Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Wednesday, June 13, 2012

A Moment To Remember


Bila Bulan Berbicara

“Jauh itu ada jarak yang terpisah, jauh itu ada rindu yang tak sudah.”

Aku memandang langit. Dia juga. Nafas kuelus perlahan, terasa seperti ada batu yang memberat. Dia berpaling dan berkata “Nak, ujian itu anugerah buat mereka yang mahu bersyukur. Lihat bulan di sana, indah…cantik. Tapi kita tahu, indahnya bulan kerana matahari. Allah itu Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Jangan pernah lelah dalam bersyukur.”

Aku bersyukur. Dia tahu setiap rasa yang bergolak dalam hatiku. Tanpa perlu aku ungkapkan, dia merasa setiap denyut rasaku. Hingga kini, pabila aku terasa lemah dan mahu lari jauh-jauh dari hakikat hidup, aku kenangkan kembali memori itu.

Aku mahu jadi kuat, sekuat ayah. Aku mahu jadi solehah, seperti solehnya ayah pada Pencipta. Moga ayah bersama para solihin di syurgaNya. Al-Fatihah…

**************************
Cantiknya Wanita

“Wanita itu…cantiknya bukan pada rupa yang menawan, bukan juga pada suara yang menggoda, tetapi pada indahnya pekerti, cantiknya budi dan auratnya terjaga rapi.”

Aku tersentak mendengar kata-kata itu. Dari seorang guru Matematik di sekolahku. Cikgu memandangku lantas tersenyum. Sebelah kakiku yang berada di atas kerusi kuturunkan perlahan-lahan. Lengan baju sekolah yang tersinsing hingga ke siku kutarik hingga ke pergelangan tangan.

Sungguh, aku sangat malu di waktu itu. Pulang dari sekolah, aku menangis semahunya. Entah mengapa, hatiku seolah-olah diusik dengan kata-kata cikgu. Supaya berubah, supaya menjadi yang lebih baik, supaya dikasihiNya.

Lama aku berfikir akan setiap bait ayat yang terbit dari mulut cikgu. Bila kukenang kembali, aku bersyukur kerana disentap pada waktu itu.

Terima kasih, cikgu.
************************

Bertemu dengan Tauke Kek Pop [pertemuan tanpa dirancang]
Karangan di atas telah saya hantarkan untuk Pertandingan A Moment To Remember. Tetapi, rezeki itu bukan untuk saya, jadi titipkan karangan itu di 'rumah' ini. Moga menjadi kenangan yang saya pernah berusaha untuk menulis. InsyaAllah....

Di luar Dewan Centrum, Setiawangsa
Mbak KB dan saya...[tak dapat bergambar dengan orangnya, dengan gambar pun jadilah]

Forum A Moment To Remember
 ***Jika kita rasa sedih, bukan selamanya kita bersedih. Ingatlah detik-detik bahagia yang pernah kita kecapi. InsyaAllah, akan saya kongsikan kisah-kisah bahagia dalam hidup saya***


Saturday, April 14, 2012

Penghapus Dosa

Jumaat malam
Saya menelefon ibu usai pulang dari sekolah. Jam 10.15 malam. Bercerita itu ini dan keluh-kesah yang saya hadapi sepanjang pengajian. Meluah rasa tentang 'kepayahan' dalam menyambung pelajaran yang adakalanya membuatkan air mata saya menitis di sepanjang jalan. Subhanallah.....Dia anugerahkan seorang ibu yang benar-benar faham keadaan saya. Walau saya hampir jatuh tertiarap, ibu peluk saya erat, mahu saya terus bangun berjalan tanpa lelah.

Dalam perbualan telefon itu, ibu berkias-kias. Katanya
"Sambil menyelam tu, minum la air."
Saya tergaru-garu kepala yang tidak gatal "Maksudnya?"

Perbualan menjadi serius. Ibu menyebut soal jodoh. Ibu mahu saya berjaya dalam pelajaran & menunaikan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. yang satu itu, iaitu menikah.

Alhamdulillah, perbincangan kami ternyata membahagiakan saya dan ibu.

Sabtu Pagi
Seperti yang dijanjikan, saya dan Cok Jihan mahu ke PAS (Plaza Alam Sentral) dan PKNS memandangkan di sana ramai belia dan remaja yang berkunjung. Tujuan kami adalah untuk mengedarkan brochure Kem Asas Sukarelawan : SAKTI VI.

Setibanya di rumah saya, Cok menukar plan. Katanya kami ke Taska JAIS di Klang terlebih dahulu dan ke PAS selepas itu. Saya mengikut sahaja kerana bagi saya, boleh saja diedarkan brochure itu sewaktu program sukan itu berlangsung.


Kami menaiki motosikal ke sana.

Di tengah jalan, saya katakan pada Cok "Cok, pelan-pelan."

Alhamdulillah, dia mendengar kata. Kelajuan motosikal yang kami tunggangi diperlahankan.

Kita merancang, Dia juga merancang. Tetapi perancanganNyalah yang terbaik...

Motosikal yang kami naiki tidak dapat dikawal setibanya di satu selekoh.

Gedegang!

Kami terjatuh. Badan saya terasa berat. Separuh tubuh Cok di atas paha kanan saya. Motosikal juga.

Ada sepasang suami isteri yang menaiki kereta datang membantu, seorang pakcik yang sedang bekerja di tepi jalan juga turut datang.

Saya dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang oleh Cik Manisah.

Proses seorang pesakit di Wad Kecemasan harus dijalani. Alhamdulillah, saya dibenarkan pulang pada jam 3.40 petang.

Pulang dari hospital, seluruh badan saya terasa sakit. Menitik-nitik air mata.

Terima kasih teman-teman & adik-adik yang sudi melawat.

Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai kemalangan ini. Cukuplah sekadarnya. Cerita panjang akan saya khabarkan bila kalian bertemu saya.

Alhamdulillah, Allah s.w.t masih memberi saya peluang untuk menghirup udara di dunia ini. Moga saya terus berbakti dalam menambah amalan untuk dihitung di akhirat kelak.

***Al Fatihah buat Allahyarham Dzulkarnain Paudzi, kawan 1 sekolah yang meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Limbang. Semoga rohnya bersama para solihin.
Berita penuh di sini.




Saturday, November 26, 2011

Kita Berbeza

Ini cerita suatu hari....

Waktu sedang melipat telekung, ketua saya masuk.

Rupa ubat gigi yang telah ditekan ke segenap arah dindingnya

"Wan, akak nak cakap sikit."

Saya memandangnya. Tekun. Tanda mendengar.

"Cuba ko tengok ubat gigi ni."

Berkerut-kerut dahiku memandang ubat gigi yang kepunyaanku. Dia meminjamnya dariku.

Mataku membulat. Tanda tidak faham.

"Cuba ko tengok betul-betul. Perbezaan yang ko bagi kat akak tadi dengan yang sekarang."

Oh.....

Rupa-rupanya dia telah menekan ubat gigi saya hingga ke segenap ruang dinding ubat gigi itu.

"La ilaha illallah..."

Geram juga pada mulanya. Tapi saya tahu, dia sekadar menduga hati saya.

Dia menyambung bicara.

"Wan, bila kita berkahwin dengan orang yang pertama kali dalam hidup kita serumah dengannya, sekatil, dan semuanya dikongsi dengannya, banyak benda yang kita kena belajar. Kita mesti benar-benar faham yang kita dan dia sangat berbeza."

Saya tersenyum. Bicara orang berumah tangga. Begitulah...

"Kadang-kadang, pasal ubat gigi pun boleh bergaduh. Kita tekan lain, dia tekan lain. Sebab itu asas rumah tangga perlu ada agama. Ada persefahaman. Ada tolak ansur."

Saya diam..banyak ilmu yang perlu saya hadam.

Itulah hidup dan kehidupan. Harus sentiasa belajar dan terus belajar.

Ini bentuk ubat gigi saya yang saya selalu buat


Tahniah buat saudara-mara dan sahabat-handai yang bakal menunaikan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu menikah.

Ingat-mengingati untuk kebaikan.

Tajuk lain:

  • Terlalu lama menyepi dari dunia blogger, fb, dan sebagainya secara online kerana sebab-sebab tertentu. Maafkan saya.
  • Perut saya sangat punctual sekarang. Breakfast mesti 8-9 pagi, lunch mesti 1-2 petang, dinner wajib 7-8 malam. Pernah sekali, saya terlewat makan tengah hari kerana ada janji temu di UM. Kesannya, saya telah memuntahkan semua isi perut. Hingga ke hari ini saya masih tidak lalu makan. Makan ikut masa, tetapi dalam kuantiti yang sedikit.
Phewww~

Wednesday, August 17, 2011

Tak Berapa Menjadi


Ramadhan tahun ini banyak mengajarku tentang erti sabar dan sabar dan sabar (eh, berapa banyak sabar ha? menunjukkan bahawasanya latihan kesabaran itu penting.

Minggu ketiga Ramadhan, aku dan teman serumah bersepakat untuk berbuka puasa beramai-ramai bersama jemaah lain di Masjid Negeri. Merasai suasana berbuka di masjid. Sepanjang 4 tahun di UNISEL, aku memang berbuka puasa di Masjid UNISEL. Kadang-kadang menjadi urusetia untuk menguruskan juadah berbuka bagi para jemaah.

Tahun lepas, aku hanya berbuka puasa di rumah sewa kerana berpraktikal. Kadang-kadang, ikut serta dalam Program Agihan Ramadhan di serata negeri.

Tahun ini, pelbagai agenda tersusun dalam jadual kami satu rumah.

Hari Isnin, Ramadhan ke 15, kami ke Masjid Negeri, Shah Alam.

Sudah ramai yang sudah tiba. Kami mencari ruang-ruang yang kosong untuk duduk. Makanan diletakkan untuk 4 orang satu tempat. Kami hanya datang berdua, jadi 2 bahagian lagi itu kami reserve kan untuk sesiapa sahaja yang sudi makan bersama kami.

Temanku ke tandas.

Tinggal aku keseorangan. Mengaji.

Sesekali memerhatikan gelagat mereka yang ada di situ.

Seorang makcik menyapa.

"Boleh makcik ambil 1 bubur lambuk tu?"

Aku menyuakan padanya. Harapanku agar dia dapat duduk dan makan bersama kami.

Dia duduk. Salam perkenalan bermula.

Panjang ceritanya. Sewaktu teman serumahku datang menyertai kami, ceritanya masih diteruskan.

Sebagai seorang manusia yang berpangkat anak, aku hanya mengangguk dan mengiyakan segala kata-katanya.

Banyak perkongsian yang kami peroleh. Makcik itu gemar bercerita.

Tentang dirinya, rumahnya, jirannya, tentang kisahnya menyambut Ramadhan dan Syawal di Tanah Suci, tentang arkiteknya, teman-temannya, dan macam-macam lagi. Fuhhh!

Salah satu ceritanya adalah mengenai teman seumrahnya tahun lepas. Seorang lelaki berpangkat pakcik yang dihantar oleh anak-anaknya untuk mengerjakan umrah.

Kata Makcik "ada seorang kawan makcik tu, dia ada 11 orang anak. menjadi semuanya, tapi tu la...ada 2 orang kurang menjadi. cikgu aje."

'oh, kalau kerjaya guru itu kurang menjadi.....siapa yang mengajar kita tulis baca makcik? bukankah cikgu?' kata-kata itu meronta-ronta di kerongkong cuma.aku hanya tersengih memandang makcik itu. juadah berbuka kupandang sepi.

Aku menelan kata-katanya. Pahit.

Selepas 'ayat bisa' dia tu keluar, aku cuma angguk, geleng, dan sengih sahaja memandangnya.

Azan berkumandang.

Kurma kurasakan seperti terlalu susah untuk ditelan. Aku betul-betul terasa hati. Aku tahu, temanku juga begitu.

2 minit selepas itu, makcik itu meminta diri. Mahu ke ruang solat katanya. (Dia hanya makan bubur lambuk sahaja sewaktu berbuka.)

Aku tidak tahu mengapa, tapi aku sangat lega pabila dia meminta diri.

Kami diam. Makan. Solat.

Pulang dari masjid, kami berdiskusi.

Puas kami fikir, kenapa profesion guru dikatakan 'kurang menjadi' oleh makcik itu.

Tanpa cikgu, tiada siapa yang akan berjaya makcik...

Allah s.w.t. jadikan guru sebagai perantara untuk mendidik manusia. Menjadi guru itu pahalanya amat besar walaupun 'kurang menjadi'.

**"Mimpi aku bukan jadi isteri saudagar, Pak. Mimpi aku mahu jadi guru......" Buk Muslimah, Laskar Pelangi.

Wednesday, July 6, 2011

Sekolah Kehidupan


Setibanya aku di tempat kerja, ibu pelajarku bertanya:

"Wan tegur Iffah ya semalam? Pasal kuku dia panjang."

Aku tersengih. Cuak juga sebenarnya kot-kot dia akan memarahiku. Aku sekarang kan sudah 'fobia' dimarahi depan khalayak.

"Ya kak, maafkan saya. Saya tegur sebab saya tengok kuku dia panjang sangat."

"La, kenapa nak minta maaf...akak ok je. Bagus Wan tegur dia. Kalau ada apa yang tak kena, Wan tegur lah."

Aku menarik nafas lega.

Ingatkan ibunya mahu memarahiku. Fuhhh!

Sudah 1 bulan lebih aku mengajar gadis manis itu. Sejujurnya, mengajar anak-anak kecil adalah sesuatu yang menggembirakan hati.

Kadang-kadang aku rasa seperti mendapat emas 500kg apabila muridku faham dan boleh membuat latihan yang kuberi.

Sewaktu mula-mula mengajar secara tidak formal awal tahun ini, aku sudah sematkan dalam diri....aku bukan hanya mengajar subjek di sekolah, tetapi aku juga mesti ajarkan mereka tentang sekolah kehidupan.

Itu yang aku pelajari daripada sekolah tarbiyyahku dalam PKPIM, GPTD, dan ABIM.

Pernah aku khabarkan pada kalian tentang salah seorang guruku sewaktu di sekolah menengah, Cikgu Rusdi Muhammad (guru Sejarah). Dia seorang yang sangat berdisiplin.

Seingatku, setiap minggu dia akan memeriksa kuku kami. Dengan pembaris kayu panjang di tangannya, dia akan berjalan dari satu meja ke satu meja. Memerhatikan satu persatu kuku kami.

Itu rutinnya, tidak pernah gagal.

Dia juga rajin mengajak kami datang usrah. Hari Jumaat, jam 8 pagi. Walaupun awal dan hujung minggu bagi kami, dia tetap bersemangat, dan semangatnya mengalir ke jiwa kami.

Ramai guruku yang bersemangat dalam mendidik kami di sekolah kehidupan. Belajar bukan hanya untuk mendapat A dalam peperiksaan,, bukan untuk mendabik dada pada yang lain mengatakan diri sendiri yang hebat. Itu yang kami belajar.

Termenung seketika.

Berapa ramai cikgu yang mengajar separuh hati? Jenguk-jenguk siapa yang mengajar hanya kerana semata-mata mencari kerja kosong?

Oh, jangan ditanya kenapa ada pelajar kurang ajar kerana guru sendiri masih meraba-raba mencari jalan hidup. Sekolah kehidupan guru-guru masih belum khatam.

Usah pernah berbangga menjadi guru.

Tanggungjawab yang tergalas di pundak wajib dilaksanakan dengan baik.

Jika mahu ajarkan murid berkuku pendek, kita harus potong kuku setiap minggu.

Andai mahu ajarkan murid hormati kita, kita yang perlu menghormati mereka.

Kiranya mahu murid membersihkan kelas, kita terlebih dahulu perlu kemaskan rumah, langsaikan tugasan tugasan kita terhadap rumah.

Kalau mahu murid membuang sampah ke dalam tong sampah, cuba hitung berapa kali kita sendiri buang sampah?

Jangan pernah mengharapkan orang lain berubah andai kita sendiri tidak mampu berubah.

Adakalanya kita adalah guru, pernah juga kita adalah murid. Itulah sekolah kehidupan.

Didikan kita buat hati wajar ditekankan.

Aku adalah guru, kalian juga seorang pendidik.

Kamu belajar? Aku juga masih dalam proses pembelajaran.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a., telah bersabda Rasulullah s.a.w:

“Orang yang paling baik itu adalah orang yang alim. Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manfaat bagi orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan, maka mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang lain)”

Tepuk dada, tanya iman..

Sunday, June 19, 2011

berSUARAlah...


