Ramadhan telah berlalu, Syawal
menyusul pergi. Bagaimana dengan kehidupan kita sehari-hari? Moga lebih baik
daripada sebelumnya. InsyaAllah…
Suatu hari, di sebuah bangku di tepi
tasik…seorang teman bertanya “Kenapa hati masih rasa sakit walaupun kita sudah
memaafkan kesalahan orang?”
Aku membetulkan dudukku. Memandangya
yang diam di sebelahku. Ada garis gundah di wajahnya.
“Memaafkan adalah tugas hati, mulut
dan semua anggota badan. Mungkin benar mulut kita mengucapkan kata ‘maaf’, tetapi hati masih
lagi berbolak-balik. Masih lagi ada rasa tidak puas hati dengan kemaafan yang
dihulurkannya.”
Dia mengeluh perlahan…”Senanglah
cakap. Minta maaf, semua orang boleh buat. Nak memaafkan, itu yang susah.
Sangat susah.”
Aku diam. Cuba mencari jawapan terbaik
buatnya agar dia lebih menghargai nilai memaafkan dengan berlapang dada.
Benar, memberi maaf adakalanya lebih
sukar daripada meminta maaf. Tetapi, yang sukar itu kan indah…
“Orang yang tidak memaafkan, akan
sentiasa ‘diikat oleh orang yang tidak dimaafkannya. Maafkanlah, maafkan
semuanya. Pasti akan terlepas, akan bebas.” Itu kata-kata bijak pandai. Ayat
yang sering mengingatkanku pabila terasa berat untuk memaafkan.
Aku tidak mahu diikat oleh ‘rasa’
seperti itu. Rasa yang lebih menjadikan jiwa lebih terkongkong.
Andai sulit untuk memberi maaf, ingat
DIA. Allah Yang Esa.
Sungguh, Allah Maha Pengampun. Walau
sebanyak mana pun dosa yang telah kita lakukan, akan diampunkanNya. Jika Allah
memaafkan kita sebagai hambaNya, mengapa tidak kita?
Cuba renungkan kata-kata Imam
Al-Ghazali ini “Seorang hamba yang
bertaubat tetapi kembali berdosa, jangan sekali-kali putus asa untuk bertaubat
lagi. Siapa tahu Izrail mencabut nyawanya ketika dia sedang bertaubat atau
sedang dalam perjalanan menuju taubat.”
Maafkanlah semua dengan sepenuh hati
dan rasa. Allah Maha Pengasih, Dia mencintai hambaNya yang mengasihi. Allah
Maha Pemurah, Dia mencintai hambaNya yang mudah memaafkan yang lain. Allah Maha
Pemaaf, semoga kita dapat memaafkan tanpa berlengah.
Benarlah, Allah mendidik kita pada
setiap masa, peristiwa dan manusia. Maafkanlah dan lupakanlah.
Jadilah hambaNya yang sentiasa
bersyukur.
No comments:
Post a Comment