Sunday, January 19, 2014

Keperluan - Kehendak = Tujuan



Setiap bulan, bahkan boleh dikatakan setiap minggu, saya akan membuat catatan berkenaan perbelanjaan bulanan. Kemaskini dari semasa ke semasa. Dengan harapan, akan ada baki untuk dimanfaatkan ke ruang yang memerlukan.

Adakalanya, buntu. Semakin ‘dirasakan’ berjimat, semakin sesak nafas.

Akhirnya, saya mula menganalisa...rupa-rupanya ada kehendak yang mengatasi keperluan.

Alhamdulillah, Allah mendidik saya melalui bajet bulanan.

Kenapa?

Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap harta & dirimu. Dan [juga] kamu sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dari orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak menyakitkan hati. Jika kamu bersabar & bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.”
                                                                                                                        Ali-Imran : 186

Saya sedar, dalam mencapai tujuan hidup yang sebenar [redha Allah], ada kehendak diri yang telah membatasi keperluan saya yang sebenar.

Saya mahukan tubuh yang sihat, harta yang melimpah, keluarga yang bahagia dan segala-galanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Tapi Allah lebih tahu...hakikatnya saya diuji dengan kesakitan, keterbatasan kudrat, dan semua yang memeritkan.

Belajar...

Keperluan – Kehendak = Tujuan

Dengan mengabaikan kehendak, Insya Allah tujuan akan tercapai.

Sebagai seorang manusia, dalam memenuhi keperluan [ibadah].

Sebagai seorang hamba, dalam mencapai tujuan kehidupan [mardhatillah].

Ya Allah, aku berlindung daripada kesusahan & kesedihan, daripada sifat pengecut & bakhil, daripada bebanan hutang & kekuasaan manusia.

Manusia mentadbir – Allah mentakdir


Monday, March 4, 2013

Mencatat Yang Tidak Tercatat


Berbaris panjang idea yang ingin dicurahkan. Tapi semuanya tergantung tanpa ditaip dengan jelas. Hidup kelihatan terlalu singkat untuk disia-siakan. Itu yang saya belajar. Banyak perkara yang telah berubah dari semasa ke semasa. Menuntut pengorbanan…terutamanya emosi. Sungguh, saya kalah lagi.

Saya mahu konsisten menulis. Menaip bait-bait kata yang terbit dari hati, untuk diabadikan di sini. Namun, begitulah...setiap kali ingin mulakan, segalanya seakan-akan kaku.

Saya mahu berkongsi tentang kehidupan saya sekarang, tentang ekspedisi yang telah saya ikuti sepanjang 2 minggu di bumi Aceh, tentang murid saya yang semakin matang dan keletahnya yang pelbagai, tentang ibu yang tercinta, tentang segala-galanya.

Setiap hari, perlu pujuk diri supaya terus menulis. Adakalanya terpaksa 'memaksa' tangan memegang pen dan mencatat di buku. Supaya saya tahu dan sedar diri, yang saya perlu menulis. Lama-kelamaan, buku tersebut sudah dipenuhi dengan catatan. Rupa-rupanya proses  'pemindahan' data ke laptop kelihatan lebih sukar. Sukar kerana malas.

Oh Wan Ritini, rajinlah....

Kadang-kadang apabila kita minta sesuatu dari Allah untuk dimiliki, dan Allah beri petunjuk itu bukanlah yang terbaik untuk kita, mungkin sudah sampai saatnya kita minta supaya HATI TERUS REDHA dan minta hanya yang TERBAIK untuk kita dari Allah.

:: Sesungguhnya, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang :: Lebih tenang ::

Monday, November 26, 2012

Cerita Seorang Auntie


Hampir saban hari, tempat menunggu bas di hadapan stesen minyak menjadi kunjungan wajib saya. Di situ, pelbagai ragam manusia dapat saya lihat. Mentarbiyyah hati untuk jadi lebih kuat.

Salah seorang daripada mereka adalah makcik yang berketurunan India. Tempat kerjanya adalah pertengahan laluan ke tempat saya mencari rezeki. Saya memanggilnya auntie. Setiap hari, saya pasti akan melihatnya berjalan menuju ke tempat menunggu bas.

Dengan kudrat kakinya yang semakin lemah, badannya yang sering sakit, kolam mata saya sering bertakung apabila memandangnya. Semangat gigihnya untuk terus bekerja mencari sesuap rezeki sangat mengagumkan. Berjalan kaki dari Padang Jawa ke tempat menunggu bas itu tidaklah dekat. Setiap hari, tanpa gagal sebelum bas kami tiba dia pasti sampai dahulu. Kadang-kadang, dia lebih awal daripada saya yang tinggal sejengkal dari situ.

Sehari sebelum Deepavali, kami bertemu. Di tempat yang sama. Dengan berbasi-basi, saya bertanya “Auntie tidak cutikah hari ini? Esok sudah raya.”

Balasnya “Kerja ini macam mana boleh cuti, dik. Saya cuti besok saja.”

Ooo....

Seminggu selepas itu, setelah saya cuti sakit selama 2 hari dek kerana masalah kesihatan yang agak mencabar kekuatan diri, saya bertemunya lagi.

Tegurnya “Hai adik, lama tak nampak.” Dan dia terus terbatuk-batuk tanpa henti. Selepas meneguk air, nafasnya kedengaran. Mengah.

“Saya MC. 2 hari. Hari ini baru mula kerja.” Jawab saya dengan suara yang belum pulih sepenuhnya.

Saya memandangnya. Belas. Batuknya semakin menjadi-jadi.

“Auntie tak sihat kan, kenapa tidak ambil cuti?” soal saya apabila batuknya kembali tenang.

Dia mengeluh..”Adik, kerja ini macam mana boleh ambil MC. Kalau saya mau cuti, saya mesti ganti. Bila mau ganti...kalau tidak, gaji makin sikit saya dapat. Anak-anak mau makan apa.”
Ooo...

Saya terus terdiam. Mahu bertanya lagi, namun bimbang kata-kata saya bakal mengguris hati Auntie.

Saya hanya mampu berfikir. Dan terus berfikir. Nasib seorang pekerja bawahan di sebuah negara yang ‘mendahulukan rakyat.’ Saya tidak menyalahkan sesiapa jauh sekali menunding jari kerana setiap apa yang berlaku pasti ada asasnya, ada sebabnya.

Sebagai pekerja, saya hanya mahukan kebajikan seorang pekerja dibela. Khidmat pekerja yang ditagih saban hari bukanlah tiket untuk para majikan mengabaikan ‘rasa’ pekerja. Berada di bawah, memandang yang di atas, adakalanya menjadikan saya, Auntie dan semua merasai nikmat sebuah kepayahan.

“Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan pertukaran siang dan malam ada tanda (keagungan Allah) bagi golongan ulu al-albab. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan bertafakkur tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “wahai Tuhan kami, Engkau tidak menjadikan semua ini sia-sia, maha suci Engkau maka lindungilah kami daripada azab neraka”. 
Surah Ali `Imran, ayat:190-191.
Selamat pagi & selamat bekerja semua. ^_~

Semoga Auntie terus kuat dengan 'kerja ini macam'nya.

Saturday, November 10, 2012

Oh Ibu...



Aku dan Ibu di Hari Konvokesyenku. [abaikan tangan comel di sebelah kiriku]

Aku sering bercerita mengenai ibuku. Permata hatiku yang terindah sepanjang kehidupan ini. Apa sahaja yang mengingatkan aku tentang ibu, pasti aku tersenyum sendirian. Setiap hari, aku mohon padaNya semoga ibu sentiasa diberikan nikmat kesihatan, kebahagiaan dan sebagainya untuk ibu terus menjadi hambaNya yang solehah.

Aku sudah lama tidak terbang. Maksudku, terbang untuk menyumbang bakti di negara orang. Menyebarkan misi rahmatan lil ‘alamin.

Apabila aku lihat teman-teman terbang ke sana-sini. Aku cemburu. Kerana ruangku hanya di sini. Tanpa restu ibu, aku tidak mampu ke mana-mana.

