dihindarkan daripada hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta (an-Nur: 8).

Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar" (al-Nur: 9).

Dengan sumpah ini menjadikan mereka berdua terpisah dan gugur ke atas suami hukuman Qazaf dan gugur atas isteri hukuman had zina.

Memandangkan jenayah Qazaf ini sebagai suatu jenayah yang serius dan terdapat nas qat’iy tentang ketetapan kesalahan, prosedur pembuktian dan hukuman keseksaannya, kerana ia diketegorikan sebagai kesalahan awam, maka sumpah tidak termasuk dalam prosedur pembuktian jenayah Hudud, kecuali dalam kes yang melibatkan tuduhan zina antara suami dengan isteri yang tidak diketegorikan sebagai kesalahan awam. Kerana ia lebih kepada kesalahan peribadi dan kekeluargaan, maka ia sebagai kes pengecualian maka pihak yang membuat dakwaan diminta bersumpah laknat dengan nama Allah demikian juga pihak yang engkar dakwaan itu diminta bersumpah laknat dengan nama Allah.

Berdasarkan pandangan jumhur fuqaha’ bahawa kesalahan jenayah Hudud tidak termasuk dalam perkara yang boleh menggunakan sumpah untuk mensabitkan atau menafikannya kecuali pada masalah li’an, tuduhan zina yang melibatkan suami isteri yang diperuntukkan khusus dalam al-Qur’an sebagai pengecualian daripada prosedur umum pensabitan zina dan Qazaf.

Disediakan oleh:

Dr Abdul Halim El-Muhamadiy

Naib Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH)