Saturday, June 23, 2012

Imtihan


InsyaAllah, bakal menghadapi Peperiksaan Akhir Semester Pertama MSc Applied Statistics (Social Science).

Cuak, gugup, gementar. Perkara biasa.

Mohon doanya ya teman-teman.

Mahu memecut hingga ke akhir garisan. Moga selamat semuanya.

         27 Jun 2012 (Rabu)    : Sampling Theory & Practice

        28 Jun 2012(Khamis)  : Categorical Data Analysis

        29 Jun 2012 (Jumaat) : Classical & Bayesian Statistical Theory

Mohon maaf andai ada salah silap yang saya lakukan sebelum ini, saya mohon dihalalkan segalanya. Moga dipermudahkan urusan ini.

Jika ini adalah terbaik buat saya dan umat, saya hanya berharap Allah s.w.t. memberi laluan terbaik buat saya. Jika ia mendatangkan kemudaratan buat saya dan umat, hanya Dia jualah Yang Maha Mengetahui apa yang selayaknya untuk saya.

Maafkan saya, teman-teman. Kerna saya hanya hambaNya, yang sedang berjuang meraih redhaNya.

U S A H A  P A S T I  J A Y A

Rabbi yassir, wa la tuassir…


Wednesday, June 13, 2012

A Moment To Remember


Bila Bulan Berbicara

“Jauh itu ada jarak yang terpisah, jauh itu ada rindu yang tak sudah.”

Aku memandang langit. Dia juga. Nafas kuelus perlahan, terasa seperti ada batu yang memberat. Dia berpaling dan berkata “Nak, ujian itu anugerah buat mereka yang mahu bersyukur. Lihat bulan di sana, indah…cantik. Tapi kita tahu, indahnya bulan kerana matahari. Allah itu Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Jangan pernah lelah dalam bersyukur.

Aku bersyukur. Dia tahu setiap rasa yang bergolak dalam hatiku. Tanpa perlu aku ungkapkan, dia merasa setiap denyut rasaku. Hingga kini, pabila aku terasa lemah dan mahu lari jauh-jauh dari hakikat hidup, aku kenangkan kembali memori itu.

Aku mahu jadi kuat, sekuat ayah. Aku mahu jadi solehah, seperti solehnya ayah pada Pencipta. Moga ayah bersama para solihin di syurgaNya. Al-Fatihah…

**************************
Cantiknya Wanita

Wanita itu…cantiknya bukan pada rupa yang menawan, bukan juga pada suara yang menggoda, tetapi pada indahnya pekerti, cantiknya budi dan auratnya terjaga rapi.”

Aku tersentak mendengar kata-kata itu. Dari seorang guru Matematik di sekolahku. Cikgu memandangku lantas tersenyum. Sebelah kakiku yang berada di atas kerusi kuturunkan perlahan-lahan. Lengan baju sekolah yang tersinsing hingga ke siku kutarik hingga ke pergelangan tangan.

Sungguh, aku sangat malu di waktu itu. Pulang dari sekolah, aku menangis semahunya. Entah mengapa, hatiku seolah-olah diusik dengan kata-kata cikgu. Supaya berubah, supaya menjadi yang lebih baik, supaya dikasihiNya.

Lama aku berfikir akan setiap bait ayat yang terbit dari mulut cikgu. Bila kukenang kembali, aku bersyukur kerana disentap pada waktu itu.

Terima kasih, cikgu.
************************

Bertemu dengan Tauke Kek Pop [pertemuan tanpa dirancang]
Karangan di atas telah saya hantarkan untuk Pertandingan A Moment To Remember. Tetapi, rezeki itu bukan untuk saya, jadi titipkan karangan itu di 'rumah' ini. Moga menjadi kenangan yang saya pernah berusaha untuk menulis. InsyaAllah....

Di luar Dewan Centrum, Setiawangsa
Mbak KB dan saya...[tak dapat bergambar dengan orangnya, dengan gambar pun jadilah]

Forum A Moment To Remember
 ***Jika kita rasa sedih, bukan selamanya kita bersedih. Ingatlah detik-detik bahagia yang pernah kita kecapi. InsyaAllah, akan saya kongsikan kisah-kisah bahagia dalam hidup saya***


Sunday, June 3, 2012

Menantu Pilihan



Selesai makan, mereka bersiap-siap untuk pulang. Sambil memimpin tangan si kecil Khadijah, Aishah berjalan melewati khemah kenduri. Kenduri menyambut menantu yang diadakan pada hari itu cukup meriah. Walau bagaimanapun, Aishah dan keluarga harus bergegas pulang ke rumah kerana ada tetamu yang akan datang ke rumah mereka nanti.