Tahun 2008, aku terbang ke Banda Aceh. Bersama teman-teman untuk Ekspedisi Menjejak Ibnu Battutah. Itu kali pertama, selepas aku berjaya ‘merasuah’ adik-beradikku untuk mengasut ibu membenarkanku pergi.

Ternyata, itu kali pertama yang benar-benar indah. Ibu bising, tetapi riuhnya sekejap saja. Alhamdulillah, Dia permudahkan jalan untukku.

Selepas itu, aku tidak lagi kemana-mana. Setiap kali aku meminta izin untuk terbang lagi, ibu pasti berkata “Nak, dari zaman sekolah sampai hari ni kamu aktif sangat. Jarang Ma tengok kamu diam. Jalanilah hidup sebagai orang biasa, nak. Kat sini, kat kampung, boleh saja kamu berbakti. Tak perlu terbang jauh-jauh.”

Dan aku terus terdiam. Membisu sambil berlinang air mata.

Tahun berikutnya, misi ke Maninjau : aku pandang sepi tanpa kata.

Begitulah kisah tahun-tahun seterusnya. Terpaksa aku lihat sahaja. Namun setiap hari aku berdoa semoga Allah melembutkan hati ibu.

Awal tahun ini, aku ke Pattani. Itu pun izin dari ibu aku minta beberapa jam sebelum aku bertolak ke sempadan. Kerana aku tahu, ibu pasti tidak membenarkanku pergi jika aku memberitahunya awal-awal.

Tahun ini, bila adik-adik GPTD UNISEL mahu ke Banda Aceh, aku ‘menggelupur’. Tanah itu pernah menerima kehadiranku. Lebih hebat lagi perasaan itu, apabila aku diberi amanah untuk menjadi penyelaras ekspedisi. Dalam diam, aku nekad. Aku akan cuba memohon izin dari ibu lagi.

Saban waktu, aku berfikir bagaimana harus aku bicara pada ibu...Aku tidak boleh ‘mempergunakan’ kakak dan abang-abangku lagi. Kerana aku tahu, mereka pasti menyebelahi ibu kali ini. Iya, mereka akan berpihak pada ibu kerana semua orang hanya menanti aku menikah. Bukan menunggu aku terbang tinggi lagi.

Ahad lepas, 4 November 2012...aku menelefon ibu. Berbicara sebiasa mungkin walau hati bergetar laju sekali. Perlahan-lahan, aku bertanya “Ma, anak Ma ni nak minta izin. Nak ke Aceh. InsyaAllah, kalau diberi keizinan, Tini nak pergi.”

Phewww ~ Ini namanya Teknik Nekad Sesaat Masuk Ke Bilik Mayat.

Ibu diam. Aku berusaha menadah telinga selebar mungkin untuk aku terima ‘Kuliah Maghrib’ dari ibu.

“Tahun 2008, kamu ke Aceh juga kan?”

“Ya...kali ni, program susulan. Mendalami kajian yang pernah dijalankan.”

“Apa yang ada kat Aceh tu sampai kamu beria nak ke sana lagi? Cukup-cukuplah...Ma nak tengok kamu rehat. Jadi macam gadis-gadis lain.”

Uhuk! Seingat aku, sudah terlalu lama aku berehat hingga semangat relawanku makin hambar. Mudah putus harapan, senang menangis.

“Begini, Ma...Tini minta izin untuk pergi sebab Tini rindu nak ke sana lagi. Banyak perkara yang Tini patut buat waktu ekspedisi dulu, tapi tak terbuat. Jadi kali ni, kalau Ma izinkan, Tini nak pergi untuk bagi manfaat untuk mereka. Lebih-lebih lagi anak-anak kecil yang perlukan bimbingan orang muda. InsyaAllah Ma, macam mana Ma tengok kawan-kawan Tini ke Pattani, ke China, ke semua negara, macam itulah Tini nak berbakti.”

Ibu diam lagi. Aku tahu, aku sudah tiada perisai lagi untuk menahan peluru-peluru yang bakal ibu ‘lepaskan’ lagi nanti.