Jumaat malam itu, kepalaku (bahagian kiri) terasa sakit. Sakitnya seperti buku lali terkena bucu meja. Bermula jam 9 malam hingga ke pagi esoknya. Seolah-olah membengkak. Tidak ku tahu mengapa. Aku cuba melelapkan mata dan meminta teman serumahku mengurut di bahagian yang sakit itu.

Waktu itu juga, aku sudah siap mendaftar untuk mengikuti program Sukarelawan Bicara (SUARA). Mahu saja aku batalkan hasratku untuk ke program tersebut.Namun, Allah s.w.t telah mengilhamkan seorang hambaNya untuk menghantar SMS padaku.

Bertanyakan kehadiranku ke SUARA.

Aku jarang mengatakan tidak pada setiap soalannya kerana aku tahu, beliau mahukan yang baik-baik saja untuk adik-adiknya. Jadi, aku terus menaip:

"InsyaAllah."

Lantas bergegas mempersiapkan diri. Sakit kepalaku ini kuabaikan. Dari Shah Alam ke Gombak memang menguji kesabaranku yang menaiki kenderaan awam ini. Setengah jam KTM 'terlambat'. Aku menunggu sambil tertidur. Kadang-kadang membalas mesej Cok Jihan. Kui3

Aku tiba lewat di SUARA.

Jam 9.15 pagi.
Puan Ainon Mohd. sedang menyampaikan pengisian beliau. Aku terus meluru dan duduk di kerusi yang kosong. Sebelahku Balqis.

Rasa bersalah kerana terlambat.

Beliau meminta kami membaca hadith ke 271, Sahih Muslim. Penerangannya seolah-olah memberikan pencerahan buat kami semua tentang cara menghadam hadith. Tentang orang kecil yang membuat 2 kesalahan & 1 kebaikan. Tentang Rasulullah s.a.w. yang hanya reward apa yang betul, diamkan yang salah. Kaedah social reward yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah 'memuji didahulukan daripada berdoa'.

Ilmu berSUARA yang kami belajar daripada Puan Ainon adalah:
  1. ketua sebagai pendorong anak buah
  2. dorong dengan perbuatan yang semua orang boleh buat
  3. dorong orang kecil
  4. benda yang dipuji adalah benda yang boleh diusahakan sendiri oleh orang lain
  5. cara pujian disampaikan: reward
Paling menarik, kami juga belajar 'tajwid Bahasa Melayu' / phonetics. Lagu 'Lodeh Mak Lodeh: Anita Sarawak' & 'Malam Bulan Di pagar Bintang: P.Ramlee' menjadi contoh dan rujukan bagi bab ini.


Slot kedua, selepas solat Zuhur adalah bersama Saudara Jufitri Joha (Abg Ju). Slot ini juga memang menarik. Banyak contoh berdasarkan pengalaman beliau.

Ada 4 elemen penting apabila menyampaikan ceramah / bercakap di hadapan khalayak iaitu:
  1. diri sendiri
  2. audien
  3. isi
  4. persekitaran
Program SUARA tamat pada jam 4.15 petang. Aku pulang ke Shah Alam bertemankan Cok Jihan. Kecoh sungguh perjalananku dengan cerita-ceritanya. Terima kasih buat Balqis (Pengarah Program), Epah, Jihan, Wani, Hakim, Shazni (tolong hantar ke stesen LRT), dan semua yang terlibat dalam program ini. Seperti kata Pn. Ainon, kita mesti meraikan semua orang. Hehe

Kamu mahu tahu sesuatu? Urppp.....

Sumber foto: GPTD

Tuesday, May 10, 2011

Sumpah Tak Nak Sumpah!

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Sumpah (al-yamin) sama pengertiannya dengan al-khalaf dan al-qasam. Pengertiannya mengikut penggunaan umum ialah penegasan terhadap sesuatu hak atau kenyataan sama ada pengakuan atau penafian dengan menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Sumpah untuk penghakiman (al-Yamin al-Qadhaiyyah) ialah untuk mensabitkan pendakwaan bagi tujuan penegasan sabitnya hak atau penafian hak di hadapan hakim dengan menyebut nama Allah atau salah satu dari sifat-sifatnya. Sumpah diharuskan berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Allah S.W.T. berfirman:

“Allah tidak mengambil kira sumpah kamu yang sia-sia tetapi, Dia mengambil kira sumpah kamu yang benar-benar.”

