Bila Pena Menari…
Assalamualaikum w.b.r.t.
Termenung, merenung, berfikir sejenak. Imbau kembali sewaktu kita mahu
melangkah kea lam persekolahan. Lebih indah pabila mengenangkan ketika kita mahu
mendaftar ke darjah satu.
Gembira, berdebar, semua rasa
bercampur. Setiap hari, pasti soalan yang sama akan diajukan kepada ibu “Berapa
hari lagi saya akan bersekolah?”, dan ibu tanpa lelah menghitung hari buat
kita. Saban waktu, kasut, beg dan peralatan sekolah dibelek, tanda teruja untuk
melalui fasa baru dalam hidup.
Segalanya berlalu, semuanya telah
meniti sebahagian daripada sejarah hidup kita. Berakhirnya sekolah formal...
Namun, sekolah kehidupan tidak
pernah berakhir. Setiap hari, pasti ada silibus baru untuk dihadam dalam proses
pendidikan jiwa seorang manusia.
Sekarang, perlahan-lahan cuba
belek kalendar. Apa persediaan kita dalam menyambut kedatangan Ramadhan Kareem?
Bulan yang penuh dengan keberkatan, bulan yang mendidik manusia dalam semua
subjek tarbiyyah.
Tepuk dada, tanya iman...apa rasa
hati kita dalam menghitung hari untuk bertemu Ramadhan? Ada tiga rasa yang
mungkin kita ada, iaitu:
i. Teruja, seperti mahu berlari untuk ke tempat duduk ketika
darjah satu.
ii. Tiada rasa, seperti menerima kehadiran hari-hari biasa
sepanjang tahun.
iii. Sedih, kerana terpaksa menahan diri daripada daripada
melakukan perkara-perkara yang tidak baik.
Kita yang tahu apa yang kita
rasa, jawablah dengan sejujurnya. Apa persediaan kita dalam menyambut kehadiran
bulan mulia ini? Jika kita inginkan Ramadhan ini mendidik kita “from zero to hero, from nobody to somebody”,
lakukan persiapan itu sebelum 1 Ramadhan disambut, sebelum kita melafazkan niat
berpuasa.
“Allahumma sallimni ila ramadhan
wa sallim li ramadhan wa tasallumahu minni taqabbalan”
Ya Allah selamatkanlah kami
hingga bulan Ramadhan ke depan, dan pertemukan untuk bulan Ramadhan dan
terimalah seluruh amal kami pada bulan Ramadhan.
Salam ramadhan, moga Madrasah
Tarbiyyah Ramadhan 1433H ini menjadikan kita lulus subjek Hamba & Khalifah
pada Khaliqnya.
*Artikel ini saya tulis di Majalah Risalah Madani.
No comments:
Post a Comment