Makcik Siti, Aishah balik dulu.” ujarnya.

Makcik Siti memeluk Aishah, erat. Matanya bergenang. Lantas, bahu Aishah ditepuk-tepuk...”Itu la, kamu ni susah sangat abang nak ajak keluar. Kalau tak jual mahal, kamu yang jadi menantu makcik, bukan dia. Makcik nak kamu yang jadi menantu makcik. Sedih makcik ni, tau tak?

Abang adalah nama panggilan buat anak lelaki Makcik Siti, turut berada di situ (pengantin di hari kejadian.). Memandang Aishah tanpa berkata walau sepatah.

Aishah terkedu. Bingung. Ibu juga.

Kak Siti, apa maksud Kak Siti ni?” ibu cuba menenangkan Makcik Siti.

Akak teringin benar nak Aishah jadi menantu akak. Tapi, semua tu tak jadi...” balas Makcik Siti.

Kak Siti, benda yang dah lepas, lepaslah. Sekarang ni, abang pun dah kahwin. Kita doakan rumahtangga abang bahagia. Maafkan kami sekeluarga Kak Siti, kami tak pernah tahu yang Kak Siti nak Aishah jadi menantu keluarga ni.”

Abang Long menyampuk “Dah tu, ngajaknya untuk keluar makan, memanglah tak mau si Aishah ni...cuba kata ‘jom keluar, nak bagi cincin.’ Barulah betul..” semua yang memandang tergelak dengan lawak Abang Long.

Aishah sudah merasakan rama-rama di dalam perutnya tidak berhenti berterbangan. Hatinya berdoa ‘Ya Allah, hentikanlah ‘drama swasta’ ini. Sungguh, aku benar-benar tidak bersedia menghadapinya.’

Si kecil Khadijah sudah mula memberontak kerana panas. Abang Long dan Kak Long mula melangkah, ingin pulang selepas bersalaman dengan Makcik Siti dan Pakcik Yusuf. Semua ahli keluarga Aishah berjalan melewati mata-mata yang menonton ‘drama swasta’ tadi.

Aishah dan ibu berjalan paling belakang. Tiba-tiba, Abang datang dan berjalan di sebelah kiri ibu.

Aishah hanya memandang...sepi.

Ibu memecahkan kesunyian kami. “Abang, kamu dah berkahwin. Jaga rumahtangga baik-baik. Ingat, perkahwinan bukan suatu permainan, tapi tanggungjawab yang harus kamu galas sampai akhirat.

InsyaAllah.” Jawabnya sepatah.

Sambung ibu lagi “Kalau kamu ada kawan-kawan yang masih bujang, kenalkanlah dengan Aishah. Giliran kamu kan dah sampai, bagi la peluang pada adik kamu ni pula.”

Terus dijawabnya “Takde Makcik, kawan-kawan Abang semua belajar tak tinggi. Takde yang setanding dengan Aishah.”

Pantas dibalas ibu “Sekarang ni, posmen pun kawin dengan cikgu bang oi...bersusun. Apa kerjanya tu bukan satu halangan. Kalau takde agama, dua-dua kerja besar pun boleh huru-hara.

Aishah tahu, ibu sebenarnya ‘membaham’ abang dalam bicara yang tersusun. Tazkirah tentang pernikahan.

Aishah, ibu, Abang Long dan ahli keluarga yang lain tidak pernah tahu tentang harapan Makcik Siti, Pakcik Yusuf, Abang dan keluarganya untuk menjadikan Aishah sebahagian daripada keluarga mereka. Tapi cukupkah dengan hanya memberi ‘hint’ seperti ‘mengajak keluar makan bersama’ dan ‘berkias-kias tanpa ada risikan kepada keluarga Aishah’?

Tidak adil untuk meletakkan status ‘jual mahal’ kepada Aishah, kerana dia tidak pernah tahu yang ada lelaki sedang menaruh harapan padanya.

Wahai lelaki, jika benar kamu menyintai seseorang dan berniat untuk menikahinya, memimpinnya menuju ke syurga, usahakanlah dengan cara yang terbaik, cara yang diredhaiNya. Jika ditakdirkan kamu menikahi wanita yang bukan pilihanmu, berusahalah untuk membahagiakannya. Lupakanlah dia yang pernah menghuni hatimu sebelum ini. Ingat, kamu imam keluarga. 

