Hampir saban hari, tempat
menunggu bas di hadapan stesen minyak menjadi kunjungan wajib saya. Di situ,
pelbagai ragam manusia dapat saya lihat. Mentarbiyyah hati untuk jadi lebih
kuat.
Salah seorang daripada mereka
adalah makcik yang berketurunan India. Tempat kerjanya adalah pertengahan
laluan ke tempat saya mencari rezeki. Saya memanggilnya auntie. Setiap hari,
saya pasti akan melihatnya berjalan menuju ke tempat menunggu bas.
Dengan kudrat kakinya yang
semakin lemah, badannya yang sering sakit, kolam mata saya sering bertakung
apabila memandangnya. Semangat gigihnya untuk terus bekerja mencari sesuap
rezeki sangat mengagumkan. Berjalan kaki dari Padang Jawa ke tempat menunggu
bas itu tidaklah dekat. Setiap hari, tanpa gagal sebelum bas kami tiba dia
pasti sampai dahulu. Kadang-kadang, dia lebih awal daripada saya yang tinggal
sejengkal dari situ.
Sehari sebelum Deepavali, kami
bertemu. Di tempat yang sama. Dengan berbasi-basi, saya bertanya “Auntie tidak
cutikah hari ini? Esok sudah raya.”
Balasnya “Kerja ini macam mana
boleh cuti, dik. Saya cuti besok saja.”
Ooo....
Seminggu selepas itu, setelah
saya cuti sakit selama 2 hari dek kerana masalah kesihatan yang agak mencabar
kekuatan diri, saya bertemunya lagi.
Tegurnya “Hai adik, lama tak
nampak.” Dan dia terus terbatuk-batuk tanpa henti. Selepas meneguk air,
nafasnya kedengaran. Mengah.
“Saya MC. 2 hari. Hari ini baru
mula kerja.” Jawab saya dengan suara yang belum pulih sepenuhnya.
Saya memandangnya. Belas.
Batuknya semakin menjadi-jadi.
“Auntie tak sihat kan, kenapa
tidak ambil cuti?” soal saya apabila batuknya kembali tenang.
Dia mengeluh..”Adik, kerja ini
macam mana boleh ambil MC. Kalau saya mau cuti, saya mesti ganti. Bila mau
ganti...kalau tidak, gaji makin sikit saya dapat. Anak-anak mau makan apa.”
Ooo...
Saya terus terdiam. Mahu bertanya
lagi, namun bimbang kata-kata saya bakal mengguris hati Auntie.
Saya hanya mampu berfikir. Dan
terus berfikir. Nasib seorang pekerja bawahan di sebuah negara yang ‘mendahulukan
rakyat.’ Saya tidak menyalahkan sesiapa jauh sekali menunding jari kerana
setiap apa yang berlaku pasti ada asasnya, ada sebabnya.
Sebagai pekerja, saya hanya mahukan
kebajikan seorang pekerja dibela. Khidmat pekerja yang ditagih saban hari
bukanlah tiket untuk para majikan mengabaikan ‘rasa’ pekerja. Berada di bawah,
memandang yang di atas, adakalanya menjadikan saya, Auntie dan semua merasai
nikmat sebuah kepayahan.
“Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan pertukaran siang dan malam ada tanda (keagungan Allah) bagi golongan ulu al-albab. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan bertafakkur tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “wahai Tuhan kami, Engkau tidak menjadikan semua ini sia-sia, maha suci Engkau maka lindungilah kami daripada azab neraka”.
Surah Ali `Imran, ayat:190-191.
Selamat pagi & selamat bekerja semua. ^_~
Semoga Auntie terus kuat dengan 'kerja ini macam'nya.
:) pernah kerja masa sakit sbb kesian kat bos tak cukup pekerja.Last skali tak dpt tahan gak.tewas!
ReplyDelete