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:
“Kalau manusia itu dibiarkan membuat dakwaan, nescaya manusia akan mendakwa hak darah dan hak harta sesuka hati, tetapi ditetapkan bahawa ke atas pendakwa membawa bukti dan yang didakwa ingkar hendaklah bersumpah.”

Hak sumpah adalah hak pihak yang didakwa, manakala yang mendakwa perlu mengemukakan bukti. Berdasarkan ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa sumpah adalah diharuskan dalam pertikaian hak. Ia menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa sumpah penghakiman hendaklah orang yang bersumpah menyebut Wallahi, Wabillahi, atau Rabbul ‘alamin dan seumpamanya. Sumpah penghakiman hendaklah diberikan dengan perintah hakim atau wakilnya untuk menyelesaikan kes berdasarkan kehendak hakim, demikian pendapat jumhur fuqaha’.

Fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa tidak diharuskan bersumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pensabitan Hak Allah semata-mata sama ada ia kesalahan Hudud seperti zina, mencuri, minum minuman yang memabukkan atau yang berkaitan dengan ibadah semata-mata seperti solat, puasa, haji, sedekah, nazar dan kaffarah, melainkan jika ia ada melibatkan hak manusia, kerana hudud tertolak apabila ada kesamaran bukti.

Fuqaha’ juga sepakat berpendapat bahawa diharuskan sumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan harta dan seumpamanya. Pihak yang didakwa diberi hak bersumpah untuk memperakukan dakwaannya atau menafikannya. Demikian juga, fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa diharuskan bersumpah dalam perkara jenayah, melibatkan kesalahan qisas dan kecederaan termasuk juga sebahagian daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan.

Tuduhan zina antara suami isteri lebih kepada mencabuli keselamatan dan kesejahteraan rumah tangga yang lebih bersifat hak peribadi manusia daripada hak Allah kerana penglibatan tuduhan itu berlaku dalam keluarga tidak melibatkan masyarakat awam, tidak sebagaimana yang berlaku ke atas bukan keluarga. Oleh itu bagi mensabitkan jenayah Qazaf yang berlaku antara suami isteri hendaklah pihak yang menuduh membuktikan tuduhan ke atas isterinya berzina, sekali dengan bersumpah menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi atau Watallahi sebanyak empat kali bahawa isterinya melakukan zina dan kali kelima hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah jika ia berdusta maka laknat Allah ke atas dirinya.

Bagi isterinya jika ia menyangkal dakwaan suaminya hendaklah ia bersumpah dengan menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi, atau Watallahi, sebanyak empat kali bahawa dia tidak melakukan zina yang didakwanya, dan kali kelima ia bersumpah jika ia berdusta maka ia dilaknat oleh Allah S.W.T. Ini berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menuduh isteri mereka (berzina) tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar (an-Nur: 6).


Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah ke atasnya jika ia termasuk orang-orang yang berdusta (an-Nur: 7).


Isterinya itu dihindarkan daripada hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta (an-Nur: 8).

Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar" (al-Nur: 9).

Dengan sumpah ini menjadikan mereka berdua terpisah dan gugur ke atas suami hukuman Qazaf dan gugur atas isteri hukuman had zina.

Memandangkan jenayah Qazaf ini sebagai suatu jenayah yang serius dan terdapat nas qat’iy tentang ketetapan kesalahan, prosedur pembuktian dan hukuman keseksaannya, kerana ia diketegorikan sebagai kesalahan awam, maka sumpah tidak termasuk dalam prosedur pembuktian jenayah Hudud, kecuali dalam kes yang melibatkan tuduhan zina antara suami dengan isteri yang tidak diketegorikan sebagai kesalahan awam. Kerana ia lebih kepada kesalahan peribadi dan kekeluargaan, maka ia sebagai kes pengecualian maka pihak yang membuat dakwaan diminta bersumpah laknat dengan nama Allah demikian juga pihak yang engkar dakwaan itu diminta bersumpah laknat dengan nama Allah.

Berdasarkan pandangan jumhur fuqaha’ bahawa kesalahan jenayah Hudud tidak termasuk dalam perkara yang boleh menggunakan sumpah untuk mensabitkan atau menafikannya kecuali pada masalah li’an, tuduhan zina yang melibatkan suami isteri yang diperuntukkan khusus dalam al-Qur’an sebagai pengecualian daripada prosedur umum pensabitan zina dan Qazaf.