Wahai bakal ibu mertua, bincanglah dengan sebaiknya bersama suami dan anak. Jika makcik menyukai seorang gadis untuk dijadikan calon menantu, calon ibu buat bakal cucu-cucu makcik nanti, risiklah. Jika ditakdirkan Allah, menantu yang makcik dapat bukanlah orang yang makcik impikan, bersyukurlah...redhalah...kerana dia menantu itu mungkin yang terbaik untuk makcik dan keluarga. Lebih baik daripada impian makcik, kerana Dia Maha Tahu tentang segalanya, kerana Dia tidak pernah menghampakan hambaNya.

Wahai menantu bukan pilihan pada mulanya, jangan pernah terasa hati. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Mungkin kamu bukan pilihan ibu mertuamu, tapi kamu adalah pilihan Allah untuk ditakdirkan bersama dengan suamimu, insyaAllah. Bahagiakan mereka seperti mana kamu berusaha membahagiakan seluruh kehidupan kamu.

~Allah has created someone in the world for each and every of us. When the time is right, He will guide you to them. insyaAllah.~

Saturday, May 19, 2012

Makin tinggi, makin susah....itu adat.

Saya berada dalam zon tekanan sekarang. Sangat menekan.

Setiap hari, bangun dari tidur, saya pasti motivasikan diri sendiri 

"Wan Ritini mesti kuat. Jalani hidup dengan sebaiknya. Manfaatkan semaksima mungkin."
Tetapi saya silap, ada sesetengah perkara terjadi di luar jangkaan menyebabkan saya 'rapuh hati' tiba-tiba. Suasana yang menghimpit...

Bekerja dan belajar membuatkan saya terkejar-kejar. Adakalanya menangis dalam perjalanan. Kesat air mata dengan lengan baju. Huh, cengeng!


Setiap malam telefon ibu, cerita penat, cerita belajar masih merangkak-rangkak, cerita kawan-kawan satu batch yang ambil cuti khas sebab rasa seperti bakal 'ditendang' pada penghujung semester nanti, dan macam-macam cerita.

Ibu terus menyabarkan saya. Terus keluar cerita yang indah-indah.

Katanya "Belajar apa pun, memang susah. Makin tinggi kamu belajar, makin susah la prosesnya. Yang penting, sabarlah. Itu kan adat. Dia izinkan kamu belajar dengan kehendakNya, jadi jangan sia-siakan."

Ibu-ibu memang begitu. Suka menasihat. Dan nasihat itu selalu saya letak dalam hati diam-diam. 

Saya tidak akan mengeluh dengan jalan yang saya sendiri tentukan ini. Berpenat lelah 7 hari seminggu tidak mengapalah...Makan sudah tidak tentu jadualnya seperti dulu, abaikanlah...kerana saya sangat mengejar masa, kerana saya terlalu rindukan masa terluang saya.

Saya selalu berharap supaya akhir semester datang dengan cepat, tetapi saya tahu, persediaan saya untuk mengadap kertas ujian tersebut masih samar-samar.

Ditambah dengan pekerjaan sekarang, membuatkan saya terkapai-kapai sendirian.

Kalaulah saya ini berharta banyak (sekarang berharta kurang banyak), saya mahu berhenti kerja dan fokus pada pelajaran hingga tamat dengan jayanya. Tetapi apalah kemampuan saya, andai saya tidak bekerja, mustahil bagi saya untuk membayar yuran nanti.

Redah Wan Ritini, redah.

Hidup ini bukan tempat untuk bersantai, jadi kerja keras itu mesti.

Wednesday, May 2, 2012

Mahu Katakan Tidak

Berada dalam situasi yang menghimpit diri dan rasa bukanlah suatu keadaan yang indah. Terkebil-kebil memandang sekeliling. Bungkam.

Lalu perlahan-lahan, ada air jernih bertakung di tubir mata.

Membantu yang lain dengan tujuan untuk mencari redhaNya adakalanya menjadikan kita jauh dari rasa ikhlas kerana rasa 'dipaksa' itu lebih hebat mencengkam berbanding nilai ikhlas yang diimpikan.

Penat bukan? Mahu menggeleng, tidak sampai hati. Mahu mengangguk, memakan diri sendiri.