“Terpulanglah...kalau itu yang kamu nak. Ma ikut saja. Kalau ikutkan hati Ma, sudah-sudahlah.”

“Tini nak minta izin Ma, bukan ikut apa yang Tini nak.”

Air mataku gugur. Aku kalah lagi...

“Yelah, pergilah. Ma izinkan.”

Ha???Terasa seperti mahu melompat setinggi-tingginya.

Selepas berbual itu dan ini, ibu mahu menamatkan perbualan. Mahu ke surau. Solat Isyak.

“Terima kasih, Ma. Terima kasih atas keizinan yang Ma bagi.”

“Seorang ibu...takkan kata tidak untuk anaknya yang berusaha bersungguh-sungguh.”

Subhanallah...air mataku mengalir laju. Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Walau 1 dunia tidak tahu hati seorang ibu, cukuplah aku sebagai anaknya tahu syukur punyai ibu.

Tuesday, November 6, 2012

Memberi dan Diberi Arahan



Sudah lama rasanya tidak benar-benar meluangkan masa untuk menulis di blog. Banyak ruang yang tersia disebabkan kesibukan yang tidak diuruskan dengan baik.

Kali ini, entri tentang memberi dan diberi arahan amat menarik minat aku untuk berkongsi dengan semua.

Sejauh mana kita memberi arahan dengan berkesan? Ayat yang bagaimanakah mampu untuk menawan hati si penerima arahan?

Itu yang sering aku fikirkan apabila perlu memberi arahan. Sesungguhnya, aku bukan pemberi arahan yang baik. Aku terlalu memikirkan perasaan si penerima arahan. Dek kerana itulah, aku jarang menjadi ketua. Selalunya jawatan aku adalah setiausaha. Kerana aku akan menerima arahan tanpa dipaksa. Tiada perasaan untuk dijaga.

Semakin meningkat usia, semakin ramai orang yang kutemui, semakin aku merasakan aku hanya layak untuk menerima arahan.

Tetapi, Dia Maha Tahu...adakalanya, aku harus memberi arahan. Bukan kerana jawatan, tapi kerana tuntutan dan tanggungjawab. Apabila soal ini dibangkitkan, aku akur...aku harus memberi arahan. Aku mula membelek kitab-kitab dan menelaah motivasi dari mereka yang pakar tentang ilmu kepimpinan. Memberi arahan bukan untuk menunjukkan kehebatan diri, tetapi bagi berkongsi pengetahuan dan ilmu dengan mereka yang masih bertatih. Itu yang aku pelajari dan titip dalam setiap arahan yang bakal kuberi.

Lalu, aku tahu...aku harus berlemah-lembut dalam menyampaikan.  Seperti mana aku senang menerima arahan, begitulah aku harapkan pada semua yang menerima arahan dariku. Kata Prof. Dr. Muhaya “Kita akan dapat apa yang kita beri.

Dalam konteks ini, bukanlah ganjaran yang diharapkan tetapi secebis kefahaman dari yang menerima. Tidak semua orang sudi menerima arahan, lebih-lebih lagi yang lebih dewasa. Itu yang aku alami. Berdepan dengan golongan sebegini menyebabkan aku sering terhimpit dan tersepit hingga adakalanya aku melakukannya sendiri kerana tidak sanggup untuk meminta tolong apatah lagi memberi arahan.

Aku ingin terus belajar memberi arahan seadanya, bertepatan waktunya, sesuai orangnya. Selebihnya, aku mahu menerima arahan dengan sebaiknya. Kepada mereka yang pernah menerima arahan dari aku, maafkan aku andai ada perkataan yang terbit dari mulutku yang membuatkan kalian terasa hati atau tersinggung.

Lancar jari-jemariku menaip susunan kata di bawah ini. Sekadar nukilan hati, bukanlah puisi...