Disediakan oleh:

Dr Abdul Halim El-Muhamadiy

Naib Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH)

Thursday, April 7, 2011

Apabila Media Dilucahkan


Persetankan fahaman politik untuk seketika. Ada yang lebih penting dan lebih kritikal untuk dibicarakan. Soal moral, soal akhlak, soal aib.

Saya jadi muak untuk menonton berita di televisyen. Jika dahulu, cikgu-cikgu selalu pesan supaya menonton berita untuk mengetahui tentang perkembangan isu semasa dalam dan luar negara, sukan, dan sebagainya supaya senang buat karangan. Saya akur, kerana media itulah satu-satunya cara untuk dimanfaatkan berita dan sumber informasi yang penting. (Walaupun adakalanya muak dengan sentimen politik tak berasas)

Sekarang, saya berpesan kepada kakak dan abang-abang saya supaya tidak membenarkan anak-anak mereka menonton berita. [Maksud saya, berita ‘lucah’ itu.]

Saya mula tidak suka menonton berita sejak terbitnya rancangan Sayang Sarawak-TV3. Penat sungguh tengok adegan mengampu kerajaan, membodek rakyat. Aduhai....Di rumah, saya cuma menonton berita sukan dan luar negara. Yakni, yang tidak mempunyai unsur-unsur kepartian / lucah.

Saya bukanlah pembangkang kerajaan, apatah lagi penyokong pembangkang. Saya cuma penat dengan media dan orang-orang yang ditemuramah yang seolah-olah berlagak sebagai sang penghukum.

Apabila jenayah dilindungi, penjenayah diibaratkan sebagai whistleblower sementara mangsa politik seks cuba dilambangkan sebagai penjenayah yang harus disiasat melalui penubuhan Suruhanjaya Diraja, peradaban bumi Malaysia kini dicorakkan oleh ciri-ciri kegilaan ekoran tindakan pemimpin politik yang sanggup melakukan sebarang politik kotor agar dipanjangkan usia rejim pemerintah.

Bukankah membuka aib seseorang itu suatu perkara yang dilarang dalam agama? Tak sekolah gamaknya mike-mike ni.Haish….
Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya:...6:123
Andainya benar Malaysia ini adalah sebuah negara Islam, kenapa rendah sangat tahap moralnya? Adakah isu video lucah sangat mustahak mengatasi kepentingan rakyat yang lain? Jadi, jangan ditanya dan usah dikeluh kenapa lahirnya anak-anak luar nikah kerana kerajaan dan media sendiri yang mendidik rakyat ke arah itu. Nauzubillahi min zalik!

Dalam ketegangan isu ini, saya hampir tergelak apabila mereka meminta untuk diwujudkan Suruhanjaya Diraja (RCI). Tahukah mereka yang Suruhanjaya diRaja biasanya ditubuhkan apabila melibatkan insiden yang membawa kepada keraguan seluruh rakyat Malaysia seperti kematian yang membawa kepada nama buruk negara. Saya yang cuma faham nombor-nombor ini pun tahu juga bab Bahasa Undang-undang. Alhamdulillah, tidak dibutakan mata & dipekakkan telinga.

Tidakkah kalian pelik kenapa kes Altantuya tidak diselesaikan mengikut RCI? Bagaimana pula dengan kes PKFZ? Lawak betullah.

"Hentikan, hentikan... buat apa nak cakap benda aib orang lain ini. Buktikan di mahkamah kalau nak cakap, biar mahkamah tentukan.Tapi ia belum pasti boleh buktikan kerana orang yang buat pertuduhan kena bawa empat orang saksi kalau tidak dia boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu sebat 80 kali, benda ini tidak jelas... saya dah tengok akhbar hari ini, gambar lelaki dalam video itu tidak jelas dan tiada siapa yang boleh buktikan ia adalah Anwar,” kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Cakap ulama’ pun mike-mike tak nak dengar. Awok tak tahulah…

Baca lagi di:
Ingatlah, hidup tidak semestinya 1+1=2. Bak kata orang Kedah "Tuhan tak buat naya kat kita aih..."