Berada dalam zon menekan menjadikan jiwa kita lebih tertekan.

Saya jarang mengatakan TIDAK untuk setiap apa yang diharapkan oleh orang lain. Saya gembira kerana dapat membantu orang lain.Tetapi, lama-kelamaan, saya tidak lagi bahagia dengan rasa ini.

Berkira-kira untuk lari daripada keadaan yang sudah tidak dapat diselamatkan. Bukan kerana takut menghadapi realiti, tetapi mahu mengajar diri supaya lebih menghargai rasa.Tetapi, dek kerana kasihan, saya bertahan dan bertahan lagi.

Saya mahu lari...lari dari keadaan ini.

Tetapi, bagaimana?

Perlahan-lahan saya belajar, saya mesti kuatkan hati. Jika saya tidak ingin lagi keadaan ini berlanjutan, saya yang harus bertindak. Saya tidak boleh mengharapkan orang lain untuk turut 'merasa' apa yang saya rasa. Walau berpuluh pasang mata memandang, manakan sama dengan bahu sendiri yang memikul.

Doa saya, pinta saya...moga saya belajar dari kisah sebuah kehidupan & menjadikannya landasan dalam mengenal makna perkataan TIDAK.



~trying to learn how to say NO without feel guilty~

***Terima kasih teman-teman kerana menjadi bahu untuk diri ini bersandar.

Monday, April 23, 2012

Lelaki Berkasut Putih & Rahsia Jodoh Saya

Lihat kasut di atas.

Saya 'tidak berapa gemar' melihat lelaki berkasut putih. Entah kenapa. Kasihan sungguh lelaki-lelaki yang suka berkasut putih.

Bagi saya, lelaki berkasut putih adalah 'buaya'. Astaghfirullah al 'azim, memang tidak patut saya beranggapan begitu. Saya cuba neutralkan perasaan ini kerana hampir setiap hari saya akan terpandang kasut putih ini di merata-rata tempat.

Maafkan saya peminat-peminat kasut putih sekalian (lelaki). Saya cuba untuk positif sekarang kerana warna putih adalah warna kegemaran saya nombor 1.

Ini cerita kedua:
Khamis lepas, seorang lelaki berpangkat abang berdiri di hadapan saya sewaktu saya leka scan maklumat yang perlu dihantar ke salah sebuah syarikat.

Dia bertanya "Umur kamu sekarang berapa?"

Dengan nada bergurau, saya menjawab "21."

Balasnya "Owh, muda lagi..."

Saya membalas "Tak, saya main-main. Umur saya sekarang sudah 27 tahun." Rasa bersalah tiba-tiba datang kerana saya membuatkannya percaya."

Dengan terkejut dia berkata "Kalau saya, saya tak percaya umur kamu 27, tetapi saya percaya umur kamu 21."

Fuh, saya katakan padanya "Terpulanglah pada Encik. Saya sudah berkata yang benar."

Tiba-tiba, salah seorang kakak berkata "Memang umur dia sekarang 27. Sebab dia kecik, jadi nampak la umurnya seperti 21.Kamu ada calon suami untuk Wan?"

Encik itu membalas "Owh...kamu sekarang sedang menyambung pelajaran, bukan? Master?"

Saya mengangguk..

Encik itu tiba-tiba berkata "Saya ada ramai calon yang masih bujang. Tetapi saya tak berani nak kenalkan sebab kamu dah ada master. Orang yang hebat, insyaAllah akan jumpa dengan orang yang hebat."

Saya terdiam sekejap.

Lalu membalas "Encik, saya baru saja sambung belajar. Satu sem pun belum habis lagi. Saya belum tahu saya akan dapat / tidak master tu nanti. Jadi, saya tak mengharapkan bakal suami saya nanti sama seperti saya. Kalau taraf pendidikannya tinggi, Alhamdulillah, satu bonus untuk saya. Tapi, kalau tidak, saya tak harapkan semua tu. Bagi saya, agamanya mesti diletakkan di tempat pertama. Dia imam untuk keluarga."

Saya berlalu dari situ kerana muka saya sudah memerah.

Maafkan saya, Encik...Jangan pernah anggap semua wanita mengharapkan lelaki yang 'sangat hebat' menjadi pendamping mereka. Saya tidak perlukan Master / Phd bakal suami saya, saya hanya mahukan agamanya untuk membimbing saya & anak-anak mengejar redhaNya.