Aku punya impian,
Mahu mengejar pelangi di langit yang indah,
Walau ku tahu takkan tercapai,
Aku yakin...aku percaya...
Pelangi indah itu masih tetap di situ,
Setia menanti buat yang mahu berjaya,
Pelangi indah itu untuk aku dan semua,
Tanpa menilai siapa pun kita,
Ia tetap indah di mata semua,
Moga impian dan pelangi itu akan terus mewarnai sebahagian daripada kisah hidupku untuk aku abadikan sebagai hambaNya.
Pelangi anugerah Tuhan,
Moga sentiasa berseri menemani sang langit.

Monday, October 29, 2012

Mencari Isteri atau Bidadari


Itu antara keluhan salah seorang teman. Tentang kesulitannya mencari 'sang bidadari' di alam dunia.

Adakalanya, saya juga begitu.

Terlalu mengejar satu kesempurnaan. Perfectionist!

Hingga terlupa betapa tidak sempurnanya seorang manusia. Yang diciptakanNya dari tanah. Allahu akbar...

Muhasabah diri.

Usah terkial-kial mencari manusia yang lengkap segalanya, kerana kita juga bukan manusia yang sempurna.

Teringat kata-kata bijak pandai:

Bila inginkan dunia, tengok orang di bawah kita. Bila inginkan akhirat, tengok orang di atas kita.  

Sekarang, mahu perbaiki diri untuk persiapan ke hari akhirat. Perbanyakkan amalan walau sekecil mana pun ia. Kurangkan bertangguh dalam melakukan kebaikan.

Mahu raih cinta yang hakiki dahulu...moga terus dikuatkan iman untuk mendepani hari mendatang. Allah, Allah, Allah.

Yang memiliki segala cinta, yang menerbitkan segala rindu. Mohon dipandu hati-hati ini hanya untukNya.

Semoga dia, saya dan kita semua akan bertemu dengan pasangan hidup yang bakal melengkapkan sebahagian lagi daripada kehidupan kita.

[Maaf, entri yang seharusnya panjang ini tidak kelihatan panjangnya kerana anak-anak kecil turut menaip sama. Jumpa lagi di lain masa. InsyaAllah]

Saturday, September 15, 2012

Memberi Maaf & Meminta Maaf


Ramadhan telah berlalu, Syawal menyusul pergi. Bagaimana dengan kehidupan kita sehari-hari? Moga lebih baik daripada sebelumnya. InsyaAllah…

Suatu hari, di sebuah bangku di tepi tasik…seorang teman bertanya “Kenapa hati masih rasa sakit walaupun kita sudah memaafkan kesalahan orang?”

Aku membetulkan dudukku. Memandangya yang diam di sebelahku. Ada garis gundah di wajahnya.

“Memaafkan adalah tugas hati, mulut dan semua anggota badan. Mungkin benar mulut kita  mengucapkan kata ‘maaf’, tetapi hati masih lagi berbolak-balik. Masih lagi ada rasa tidak puas hati dengan kemaafan yang dihulurkannya.”

Dia mengeluh perlahan…”Senanglah cakap. Minta maaf, semua orang boleh buat. Nak memaafkan, itu yang susah. Sangat susah.”

Aku diam. Cuba mencari jawapan terbaik buatnya agar dia lebih menghargai nilai memaafkan dengan berlapang dada.

Benar, memberi maaf adakalanya lebih sukar daripada meminta maaf. Tetapi, yang sukar itu kan indah…

“Orang yang tidak memaafkan, akan sentiasa ‘diikat oleh orang yang tidak dimaafkannya. Maafkanlah, maafkan semuanya. Pasti akan terlepas, akan bebas.” Itu kata-kata bijak pandai. Ayat yang sering mengingatkanku pabila terasa berat untuk memaafkan.

Aku tidak mahu diikat oleh ‘rasa’ seperti itu. Rasa yang lebih menjadikan jiwa lebih terkongkong.

Andai sulit untuk memberi maaf, ingat DIA. Allah Yang Esa.

Sungguh, Allah Maha Pengampun. Walau sebanyak mana pun dosa yang telah kita lakukan, akan diampunkanNya. Jika Allah memaafkan kita sebagai hambaNya, mengapa tidak kita?

