Sudah lama rasanya tidak benar-benar meluangkan masa
untuk menulis di blog. Banyak ruang yang tersia disebabkan kesibukan yang tidak
diuruskan dengan baik.
Kali ini, entri tentang memberi dan diberi arahan amat
menarik minat aku untuk berkongsi dengan semua.
Sejauh mana kita memberi arahan dengan berkesan? Ayat
yang bagaimanakah mampu untuk menawan hati si penerima arahan?
Itu yang sering aku fikirkan apabila perlu memberi
arahan. Sesungguhnya, aku bukan pemberi arahan yang baik. Aku terlalu
memikirkan perasaan si penerima arahan. Dek kerana itulah, aku jarang menjadi
ketua. Selalunya jawatan aku adalah setiausaha. Kerana aku akan menerima arahan
tanpa dipaksa. Tiada perasaan untuk dijaga.
Semakin meningkat usia, semakin ramai orang yang
kutemui, semakin aku merasakan aku hanya layak untuk menerima arahan.
Tetapi, Dia Maha Tahu...adakalanya, aku harus memberi
arahan. Bukan kerana jawatan, tapi kerana tuntutan dan tanggungjawab. Apabila
soal ini dibangkitkan, aku akur...aku harus memberi arahan. Aku mula membelek
kitab-kitab dan menelaah motivasi dari mereka yang pakar tentang ilmu
kepimpinan. Memberi arahan bukan untuk menunjukkan kehebatan diri, tetapi bagi
berkongsi pengetahuan dan ilmu dengan mereka yang masih bertatih. Itu yang aku
pelajari dan titip dalam setiap arahan yang bakal kuberi.
Lalu, aku tahu...aku harus berlemah-lembut dalam
menyampaikan. Seperti mana aku senang
menerima arahan, begitulah aku harapkan pada semua yang menerima arahan dariku.
Kata Prof. Dr. Muhaya “Kita akan dapat apa yang kita beri.”
Dalam konteks ini, bukanlah ganjaran yang diharapkan
tetapi secebis kefahaman dari yang menerima. Tidak semua orang sudi menerima
arahan, lebih-lebih lagi yang lebih dewasa. Itu yang aku alami. Berdepan dengan
golongan sebegini menyebabkan aku sering terhimpit dan tersepit hingga
adakalanya aku melakukannya sendiri kerana tidak sanggup untuk meminta tolong
apatah lagi memberi arahan.
Aku ingin terus belajar memberi arahan seadanya,
bertepatan waktunya, sesuai orangnya. Selebihnya, aku mahu menerima arahan
dengan sebaiknya. Kepada mereka yang pernah menerima arahan dari aku, maafkan
aku andai ada perkataan yang terbit dari mulutku yang membuatkan kalian terasa
hati atau tersinggung.
Lancar jari-jemariku menaip susunan kata di bawah ini.
Sekadar nukilan hati, bukanlah puisi...
Aku punya impian,
Mahu mengejar pelangi di langit yang indah,
Walau ku tahu takkan tercapai,
Aku yakin...aku percaya...
Pelangi indah itu masih tetap di situ,
Setia menanti buat yang mahu berjaya,
Pelangi indah itu untuk aku dan semua,
Tanpa menilai siapa pun kita,
Ia tetap indah di mata semua,
Moga impian dan pelangi itu akan terus mewarnai
sebahagian daripada kisah hidupku untuk aku abadikan sebagai hambaNya.
Pelangi anugerah Tuhan,
Moga sentiasa berseri menemani sang langit.
No comments:
Post a Comment