Saya jadi baran tiba-tiba kerana pandangan masyarakat. Terlalu prejudis dalam 'merencana masa depan anak dara'.

Ya Allah, ampunkan saya kiranya saya dikatakan berkasar pada Encik itu. Encik, saya mohon maaf kalau saya dikatakan kurang diajar.

Cuma 1 sahaja saya mohon, buka minda + positiflah..ok?

Saturday, April 14, 2012

Penghapus Dosa

Jumaat malam
Saya menelefon ibu usai pulang dari sekolah. Jam 10.15 malam. Bercerita itu ini dan keluh-kesah yang saya hadapi sepanjang pengajian. Meluah rasa tentang 'kepayahan' dalam menyambung pelajaran yang adakalanya membuatkan air mata saya menitis di sepanjang jalan. Subhanallah.....Dia anugerahkan seorang ibu yang benar-benar faham keadaan saya. Walau saya hampir jatuh tertiarap, ibu peluk saya erat, mahu saya terus bangun berjalan tanpa lelah.

Dalam perbualan telefon itu, ibu berkias-kias. Katanya
"Sambil menyelam tu, minum la air."
Saya tergaru-garu kepala yang tidak gatal "Maksudnya?"

Perbualan menjadi serius. Ibu menyebut soal jodoh. Ibu mahu saya berjaya dalam pelajaran & menunaikan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. yang satu itu, iaitu menikah.

Alhamdulillah, perbincangan kami ternyata membahagiakan saya dan ibu.

Sabtu Pagi
Seperti yang dijanjikan, saya dan Cok Jihan mahu ke PAS (Plaza Alam Sentral) dan PKNS memandangkan di sana ramai belia dan remaja yang berkunjung. Tujuan kami adalah untuk mengedarkan brochure Kem Asas Sukarelawan : SAKTI VI.

Setibanya di rumah saya, Cok menukar plan. Katanya kami ke Taska JAIS di Klang terlebih dahulu dan ke PAS selepas itu. Saya mengikut sahaja kerana bagi saya, boleh saja diedarkan brochure itu sewaktu program sukan itu berlangsung.


Kami menaiki motosikal ke sana.

Di tengah jalan, saya katakan pada Cok "Cok, pelan-pelan."

Alhamdulillah, dia mendengar kata. Kelajuan motosikal yang kami tunggangi diperlahankan.

Kita merancang, Dia juga merancang. Tetapi perancanganNyalah yang terbaik...

Motosikal yang kami naiki tidak dapat dikawal setibanya di satu selekoh.

Gedegang!

Kami terjatuh. Badan saya terasa berat. Separuh tubuh Cok di atas paha kanan saya. Motosikal juga.

Ada sepasang suami isteri yang menaiki kereta datang membantu, seorang pakcik yang sedang bekerja di tepi jalan juga turut datang.

Saya dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang oleh Cik Manisah.

Proses seorang pesakit di Wad Kecemasan harus dijalani. Alhamdulillah, saya dibenarkan pulang pada jam 3.40 petang.

Pulang dari hospital, seluruh badan saya terasa sakit. Menitik-nitik air mata.

Terima kasih teman-teman & adik-adik yang sudi melawat.

Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai kemalangan ini. Cukuplah sekadarnya. Cerita panjang akan saya khabarkan bila kalian bertemu saya.

Alhamdulillah, Allah s.w.t masih memberi saya peluang untuk menghirup udara di dunia ini. Moga saya terus berbakti dalam menambah amalan untuk dihitung di akhirat kelak.

***Al Fatihah buat Allahyarham Dzulkarnain Paudzi, kawan 1 sekolah yang meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Limbang. Semoga rohnya bersama para solihin.
Berita penuh di sini.




Friday, April 6, 2012

Mencari Belia SAKTI

Kembara sukarelawan antarabangsa bermula di sini!!!

Kini anda juga berpeluang untuk diserapkan ke dalam aktiviti kesukarelaan di pentas antarabangsa, khususnya di Asia dan Eropah!

Anda juga bakal menikmati keindahan flora dan fauna yang memukau di sepanjang kem ini.

Ayuh rebutlah peluang yang bakal merubah hidup anda!