Cuba renungkan kata-kata Imam Al-Ghazali ini “Seorang hamba yang bertaubat tetapi kembali berdosa, jangan sekali-kali putus asa untuk bertaubat lagi. Siapa tahu Izrail mencabut nyawanya ketika dia sedang bertaubat atau sedang dalam perjalanan menuju taubat.”

Maafkanlah semua dengan sepenuh hati dan rasa. Allah Maha Pengasih, Dia mencintai hambaNya yang mengasihi. Allah Maha Pemurah, Dia mencintai hambaNya yang mudah memaafkan yang lain. Allah Maha Pemaaf, semoga kita dapat memaafkan tanpa berlengah.

Benarlah, Allah mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia. Maafkanlah dan lupakanlah.

Jadilah hambaNya yang sentiasa bersyukur.


Sunday, September 2, 2012

Tak Bersungguh


Itu perbualan antaraku dengan seorang bapa. Nyata, aku hampir-hampir menangis apabila beliau bertanyakan soalan itu. Suara hati seorang bapa, resah hati seorang manusia yang mahukan anak-anaknya berjaya.

Pastinya, bukan hanya dia sahaja yang berfikir sedemikian dalam mendidik anak-anaknya. Semua ibu bapa merasainya. Mendidik anak-anak di zaman ini bukanlah suatu perkara yang mudah dan boleh diperlekehkan. [Sekadar pemerhatian saja, bukanlah berdasarkan pengalaman yang sebenar.]

Berulang kali aku berfikir, bagaimana cara pendidikan orang dulu-dulu? Lalu, aku teringat kisah aku dan keluargaku, terutamanya ibu, ayah, dan kakak sulungku.

Kami bukanlah dari kalangan keluarga yang berada. Tetapi, ibu dan ayah sangat mengutamakan pendidikan agama dan sekolah.

Masih segar di ingatan akan kata-kata ibu "Ma dan wan takde harta yang banyak untuk ditinggalkan buat kamu adik-beradik. Hanya boleh sekolahkan kamu supaya jadi manusia dan memanusiakan orang lain."

Ringkas. Hingga sekarang aku ingat.

Kami adik-beradik sering berkongsi barang kerana didikan mereka. Jarang sekali bergaduh kerana berebutkan sesuatu, kerana kami tahu, untuk mendapatkan sesuatu benda, ibu dan ayah bekerja kuat mengerah tenaga bagi menyenangkan hati semua.

Lalu aku tahu, dari situ aku belajar untuk berusaha gigih membahagiakan hati ibu dan ayah. Berusaha memberikan yang terbaik walau payah.

Walau kami tahu kami tidak mampu membalas segala jasa ibu ayah...

Apabila kuterpandang anak-anak zaman sekarang, aku faham dan lebih mengerti...tentang satu perkara. Sebahagian dari mereka sangat mudah mendapatkan telefon bimbit, motosikal, kereta, duit, dan sebagainya daripada ibu bapa mereka.

Jarang sekali berfikir tentang kesusahan yang telah ibu bapa lalui demi mendapatkan sesuap rezeki.

Mungkin sudah tiba masanya untuk para ibu bapa dan bakal ibu bapa memikirkan langkah terbaik bagi mengajar anak-anak erti kehidupan, perit jerih mencari nafkah demi menyara anak-anak dan keluarga.

Aku bukanlah seorang ibu, hanya belajar dari sebuah kehidupan untuk menjadi seorang ibu.

Saturday, July 28, 2012

Ayuh, bersiap!


Bila Pena Menari…

Assalamualaikum w.b.r.t. Termenung, merenung, berfikir sejenak. Imbau kembali sewaktu kita mahu melangkah kea lam persekolahan. Lebih indah pabila mengenangkan ketika kita mahu mendaftar ke darjah satu.

Gembira, berdebar, semua rasa bercampur. Setiap hari, pasti soalan yang sama akan diajukan kepada ibu “Berapa hari lagi saya akan bersekolah?”, dan ibu tanpa lelah menghitung hari buat kita. Saban waktu, kasut, beg dan peralatan sekolah dibelek, tanda teruja untuk melalui fasa baru dalam hidup.