Temui mereka dan ramai lagi di KEM SAKTI 6, antaranya:
  1. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
    (Motivator, Pengarah Urusan STC, penulis buku 'best-seller' termasuk 'Aku Terima Nikahnya')
  2. Saudara Jufitri Joha
    (Pemenang Anugerah Belia Negara -Kepimpinan- Negeri Sembilan 2007, Eksekutif SPKB, Aktivis Belia Antarabangsa)
  3. Saudara Nor Helmee Zainal Abidin
    (Pengarah Urusan Bil Hikmah Sdn. Bhd, Penerbit ar-Risalah TV9, Pengarah/Penerbit Jemputan Umrah Astro Oasis)
  4. Ustazah Nur Aqidah
    (Peserta Program Ustazah Pilihan Astro
    Oasis)
    ___________________________________________

Kem Asas Sukarelawan & Jatidiri (SAKTI 6) 2012

Tarikh: 20-22 April 2012

Tempat: Syamille Agro Farm & Resort, Kati, Kuala Kangsar, Perak.

Sasaran Peserta: Pelajar IPT & belia berumur antara 16-29 tahun.

Objektif:

  • Mendedahkan peserta kepada aktiviti kesukarelaan di dalam dan di luar negara.
  • Membina keyakinan diri dengan mendasari kepentingan ilmu di dalam kehidupan seharian.
  • Membentuk peribadi belia yang mampu menjadi ejen perubahan positif di dalam masyarakat.


Aktiviti:

  • Pembentangan Tetamu Jemputan
  • Aktiviti Berkumpulan
  • Kembara Air Terjun
  • Diskusi Grup
  • Riadah Bermodul
  • Solat Berjemaah & Qiamullail


Yuran: RM200 seorang (termasuk kit peserta, t-shirt, penginapan, makanan & aktiviti sepanjang program).


Untuk pertanyaan lanjut dan pendaftaran, sila hubungi Sekretariat GPTD di talian 012-6980568 / 013-2225608 / 03-41084500

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 9 April 2012

Sunday, February 5, 2012

Februari Tiba

Salah satu kek pada 11 Februari 2011

Sejak kecil, kami adik-beradik tidak pernah meraikan hari lahir. Berdasarkan pemerhatian saya sebagai seorang anak, ibu jarang menyebut tentang tarikh lahir, apatah lagi meraikannya. Berlainan pula dengan ayah, beliau sangat suka dengan 'Fakta Nombor'. Seperti saya. Sebutlah tentang tarikh apa pun, pasti ayah tahu dan ingat, termasuklah plat kereta dan motosikal.

Bagi ibu, setiap hari adalah hari kelahiran kerana itulah waktu untuk kita berubah menjadi manusia yang lebih baik dari semalam.

Ayah pula, dengan mengingati hari lahir mengajar kita menghargai mereka yang ada di sekeliling.

Ibu dan ayah-saling melengkapi.

Saya setuju dengan ibu, saya iyakan kata ayah.

Bulan Februari tiba lagi.

Doa saya, harapan saya untuk hari lahir pada tahun ini adalah:
  1. Semoga sentiasa dibantu olehNya untuk sentiasa istiqamah dalam proses menjadi hambaNya yang beriman, anak yang solehah, adik + kakak + makcik yang mengutamakan keluarga dalam segala hal, teman yang baik, dan pekerja yang berdedikasi.
  2. Impian untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih baik. Allahumma Ameen.
  3. Dikurniakan nikmat kesihatan untuk terus berbakti untuk agamaNya dan ibu.
  4. Mahu lebih serius soal hidup dan kehidupan
  5. Dia Yang Maha Tahu tentang isi hati hambaNya. Semoga dipertemukan dengan bakal Imam untuk membimbing di dunia dan akhirat.
Jika itu semua baik menurutMu Ya Allah, kabulkanlah segera dan mudahkanlah. Namun, jika kurang baik menurutMu, tunjukkanlah padaku yang lebih baik, dan siapkanlah diriku untuk menerimanya. Ameen.

Buat teman-teman semua, doakan yang terbaik buat saya dan kita semua.

11 Februari 2012 / 18 Rabiul Awal 1433.


Sunday, January 29, 2012

Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?

Alhamdulillah, syukur atas kurniaaNya.

24 Januari 2012 mengkhabarkan satu berita yang tak mungkin dapat dilupakan.

Menanti 30 Januari 2012 untuk satu berita lagi.

Semoga ada keputusan bagi kedua-dua pilihan ini.

Ameen thumma Ameen.

p/s: Terima kasih ibu, kakak, abang-abang, dan adik-adik atas sokongan dan kasih sayang. InsyaAllah, tidak akan mengecewakan kalian.