Segalanya berlalu, semuanya telah meniti sebahagian daripada sejarah hidup kita. Berakhirnya sekolah formal...

Namun, sekolah kehidupan tidak pernah berakhir. Setiap hari, pasti ada silibus baru untuk dihadam dalam proses pendidikan jiwa seorang manusia.

Sekarang, perlahan-lahan cuba belek kalendar. Apa persediaan kita dalam menyambut kedatangan Ramadhan Kareem? Bulan yang penuh dengan keberkatan, bulan yang mendidik manusia dalam semua subjek tarbiyyah.

Tepuk dada, tanya iman...apa rasa hati kita dalam menghitung hari untuk bertemu Ramadhan? Ada tiga rasa yang mungkin kita ada, iaitu:

                           i.  Teruja, seperti mahu berlari untuk ke tempat duduk ketika darjah satu.
                         ii.   Tiada rasa, seperti menerima kehadiran hari-hari biasa sepanjang tahun.
                   iii.    Sedih, kerana terpaksa menahan diri daripada daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik.

Kita yang tahu apa yang kita rasa, jawablah dengan sejujurnya. Apa persediaan kita dalam menyambut kehadiran bulan mulia ini? Jika kita inginkan Ramadhan ini mendidik kita “from zero to hero, from nobody to somebody”, lakukan persiapan itu sebelum 1 Ramadhan disambut, sebelum kita melafazkan niat berpuasa.

“Allahumma sallimni ila ramadhan wa sallim li ramadhan wa tasallumahu minni taqabbalan”

Ya Allah selamatkanlah kami hingga bulan Ramadhan ke depan, dan pertemukan untuk bulan Ramadhan dan terimalah seluruh amal kami pada bulan Ramadhan.

Salam ramadhan, moga Madrasah Tarbiyyah Ramadhan 1433H ini menjadikan kita lulus subjek Hamba & Khalifah pada Khaliqnya.

*Artikel ini saya tulis di Majalah Risalah Madani.

Tuesday, July 3, 2012

Iktibar daripada Imtihan

Peperiksaan akhir semester telah selesai..Alhamdulillah, dari suatu sudut, saya lega....sungguh lega kerana telah melepasi satu fasa dalam proses pembelajaran.

Dari sisi lain pula, rasa cuak itu masih belum surut apabila mengenangkan keputusan peperiksaan yang bakal diumumkan nanti...berjayakah saya melangkah ke fasa seterusnya? Hanya Dia Yang Tahu.

Mengenangkan persiapan-persiapan terakhir sebelum marathon 3 kertas lewat minggu lalu, banyak mengajar saya tentang hubungan dengan Dia. Subhanallah...

Khilafnya saya...lekanya saya...

Waktu nak exam, tidur awal, bangun awal semata-mata untuk menelaah. Hari-hari lain, tidak pula saya manfaatkan bangun awal itu untuk bertemuNya. Astaghfirullah al 'azim.

Waktu nak exam, sanggup bersekang mata mengadap helaian demi helaian nota dan buku semata-mata mahu lulus. Namun jarang pula meluangkan masa berjam-jam meneliti bait bicara Tuhan dalam kalamNya. Ralatnya saya...

Waktu nak exam, tutur bicara dijaga, makanan juga dijaga...selain waktu itu, banyak kata yang terluah tanpa ditapis, banyak makanan terus ditelan.

Alhamdulillah, Dia Maha Tahu segalanya...moga khilaf ini menjadikan saya manusia yang lebih bersyukur. Mengingatinya bukan kerana terpaksa, tetapi atas rasa rela dan redha sebagai hamba.

Ya Allah, ampunkan hambaMu yang berdosa ini. Andai mampu kuputar waktu, ingin sekali aku mengubah apa yang terjadi. Tetapi, aku tahu...aku harus melangkah ke depan dengan ikhtiar yang lebih baik. Semoga imtihan ini menjadikan aku orang yang memanfaatkan waktu dengan sebaik-baik perkara.




***Selesai peperiksaan, mahu fokus hal seterusnya!***